Oleh Jami'ah Shukri
![]() PAKAR TERAPI: Dr Mahmud bersama peserta bengkel penjagaan kesihatan kanak-kanak. |
Bantu pesakit fahami prosedur perubatan, bantu penyembuhan sendiri
PENGALAMAN menginap di hospital boleh memberikan tekanan dan trauma kepada kanak-kanak disebabkan perubahan persekitaran berbeza di rumah dengan hospital iaitu sikap menyisih diri, kemurungan, agresif, manja dan fobia.
Dalam keadaan begini, penjaga dan pengurusan kanak-kanak perlu bijak menangani perubahan kanak-kanak supaya mereka dapat berasa selesa sepanjang tempoh rawatan dan ia boleh membantu mengurangkan ketakutan ketika tinggal di hospital.
Justeru, Persatuan Kesihatan Mesra Kanak-kanak Negara, baru-baru ini menganjurkan bengkel Terapi Mainan bagi menambah serta mewujudkan pemahaman lebih baik terhadap keperluan kanak-kanak kepada ahli profesional dalam bidang itu.
Bengkel dikendalikan profesional Terapi Mainan daripada The Children’s Hospital di Westmead, Sydney, Australia bertujuan membantu peserta dalam menyediakan pendekatan berteraskan keluarga bagi membantu kanak-kanak menyesuaikan diri terhadap penjagaan hospital, selain mendidik mereka mengenai falsafah mainan serta persekitaran mesra kanak-kanak.
Terapi Mainan menggalakkan kanak-kanak membesar dan mengenali diri serta dunia tempat mereka tinggal serta bagaimana berinteraksi dengannya. Ia menjadi saluran bagi penyataan diri dan penjelajahan perasaan yang membolehkan kanak-kanak memahami dan menghadapi apa yang berlaku sekeliling. Ia sekali gus menyediakan saluran terbaik untuk meluahkan rasa takut, marah dan kecewa.
![]() |
SERONOK: Peserta bengkel belajar membuat mimik muka pada bengkel penjagaan kesihatan kanak-kanak. |
Dalam persekitaran perubatan, Terapi Mainan membantu mengurangkan rasa bimbang dan fomaliti yang dikaitkan dengan prosedur perubatan. Menerusinya permainan mainan, kanak-kanak memahami dengan lebih mendalam mengenai prosedur perubatan dialami serta cara membantu dalam penyembuhan diri mereka sendiri.
Ternyata bengkel tiga hari di Kota Kinabalu, Sabah dilancarkan Pengarah Kesihatan Sabah, Dr Marzukhi Md Isa itu mendedahkan kepada 70 peserta kebanyakan daripada wakil kemudahan penjagaan kesihatan awam mengenai asas Terapi Mainan iaitu dari segi teori, strategi, tingkah laku, jenis mainan dan isu keselamatan.
Ketua Jabatan Terapi Mainan The Children’s Hospital, Sandra Pengilly, berkata bengkel itu menampilkan kajian kes bagi membantu peserta memahami secara mendalam isu utama berkaitan pesakit kanak-kanak.
“Ia adalah pengalaman menarik kerana kami dapat berkongsi minat bersama profesional penjagaan kesihatan di Malaysia. Peserta begitu terbuka dan mudah menerima idea disampaikan. Mereka juga berminat menambah pengetahuan dan idea yang boleh mereka bawa pulang kepada persekitaran penjagaan kesihatan mereka.
“Kami cuba menggalakkan pemikiran dan keinginan dalam memenuhi keperluan kanak-kanak yang pelbagai. Bengkel itu bukan saja membolehkan mereka berkongsi pengalaman dan pengetahuan, malah memberi peluang kepada kami belajar daripada peserta,” katanya yang berpengalaman dalam perkhidmatan kanak-kanak sejak 1987.
Pengilly berkata, mereka yang terbabit dalam profesion itu perlu lebih proaktif kerana ia penting kepada keperluan dalam perkembangan kanak-kanak.
Katanya, mereka juga mencapai peningkatan memberangsangkan dalam pembangunan falsafah dan keupayaan bagi membolehkan ia diiktiraf dan dikongsi masyarakat Malaysia.
Sementara itu, Yang Dipertua Persatuan Kesihatan Mesra Kanak-kanak Malaysia, Datuk Dr Mahmud Mohd Nor, berkata bengkel itu adalah salah satu daripada pelbagai inisiatif diambil oleh persatuan dalam usaha menggalak dan mewujudkan persekitaran mesra kanak-kanak yang lebih kondusif di semua penjagaan kesihatan di negara ini.
Katanya, ketika ini, tidak banyak penekanan diberikan terhadap kesan psikologi penginapan di hospital khusus untuk kanak-kanak.
“Oleh itu, visi kami mahu semua kemudahan penjagaan kesihatan dapat menjadi tempat penyembuhan yang selesa buat mereka, membolehkan pembelajaran berlaku dan memastikan kemudahan mengandungi elemen pendidikan serta keseronokan.
“Kami berharap dengan menganjurkan bengkel sebegini, kami dapat melatih profesional penjagaan kesihatan kesihatan di Malaysia dengan kemahiran baru,” katanya.
Persatuan katanya, berterima kasih kepada Nestle atas sokongan dan sumbangan berterusan yang mereka berikan, membantu merealisasikan visi bagi menyediakan persekitaran menarik dan tenang untuk kanak-kanak yang dimasukkan ke wad sepanjang menerima rawatan perubatan.
Beliau berkata, persekitaran yang mesra kanak-kanak dapat memastikan penyembuhan kanak-kanak lebih cepat.
Bagi wad kanak-kanak istimewa memiliki keadaan yang kondusif, mesra dan mampu mengurangkan ketakutan terhadap persekitaran perubatan yang diterima.
Dr Mahmud berkata, persatuan itu yang ditubuhkan pada 2001 itu diharap mampu menangani isu berkaitan inisiatif kemudahan penjagaan kesihatan mesra kanak-kanak yang bermatlamat membangunkan pendekatan sensitif kanak-kanak yang mengiktiraf keperluan dari segi psikososial, pembangunan dan fizikal yang istimewa.
Malah, Konvensyen Bangsa-bangsa Bersatu berkaitan Hak Kanak-kanak, menekankan supaya diwujudkan kesedaran dalam pelbagai segi berkaitan penjagaan kesihatan diuruskan dalam persekitaran cermat dan sensitif bagi mencegah atau mengurangkan trauma emosi dan psikologi yang mungkin memberi kesan kekal.