04 Oktober 2008

Jangan biarkan kebiadapan Hindraf berterusan


RUMAH terbuka adalah satu majlis tradisi yang bukan sahaja disanjungi oleh masyarakat negara ini, malah ia juga mendapat pujian daripada masyarakat antarabangsa.

Majlis seumpama itu menemukan semua insan di negara ini tanpa mengira bangsa dan agama atau perbezaan politik.

Di majlis rumah terbuka, segala perbezaan antara kita diketepikan, apa yang lebih utama ketika itu ialah sama-sama mengeratkan hubungan sesama kaum.

Atas sebab itulah acap kali kita melihat pemimpin-pemimpin biarpun berbeza fahaman politik akan sering kunjung mengunjungi antara satu sama lain.

Tetapi malangnya, masih ada pihak yang tidak tahu menghargai keunikan tersebut, sebaliknya menjadikan ia medan untuk melepaskan geram dan perasaan mereka.

Apa yang dilakukan oleh sekumpulan penyokong Hindraf ketika majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Kabinet pada Rabu lalu sudah menampakkan dengan jelas sikap biadap dan perkauman mereka.

Tanpa mempedulikan bahawa di situlah kita dapat menyaksikan pelbagai kaum berkumpul tanpa mengira perbezaan sesama kita, kelompok Hindraf ini bertindak bagaikan manusia tidak bertamadun.

Mereka merempuh masuk ke majlis itu bukan sebagai tetamu yang harus menghormati tuan rumah tetapi sekadar untuk melaksanakan agenda politik yang tidak seharusnya ditimbulkan pada hari yang mulia ini.

Kelompok Hindraf itu bernasib baik kerana orang Melayu yang berada di majlis berkenaan masih mampu menahan sabar dan menyerahkan kepada kebijaksanaan pihak berkuasa mengendalikan keadaan.

Bayangkan jika ada pihak yang melakukan provokasi yang akhirnya mencetuskan pergaduhan antara kaum di situ.

Perbuatan yang dilakukan oleh Hindraf tersebut amat berbahaya. Sama ada mereka sedar atau tidak, mereka cuba melakukan provokasi. Mereka tahu perbuatan itu salah tetapi mereka sengaja melakukan.

Hindraf cuba menjadi hero di tempat dan pada waktu yang salah. Sentimen perkauman yang menebal pada diri masing-masing telah menyebabkan ia menenggelamkan perasaan hormat menghormati antara kaum yang kita bina sejak berpuluh-puluh tahun lalu.

Tidak kiralah sama ada Aidilfitri, Tahun Baru Cina, Deepavali, Krismas atau apa sahaja perayaan kaum di negara ini, ia seharusnya dihormati bukan dicemari dengan sikap tidak bertamadun.

Apa yang dilakukan oleh Hindraf ini tidak harus dibiarkan. Pihak berkuasa perlu menjalankan siasatan bagi mengetahui dalang di sebalik tindakan gila tersebut.

Mereka yang terlibat harus ditangkap dan dibawa ke muka pengadilan kerana telah menggugat ketenteraman awam.

Hakikatnya, pihak kerajaan sudah banyak bersabar dengan tindak tanduk Hindraf. Mereka adalah pertubuhan haram yang seolah-olah tiada siapa mampu menyentuhnya.

Kini adalah masanya untuk kerajaan bertindak ke atas mereka yang suka memainkan sentimen perkauman yang sempit.

Apa yang perlu difahami tindakan Hindraf telah mencetuskan kemarahan di kalangan orang Melayu tanpa mengira apa juga fahaman politik mereka.

Kebiadapan Hindraf harus diberhentikan kerana jika dibiarkan mereka mungkin akan melakukan tindakan yang lebih ganas lagi.

Kita tidak harus merelakan sebuah pertubuhan haram yang terbentuk daripada demonstrasi jalanan merosakkan hubungan kaum di negara ini.

Kepada pemimpin-pemimpin yang sebelum ini begitu menyokong Hindraf, mereka seharusnya insaf kerana Hindraf bukanlah memperjuangkan perpaduan kaum tetapi ingin menjadi racun perosak kepada negara ini.

Oleh itu adalah perlu pihak berkuasa menjalankan siasatan rapi. Satu pengisytiharan rasmi perlu dilakukan bahawa Hindraf adalah pertubuhan haram dan sesiapa yang menyertai boleh dikenakan tindakan undang-undang.

Jika sebelum ini sebuah pertubuhan Islam, Al Arqam pernah diisytiharkan haram, kenapa tindakan yang sama tidak boleh dikenakan ke atas Hindraf. Apa istimewanya kelompok cauvinis itu?

Soal bertolak ansur atau berlembut dengan kelompok makhluk bernama Hindraf ini tidak harus dibiarkan lagi. Mereka perlu diberi pengajaran bahawa negara kita memang mengamalkan demokrasi tetapi demokrasi itu tidak harus disalahgunakan melalui tindakan yang dianggap cukup biadap dan kurang ajar.

Percayalah, jika peristiwa di Rumah Terbuka Aidilfitri Kabinet itu dilupakan begitu sahaja, selepas ini Hindraf akan bertindak lebih ganas lagi kerana mereka tahu berikutan suasana politik sekarang kerajaan mungkin tidak akan berbuat apa-apa.

Tetapi mereka juga tidak harus melupakan bahawa sarang tebuan jangan dijolok, harimau tidur jangan dikejutkan dan jika kita berani bermain api maka bersedialah menerima akibatnya.

Ingatlah dalam apa juga situasi, janganlah terlalu banyak mencabar kerana kesabaran manusia ada hadnya.