16 November 2008

Golongan tidak berdosa jadi mangsa penyakit maut



DISKRIMINASI dan prejudis terhadap pesakit HIV/Aids masih berlaku di Malaysia walaupun penyakit itu sudah dikesan sejak 22 tahun lalu.

Malah, di kalangan petugas perubatan seperti doktor dan jururawat stigma itu masih melekat. Ini dibuktikan sehingga kini hanya 25 doktor saja yang mengkhusus dalam rawatan terhadap HIV/Aids.

Antara faktornya adalah kurangnya inisiatif mereka untuk memahami HIV/Aids hingga menyebabkan timbulnya rasa takut berlakunya jangkitan sewaktu memberi rawatan.


Isu HIV/Aids di Malaysia hanya lantang diperkatakan badan bukan kerajaan seperti Majlis Aids Malaysia (MAM) dan kini Persatuan Perubatan HIV Malaysia (MaSHM). Orang ramai masih memandang dingin walaupun Kementerian Kesihatan banyak memberi sokongan dan bantuan untuk program kesedaran dan menangani HIV/Aids melalui program 'harm reduction' (mengurangkan kemudaratan).

Presiden MAM, Prof Adeeba Kamarulzaman, berkata walaupun sikap masyarakat terhadap HIV/Aids bertambah baik dibandingkan 1980-an, stigma dan diskriminasi terhadap pesakit masih berlaku di kalangan petugas perubatan.

Katanya, dengan pengurusan rawatan yang betul tidak mungkin HIV akan berjangkit. HIV tidak boleh menjangkiti orang lain melalui sentuhan, berdakapan atau bersalam dengan pesakit. Ia juga tidak berjangkit jika anda berkongsi tandas atau tombol pintu yang sama. Malah, HIV tidak boleh berjangkit melalui gigitan serangga seperti nyamuk.

HIV hanya boleh berjangkit melalui hubungan seksual, cecair badan dan seks oral selain berkongsi jarum suntikan. Bayi dijangkiti HIV melalui ibu sebelum atau selepas dilahirkan atau ketika menyusu badan.

Diskriminasi dan stigma ini berlaku di seluruh dunia. Laporan UNAIDS pada 2000, di Bangalore misalnya individu yang didiagnos dengan HIV di hospital swasta akan dipindahkan di hospital kerajaan. Hospital swasta hanya menerima pesakit HIV/Aids dengan kos rawatan berganda dan doktor yang merawat akan memakai tiga lapis sarung tangan dan melakukannya di hadapan pesakit.

Laporan Gillian MacNaughton dari Pusat Perlindungan Undang-Undang Hak Asasi Manusia Antarabangsa pula mendapati 20 peratus kakitangan perubatan (doktor dan jururawat) di Nigeria beranggapan HIV/Aids adalah penyakit orang berdosa. Hampir 50 peratus pesakit HIV/Aids di Filipina pula pernah berhadapan dengan kerenah diskriminasi petugas perubatan.

Kebelakangan ini, HIV/Aids bukan hanya menyerang penagih dadah tetapi suri rumah dan kanak-kanak. Bagi suri rumah kebanyakan mereka dijangkiti HIV/Aids daripada suami manakala kanak-kanak pula dijangkiti menerusi si ibu.

Unicef Malaysia melaporkan, kadar wanita yang dilaporkan mempunyai HIV bertambah dengan besar pada dekad lalu daripada empat peratus pada 1995 kepada 15 peratus kes baru pada akhir 2006.

Malah, pada 2006, lebih banyak suri rumah positif HIV berbanding dengan pelacur. Pada masa sama, peratus bayi yang dilahir dengan HIV juga meningkat dari 0.2 peratus pada tahun 1991 kepada 1.4 peratus kes bagi 2006.

Bilangan jangkitan HIV melalui hubungan kelamin meningkat daripada 41 kes pada 1990 kepada 10,346 pada 2005 dengan 65 peratus wanita hamil dijangkiti HIV melalui suami.

Ketika Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mencatatkan penurunan kes HIV/Aids disebabkan penagihan dadah di seluruh dunia, faktor hubungan seksual, merangkumi heteroseksual mahupun homoseksual pula terus meningkat.

Jika penagih dadah yang dijangkiti HIV dianggap sebagai penyakit orang berdosa, adakah mangsa HIV di kalangan suri rumah tangga dan bayi layak menerima 'balasan dosa' itu?

Setakat ini rawatan HIV paling efektif adalah terapi antiretroviral (HAART), iaitu kombinasi beberapa antiretroviral yang bertujuan mengawal jumlah virus dalam tubuh. Selain itu pesakit mengambil ubat-ubatan bagi memastikan sistem imun tubuh kuat dan memantau jumlah sel darah putih untuk melewatkan virus bertambah (multiplication) dalam tubuh.

Rawatan HIV/Aids yang kompleks menyebabkan HIV/Aids memerlukan doktor khusus yang ketika ini turut dirawat doktor biasa selain pakar respiratori bergantung pada komplikasi dialami.

Jumlah pesakit HIV/Aids di Malaysia hari ini adalah 70,604.