Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

02 November 2008

Kekayaan ekuiti Melayu belum menyeluruh


Oleh Ziauddin Sharuddin


Abdul Aziz Abdul Rahman

Jurang perbezaan antara kaum masih besar selepas 20 tahun DEB dilaksana

DASAR ekonomi kerajaan berkaitan Bumiputera mempunyai kaitan dengan Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang diperkenalkan pada 1971. DEB dituduh mengutamakan kaum Melayu dan selepas berakhir pada 1990, sesetengah pihak mempertikaikan beberapa dasar yang terus kerajaan pertahankan seperti pemilikan 30 peratus ekuiti syarikat. Ikuti pandangan bekas Pengarah Urusan MAS, Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman, kepada wartawan Berita Minggu, Ziauddin Sharuddin, manakala Rohaniza Idris, bersua Presiden Dewan Perniagaan Punjabi Malaysia, Senator Datuk Daljit Singh Dalliwal, mengenai dasar ekonomi berkaitan Melayu dan Bumiputera.

APAKAH falsafah Dasar Ekonomi Baru (DEB), pelaksanaan dan kesannya terhadap dasar ekonomi kerajaan berkaitan Melayu dan Bumiputera sekarang?

Saya melihat DEB sebagai dasar kerajaan yang penting kerana saya tahu sedikit sebanyak mengenainya. Ketika itu, saya berkhidmat sebagai Pegawai Undang-Undang Mageran (Majlis Gerakan Negara) yang ditubuhkan selepas rusuhan kaum pada 13 Mei 1969. Saya menggubal undang-undang berkaitan darurat.


Kerajaan mengkaji punca pergaduhan dan mencari jalan mengelakkan kejadian itu berulang. Perkara pertama yang kerajaan lakukan ialah memperkenalkan Rukun Negara untuk menyemai semangat di kalangan rakyat untuk taat setia kepada negara. Tetapi ini tidak mencukupi dan kerajaan mahu menangani punca masalah itu.

Pertama, jurang perbezaan yang besar antara Melayu dan bukan Melayu dari segi ekonomi, pendidikan, kehidupan dan kemiskinan. Kerajaan cuba mengadakan dasar yang dapat meliputi semua aspek ini. Pada 1970, mesyuarat antara pemimpin bersetuju mengadakan DEB yang mempunyai pelbagai tujuan.

Paling penting ialah mengurangkan jurang perbezaan antara kaum dari segi ekonomi, pendidikan, kehidupan di bandar dan luar bandar serta kemiskinan di kalangan semua kaum. Pada dasarnya mudah, tetapi cara pelaksanaan bukan senang.

Saya masih ingat banyak perdebatan di kalangan pemimpin ketika itu. Sebenarnya, hak berkaitan orang Melayu dari segi ekonomi termaktub dalam Perkara 153 Perlembagaan dan Bahasa Kebangsaan pula dalam Perkara 152.

Walaupun sejak merdeka kerajaan cuba melaksanakan kedua-dua peruntukan Perlembagaan, saya rasa tidak banyak kejayaan dicapai dalam tempoh 12 tahun merdeka. Jurang perbezaan masih luas. Orang Melayu tidak berpuas hati dengan keadaan itu. Bukan Melayu pun tidak puas hati kerana menganggap Perkara 153 memberi banyak kemudahan kepada orang Melayu.

Orang Melayu mendapat kemudahan biasiswa untuk ke universiti dan banyak sekolah dibina di kawasan luar bandar yang majoritinya orang Melayu. Kaum lain berfikir mereka tidak diberi keutamaan. Pandangan itu silap kerana orang Melayu yang sebenarnya tidak berpuas hati dengan kemiskinan, peluang belajar terhad dan keadaan sekolah luar bandar yang masih mundur. Ini yang mencetuskan kejadian pada 1969, tetapi banyak perkara yang boleh kita pelajari daripada kejadian itu.

Orang Melayu hanya mempunyai kuasa politik selepas merdeka tetapi jauh ketinggalan dari segi ekonomi. Bagaimana senario ini boleh diperjelaskan?

