Oleh Azrul Affandi Sobry
BELIAU bukanlah seorang penyelidik atau saintis hebat. Namun, idea yang dicetuskan selain tidak mengenal erti putus asa ditambah semangat kental menolak teori logik membolehkan jutaan penduduk di negara ini memperoleh impak positif terutama membabitkan ekonomi negara.
Ideanya menyebabkan industri perladangan kelapa sawit di negara ini mampu melonjak ke satu tahap yang jauh daripada apa yang dicapai sebelum kedatangannya ke Malaysia. Lonjakan hasil yang diperoleh menggunakan teorinya menyebabkan negara kini mampu memperoleh keuntungan tambahan mencecah berbilion ringgit setiap tahun berbanding sebelum ini.
Lantaran idea hebatnya dalam meningkatkan produktiviti kelapa sawit di negara ini, wajarlah Datuk Leslie Davidson, seorang warga Britain, dipilih penerima Anugerah Merdeka, berpaksikan sumbangannya terhadap pembangunan ladang kelapa sawit berskala besar di Malaysia.
Cetusan idea lestari cemerlang beliau dan penyelidikan serta aplikasi seterusnya terhadap pendebungaan menggunakan serangga ke atas kelapa sawit menghasilkan peningkatan besar dalam pembangunan dan hasil tuaian ladang, seterusnya membawa kesan positif bukan saja kepada ekonomi negara malah juga kepada kehidupan pekebun kecil kelapa sawit.
Bagi menyorot kembali kegigihan beliau dalam merealisasikan kejayaan itu, Berita Harian menemubual Ketua Pasukan Penyelidiknya, Mahbob Abdullah yang pernah bekerja bersama Davidson ketika kajian itu dijalankan. Davidson kini masih berada di United Kingdom.
Semua bermula apabila Davidson yang dilantik sebagai Pengerusi Ladang Kelapa Sawit Unilever Malaysia mendapati berat buah kelapa sawit di semua ladang di negara ini terutama di Labuk, Sabah jauh lebih rendah berbanding ladang di Johor, malah tidak sampai 50 peratus daripada berat dan saiz buah di Cameroon, Afrika.
Apa yang membuatkan dirinya kurang senang dengan senario itu ialah apabila menyedari cuaca di negara ini jauh lebih baik dari Cameroon kerana hujan dan pergerakan angin yang baik, namun tidak mampu menandingi produktiviti di negara Afrika Selatan itu.
Justeru, beliau membuat kesimpulan masalah utama menyebabkan kurangnya produktiviti ialah masalah pendebungaan yang kemungkinan kurang berkesan.
Memulakan langkah pertamanya di negara ini, Leslie mencuba kaedah pendebungaan menggunakan tenaga manusia iaitu meletakkan debunga dengan tangan. Ketika itu ramai tenaga kerja digunakan terutama gadis untuk tujuan meletakkan debunga.
Masalah mula timbul apabila kebanyakan pokok kelapa sawit di Labuk sangat tinggi dan sukar dicapai dengan tangan. Namun, kaedah itu berjaya melonjakkan hasil kelapa sawit di Labuk menyamai apa yang dicapai di Johor, namun masih terlalu jauh untuk menyaingi Cameroon.
Lebih merumitkan keadaan, kos untuk menampung aktiviti pendebungaan secara manual itu sangat tinggi kerana terpaksa menggunakan berpuluh ribu pekerja.
Menyedari ada sesuatu yang istimewa dalam peningkatan kuantiti kelapa sawit di Afrika, Davidson yang pernah terjumpa sejenis serangga seakan kumbang bersaiz dua biji beras ketika bertugas di negara itu mengandaikan bahawa ada kemungkinannya serangga mampu bertindak sebagai ejen pendebungaan.
Beliau pada mulanya cuba meyakinkan syarikatnya mengenai teori itu tetapi disindir beberapa saintis yang memintanya membaca kembali buku mengenai kelapa sawit yang menyatakan pendebungaan hanya berlaku melalui pergerakan angin, bukan serangga.
