Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

04 Oktober 2008

Dua dekad mendaki kejayaan


SESIAPA yang sering berurusan di Bangunan Mara, Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur, pasti tidak akan terlepas pandang papan tanda sebuah kedai gambar Dianty Photo di tingkat bawah bangunan tersebut.

Diam tak diam tanpa disedari kini sudah masuk dua dekad, kedai gambar milik bumiputera terus berdiri kukuh.

Selepas dimaklumkan pemiliknya seorang wanita, mendorong penulis untuk menemubual beliau untuk dimuatkan dalam ruangan personaliti bagi berkongsi pengalaman yang mungkin agak berbeza dengan wanita lain sebelum ini pernah ditemubual.

Sebagaimana sibuknya Jalan Raja Laut yang sering berhadapan dengan kesesakan lalu lintas terutama pada waktu puncak, demikian juga ketika penulis sampai di Dianty Photo.

Kelihatan pemiliknya, Rosdiana Mohd. Radzi, 44, begitu sibuk melayan beberapa pelanggan yang datang berurusan di kedai yang dibuka bermula jam 10 pagi hingga 10 malam itu.

Biarpun agak kepenatan, beliau tetap ramah sambil di bibirnya tidak lekang menguntum senyuman manis.

“Beginilah rutin harian saya, jika tidak memenuhi tugasan di luar, masa saya banyak dihabiskan di kedai,’’ ujarnya memulakan perbualan sambil berkali-kali memohon maaf kerana terpaksa membiarkan penulis menunggu agak lama untuk memulakan sesi temu bual.

Sepanjang perbualan selama lebih satu jam pada lewat petang ini, jelas menggambarkan bagaimana sikap berani dan keyakinan yang ada dalam dirinya banyak mempengaruhi apa yang dicapai pada hari ini.

Malah sikap keengganannya terlalu bergantung kepada orang lain sebaliknya percaya kepada gerak hati antara faktor beliau berjaya mempertahankan perniagaannya hingga ke hari ini.

“Sejak mula-mula melangkah ke bidang ini, saya sering mengingatkan diri sendiri, jika orang lain boleh buat, kenapa tidak saya. Saya tidak fikir perbezaan jantina menghalang seseorang untuk mencapai kejayaan dalam bidang yang diceburi. Apa yang penting sejauh mana kemampuan kita untuk melakukan,’’ tegasnya penuh makna.

Dianty Photo merupakan satu-satunya kedai gambar di Lembah Klang yang menawarkan perkhidmatan bukan sahaja mengambil dan memproses gambar tetapi juga studio milik seorang wanita.

Jika sesetengah individu mengambil keputusan membuka perniagaan sendiri kerana suka-suka, berbeza Rosdiana yang membuka perniagaan kerana beliau sendiri mempunyai pengalaman dalam bidang tersebut.

Beliau yang cenderung dalam mengambil gambar korporat, laporan tahunan syarikat dan majlis rasmi itu mengakui sejak mula menceburi bidang tersebut selain ketelitian, kreativiti amat diperlukan bagi memuaskan hati pelanggan.

Faktor jantina

“Alhamdulilah, sejak berkecimpung dalam bidang ini sehingga ke hari ini saya tidak mempunyai masalah besar dengan pelanggan. Apa yang penting jika ada yang kekurangan, saya cuba memastikan sentiasa memperbaikinya dari masa ke semasa,’’ ujarnya sambil mengakui faktor jantina juga antara yang memungkinkan beliau mudah diingati di kalangan pelanggan.

Bercerita mengenai pencapaiannya, Rosdiana yang juga ibu kepada empat anak perempuan berusia antara enam hingga 15 tahun ini dengan rasa rendah diri mengakui masih banyak lagi yang perlu ditingkatkan demi memastikan perniagaannya terus berkembang maju.

Jauh di sudut hatinya tidak pernah terselit perasaan bangga atau meninggi diri lantaran masih terdapat kekurangan yang perlu diperbaiki.

Menyingkap pengalaman lalu, kata anak kedua daripada sembilan orang adik-beradik ini keinginan untuk melakukan sesuatu yang berbeza dan mencabar antara faktor mendorong beliau menceburi bidang tersebut.

Atas minat mendalam, beliau mengambil keputusan mendalami bidang fotografi anjuran Kementerian Belia dan Sukan Wilayah Persekutuan pada ketika itu. Tidak cukup dengan itu beliau turut mendalami bidang sama di Universiti Teknologi Mara. Demi meningkatkan kemahiran juga, beliau tidak segan silu menimba pengalaman bekerja di beberapa buah kedai gambar sebelum mengambil keputusan membuka kedai sendiri tiga tahun selepas itu.

Walaupun ketika itu menyedari kerjaya sebagai jurugambar dikuasai kaum lelaki dan amat kurang disertai wanita ketika, beliau membulatkan hati untuk menjadikannya sebagai punca rezeki.

Berkat usaha gigih, selepas hampir dua dekad menceburi bidang tersebut, beliau berjaya membuktikan kerjaya tersebut adalah pilihan tepat baginya.

Berkongsi pengalaman, wanita peramah ini mengakui masih banyak lagi yang perlu dilakukan demi memastikan apa yang dicita-cita terlaksana.

Ditanya cabaran, katanya, dahulu cabaran lebih kepada memberi perkhidmatan terbaik kepada pelanggan tetapi apa yang dihadapi hari ini lebih mencabar.

Seiring perkembangan dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi, bidang fotografi juga tidak terkecuali.

Sebagai individu yang sudah lama berkecimpung lama dalam bidang tersebut, beliau tidak mahu ketinggalan dalam setiap saat sekalipun. Ini termasuklah ketika zaman peralihan mengambil gambar menggunakan filem kepada era digital.

“Saya mengambil keputusan untuk membeli kamera digital sendiri pada awal tahun 2000. Biarpun harganya agak mahal ketika itu, iaitu kira-kira RM6,000 saya nekad untuk mendapatkan demi memastikan saya tidak ketinggalan untuk sama-sama memanfaatkan teknologi ini,’’ ujarnya.

Enggan terlalu berpuas hati dengan apa yang telah dicapai hari ini kerana bagi Rosdiana hanya akan membuatkan dirinya terus berada ditakuk lama.

Sebaliknya, Dianty Photo sentiasa cuba mempelbagaikan perkhidmatan, termasuk turut menawarkan kelas fotografi kepada yang berminat terutama sekitar Lembah Klang sejak awal tahun lalu.

Bergabung kemahiran dan kepakaran dengan dua rakan sealiran bidang, kursus intensif tersebut memberi peluang kepada individu bagi meningkatkan kemahiran dalam bidang fotografi.

Ditanya impian dan harapannya pada masa akan datang, wanita ini mengakui mengimpikan sebuah akademi yang menawarkan pelbagai perkhidmatan di bawah satu bumbung. Tidak sahaja menawarkan perkhidmatan fotografi dan peralatan, sebaliknya melahirkan usahawan dalam bidang fotografi.

“Jauh di sudut hati, saya mahu melihat lebih banyak usahawan bumiputera membuka kedai menggunakan nama sendiri sebagaimana yang dilakukan Dianty Photo. Sekurang-kurangnya 10 atau 20 tahun akan datang, lebih ramai kaum bumiputera berkecimpung dalam bidang yang selama ini diceburi bangsa lain,’’ ujarnya penuh harapan.