Selepas 13 tahun merdeka, pemilikan ekuiti orang Melayu dalam syarikat hanya 2.4 peratus. Kerajaan berfikir macam mana ini? Orang Melayu sepatutnya mendapat lebih banyak kerana jumlah penduduk lebih ramai dan memerintah negara. Ini adalah dari segi kekayaan ekuiti. Dalam bidang lain seperti perniagaan dan bidang profesional, keadaan lebih teruk. Orang Melayu hampir tidak berniaga langsung dalam bandar dan dalam bidang profesional, hanya segelintir doktor, peguam dan akauntan Melayu.

Kerajaan memperkenalkan DEB untuk membuka peluang kepada orang Melayu meningkatkan ekuiti kepada 30 peratus, iaitu selama 20 tahun hingga 1990. Dasar ini meningkatkan golongan profesional dan peluang belajar di Institut Pengajian Tinggi (IPT). Ini kebaikan DEB.

Bagaimana pelaksanaan DEB selepas diperkenalkan?

Strategi kerajaan ialah merangsang pertumbuhan ekonomi negara supaya tinggi. Apabila ekonomi maju, peluang pekerjaan untuk rakyat wujud dan begitu juga peluang perniagaan.

Ekonomi negara sebelum 1970-an tertumpu kepada pengeluaran bahan mentah, terutama getah dan bijih timah dan tidak boleh berkembang pesat.

Penemuan minyak dan gas pada 1970-an mempercepatkan pembangunan ekonomi negara dan ini membolehkan kerajaan melaksanakan DEB.

Dasar kerajaan juga menggalakkan kedatangan pelaburan asing. Dalam DEB, ketika kita mengembangkan ekonomi, jangan lupa supaya ada bahagian untuk orang Melayu dan Bumiputera. Melalui FIC (Jawatankuasa Pelaburan Asing), kemasukan modal memerlukan kelulusan FIC yang mensyaratkan bahagian untuk Melayu.

Bagaimana dengan sikap bukan Melayu apabila syarat itu diperkenalkan dalam DEB?

Timbul perasaan tidak puas hati di kalangan bukan Melayu kerana dikatakan menyusahkan mereka berniaga. Jika hendak menyenaraikan syarikat di pasaran saham, mesti ada 30 peratus ekuiti Bumiputera. Mereka tidak begitu gemar dan begitu juga pelabur asing kerana perlu mencari rakan niaga tempatan.

Bagaimanapun kepada orang Melayu, syarat ini penting. Cuma, saya mendapat tahu ada aspek pelaksanaannya tidak telus. Walaupun ada syarat, mereka mencari jalan untuk menjalankan perniagaan secara Ali Baba. Walaupun ada syarat dan undang-undang, ada aspek yang boleh ditembusi dan orang Melayu tidak boleh buat apa-apa.

Apabila DEB berakhir pada 1990, orang Melayu hanya mempunyai 18.7 peratus ekuiti dalam syarikat tetapi banyak aspek lain masih ketinggalan. Walaupun ada peningkatan, profesional seperti doktor, peguam dan akauntan masih ketinggalan. Kaum lain kata cukuplah 20 tahun (pelaksanaan DEB), tetapi orang Melayu kata tidak boleh cakap begitu dan dasar itu digantikan dengan Dasar Pembangunan Nasional (DPN) pada 1991, tetapi dasar dan semangat DEB masih kekal dalam dasar baru itu.

Ini bermakna semangat DEB masih wujud dalam DPN dan ini menyebabkan dipertikaikan sesetengah pihak?

Sesetengah pihak mempertikaikan dasar kerajaan sekarang kerana menyangka orang Melayu sudah maju dan sudah ramai peniaga dan golongan profesional Melayu. Mereka fikir tidak perlu lagi ada syarat seperti dalam DEB dulu. Itu pandangan salah.

Pertama, kekayaan ekuiti cuma 18.7 peratus dan tertumpu kepada segelintir Melayu serta agensi milik kerajaan. Majoriti orang Melayu di bandar dan luar bandar masih ketinggalan. Masih sedikit orang Melayu yang mampu berniaga secara besar-besaran dalam dan luar bandar.