Pada 1976, pertemuannya dengan Pengarah Institut Kawalan Biologi Komanwel (CIBC), Dr David Greathead membuka peluang kepadanya untuk menceritakan masalah perladangan kelapa sawit di Sabah. Greathead tertarik dengan teorinya mengenai peranan serangga dalam proses pendebungaan buah kelapa sawit di Afrika.
Akhirnya, dengan peluang dan kepercayaan yang diberikan CIBC, mereka melantik seorang pakar dan saintis dari Pakistan, Datuk Dr Rahman Syed yang sebelum itu pernah beberapa kali mencipta kejayaan menggalakkan dalam kajian saintifiknya.
Beberapa bulan ditempatkan di Cameroon, Dr Rahman membuat laporan kepada CIBC yang mengatakan tiada keraguan lagi memang pendebungaan buah kelapa sawit di situ disebabkan oleh serangga.
Beliau mendapati serangga itu akan singgah di debunga jantan dan berikutan itu, serbuk debunga akan melekat di badannya sebelum ia terbang pula ke debunga betina, sekali gus menyebabkan serbuk di badannya tadi jatuh ke atas debunga berkenaan menyebabkan berlakunya pendebungaan.
Kajian diteruskan bagi mengenal pasti kemungkinan untuk membawa masuk serangga itu ke Malaysia dan selepas pelbagai ujian dijalankan, Dr Rahman membuat rumusan bahawa sejenis serangga yang dikenali sebagai Elaeidobius Kamerunicus adalah paling sesuai untuk semua jenis kelapa sawit di seluruh dunia.
Dengan diketuai oleh Mahbob, tiga saintis terbaik kerajaan, Kang Siew Ming, Zam Karim dan Tay Eong Beok ditugaskan ke Cameroon untuk melihat sendiri hasil kajian Dr Rahman dan memutuskan sama ada serangga itu benar-benar selamat untuk dibawa masuk ke Malaysia.
Ketika semua itu dilaksanakan, Davidson bertindak sebagai ‘pendokong watak utama’ yang bertungkus lumus meyakinkan pelbagai pihak termasuk pelbagai syarikat di Sabah untuk menaja kajian itu di samping mendapatkan restu kerajaan.
Akhirnya, melalui kelulusan yang diperoleh daripada Menteri Perusahaan Utama ketika itu, Datuk Musa Hitam (kini Tun Musa Hitam) serangga itu berjaya dibawa masuk ke Malaysia dan diuji secara dalam kuarantin di Taman Botani Kuala Lumpur pada Julai 1980 oleh Dr Rahman sendiri.
Selepas beberapa bulan pelbagai ujian dijalankan ke atas serangga itu di Taman Botani, sekumpulan serangga itu dilepaskan di Pamol, Kluang pada penghujung Februari 1981.
Dua minggu selepas itu, pada 13 Mac 1981, sejarah dalam industri perladangan kelapa sawit tercipta di Sabah apabila sebanyak 2,000 ekor serangga terbabit dilepaskan di Tungud sebelum dilepaskan di semua ladang kelapa sawit seluruh Sabah sebulan kemudian.
Apa yang lebih menakjubkan, serangga itu mampu membiak dua kali ganda dalam masa dua minggu dan pembiakannya yang sangat pantas membolehkan ia menghuni semua ladang di negara ini dalam masa beberapa bulan saja selepas itu.
Kerajaan Sabah yang sangat berbangga dan gembira dengan kejayaan itu melahirkan rasa terima kasih yang tidak terhingga terhadap sumbangan tidak ternilai Davidson dan Dr Rahman dalam menyelesaikan masalah kelapa sawit di negeri itu khasnya dan Malaysia amnya.
Sebagai tanda terima kasih, kedua-dua mereka dianugerahkan pingat kebesaran yang membawa gelaran Datuk.
Lebih menakjubkan, apa yang mereka berdua sumbangkan itu berjaya memberi pulangan lumayan terhadap ekonomi negara dengan menjana keuntungan melebihi RM300 juta setahun hanya beberapa tahun selepas serangga itu dibawa masuk ke Malaysia.
Justeru, atas pencapaian hebat dan terulung dalam industri pertanian di negara ini, memang selayaknya Davidson menerima anugerah itu yang akan disampaikan pada majlis khas 24 November ini.