Cuba lihat bangunan pencakar langit di Kuala Lumpur. Sepatutnya jika majoriti penduduk adalah Melayu dan Bumiputera, 20 hingga 30 peratus adalah milik orang Melayu, tetapi satu peratus pun tidak ada. Kita gagal melaksanakan dasar yang dibuat selepas merdeka. Di mana peniaga Melayu di bandar besar. Bandar kecil pun tidak ramai.

Apa yang perlu dilihat semula terhadap pelaksanaan dasar ekonomi sekarang?

Kita perlu realistik. Apakah kekuatan Melayu? Kita ada Tanah Simpanan Melayu (TSM) dan tanah wakaf yang terbiar kerana tidak mampu dimajukan. Orang Melayu sekarang bukan bodoh. Mereka boleh berniaga, tetapi tidak ada modal dan memerlukan bantuan kerajaan. Apa yang kerajaan boleh lakukan untuk memberi impak segera ialah menyediakan tempat berniaga dengan memajukan TSM dan tanah wakaf di kawasan bandar.

Di luar bandar, kerajaan perlu menggalakkan mereka memberi tumpuan kepada bidang pertanian dan penternakan kerana kita memang boleh buat, tetapi kerajaan perlu bantu secara besar-besaran dan tidak sambil lewa. Sebelum ini kita melakukan sambil lewa. Ada dasar, tetapi dibiarkan begitu saja. Mara (Majlis Amanah Rakyat) menyediakan pinjaman, tetapi peminjam joli dengan duit pinjaman, kita tak tahu. Sudah sampai masa perlu ada sistem pengurusan dan pemantauan yang cekap, akauntabiliti dan tidak boleh ada rasuah.

Kerajaan perlu menyediakan sistem kredit kepada usahawan Melayu secara teratur. Sebelum ini, ramai peminjam Mara yang gagal. UDA (Lembaga Pembangunan Bandar) ditubuhkan untuk meningkatkan peniaga Melayu di bandar supaya mencapai sekurang-kurang 30 peratus. Saya tahu kerana saya yang menggubal undang-undang UDA. Bagaimanapun, UDA diswastakan, manakala syarikat Mara diswastakan. Segelintir orang Melayu kaya, tetapi majoriti tidak dapat apa-apa.

Apa yang perlu dilakukan supaya kekayaan dinikmati majoriti orang Melayu?

Sikap kerajaan dan pegawai kerajaan perlu berubah. Jangan seleweng! Perlu ada sistem pengurusan yang cekap Kita juga perlu ada penilaian. Mesti ada sasaran dalam tempoh tertentu. Jika tidak dapat dicapai, apakah masalah yang wujud dan diperbaiki. Kita tidak boleh melakukan sesuatu dan dibiarkan begitu saja.

Bagaimana dengan desakan pihak tertentu supaya dasar ekonomi yang membantu Melayu dan Bumiputera ditamatkan?

Mereka melihat sesetengah orang Melayu mewah. Ada orang Melayu yang mempunyai 10 kereta dalam sebuah rumah dan berkahwin empat. Mereka kata orang Melayu mewah, tetapi pandangan ini dibuat secara umum seolah-olah semua orang Melayu kaya. Mereka tidak sedar masih ramai yang miskin.

Bagaimanapun, saya memahami tindakan mereka yang hendak menjaga kepentingan kaum mereka. Apa yang saya perhatikan ialah kita mesti adil, tidak melanggar undang-undang serta tidak merampas harta dan hak pihak lain. Ini yang menyebabkan saya mencadangkan kerajaan memajukan TSM dan tanah wakaf di bandar. Kerajaan juga boleh memajukan tanah kerajaan untuk dimajukan bagi menyediakan lebih banyak ruang niaga di bandar. Ini dilakukan tanpa menyentuh kaum lain, tetapi jangan hanya diberi kepada kroni.

Apakah dasar ekonomi kerajaan tidak adil?

Saya rasa tidak. Beginilah, jika orang Melayu dapat 30 peratus, mereka tidak berpuas hati kerana hanya dapat 70 peratus, itu sebenarnya lebih daripada adil. Jika mendapat 100 peratus, itu juga tidak adil kerana ada pihak lain yang tidak dapat langsung.