Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

10 November 2008

Letak BM pada tempatnya





APA yang berlaku di Georgetown apabila papan tanda jalan dinamakan dalam pelbagai bahasa, menunjukkan wujud usaha membelakangkan bahasa kebangsaan. Tindakan itu juga jelas bertentangan dengan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi seperti yang termaktub dalam Perkara 152 Perlembagaan.

Sebagai badan yang dipertanggungjawabkan oleh kerajaan untuk mengembangkan bahasa kebangsaan, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) seperti yang dijelaskan oleh Timbalan Ketua Pengarahnya, KAMARUL ZAMAN SHAHRUDIN, perlu ada gerakan untuk mempertahankan bahasa Melayu termasuk bantahan dalam isu papan tanda jalan tersebut.

Dalam wawancara bersama wartawan Utusan Malaysia, MOHD. KHUZAIRI ISMAIL di pejabatnya, beliau menekankan betapa pentingnya melihat isu bahasa dalam konteks seperti apa yang terkandung dalam Perlembagaan tanpa perlu dipertikaikan, dan lebih luas melihat peranan bahasa Melayu itu sendiri sebagai penyatu perpaduan kaum.

UTUSAN: Isu papan tanda di Pulau Pinang memperlihatkan seolah-olah bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan diketepikan. Bagaimana pendirian DBP berhubung perkara ini?

KAMARUL ZAMAN: Dalam isu berkaitan penggunaan bahasa pada papan tanda ini, DBP melihat bahawa kita harus berpegang kepada apa yang sudah ada dalam Perlembagaan iaitu berkenaan Perkara 152 yang dilanjutkan kepada Akta Bahasa Kebangsaan.

Malaysia sebenarnya tidak dalam masa terdekat ini sahaja menjadi tumpuan pelancong. Sebaliknya sejak sekian lama, negara ini dikunjungi oleh pelancong asing dari pelbagai negara. Justeru, saya tidak melihat kenapa sesuatu yang sudah termaktub dan yang sudah diterima dan berada dalam perundangan harus ditimbulkan.

Kita menjunjung kasih seperti mana yang dititahkan oleh Sultan Perak, Sultan Azlan Muhibbuddin Shah baru-baru ini, lanjutan daripada titah Sultan-Sultan dalam Majlis Raja-Raja Oktober lalu, bahawa sesuatu yang sudah termaktub dalam Perlembagaan tidak harus dipertikaikan.

Apabila kita berada dalam sebuah masyarakat majmuk seperti di Malaysia, kita perlu mencari elemen yang boleh menyatukan seluruh masyarakat, dan bahasa Melayu dari awal iaitu sejak merdeka lagi dikenal pasti sebagai satu elemen yang akan menyatukan kita. Sebab itu jika diperhatikan salah satu fungsi bahasa ialah sebagai bahasa penyatu perpaduan.

Justeru selepas 51 tahun merdeka, kita tidak sepatutnya bergerak ke belakang, sebaliknya menuju ke depan mencari kaedah bagaimana untuk kita meningkatkan perpaduan melalui bahasa. Apa yang lebih penting juga ialah bagaimana untuk kita mencari kaedah menggunakan bahasa Melayu dengan lebih baik.

Jika kita lihat daripada tindakan menaikkan papan tanda jalan dalam pelbagai bahasa ini, kita perlu bertanya adakah ia mampu meningkatkan perpaduan?

Saya fikir mungkin tidak, malah mungkin akan memecahbelahkan kita mengikut kumpulan tertentu. Jadi saya fikir, biarlah ia kekal dalam bahasa Melayu, kerana itulah salah satu perkara yang akan menyatukan kita.

Sejauh mana peranan DBP dalam soal bahasa pada papan tanda?

Untuk menaikkan sesebuah papan tanda, kelulusan akan dikeluarkan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan PBT tidak diwajibkan untuk merujuk kepada DBP dalam konteks penggunaan bahasa. Barangkali di situlah masalahnya. PBT termaktub di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976 dan Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkaitan penamaan jalan, bangunan dan sebagainya.

Di bawah akta-akta ini pula terdapat undang-undang kecil. Oleh sebab undang-undang kecil itu berbeza antara sebuah PBT dengan PBT yang lain, maka ia bergantung kepada sejauh mana kesedaran sesebuah PBT itu untuk meminta pandangan dan khidmat nasihat daripada DBP sebelum menaikkan papan tanda. Tapi dengan kira-kira 144 buah PBT di seluruh negara ketika ini, ada yang tidak jelas mengenai penggunaan bahasa sekali gus menimbulkan ketidakselarasan.

Dalam soal papan tanda ini, kita ada membuat kajian pada 2006 misalnya, yang diketuai oleh pakar-pakar dalam bidang berkaitan mengenai tahap penggunaan bahasa Melayu di tempat awam. Pada waktu itu, kita melihat semua PBT di seluruh negara termasuk di Sabah dan Sarawak memiliki undang-undang tersebut.

Namun, soal pelaksanaan kepada apa yang ada dalam undang-udang itu kita dapati memang ada kelemahannya. Daripada kajian itu juga, hanya 40 peratus papan tanda menggunakan bahasa Melayu yang betul dan baik, iaitu selepas mendapat khidmat nasihat daripada DBP. Selebihnya iaitu 60 peratus papan tanda lain, sebahagiannya masih boleh diterima, tetapi sebahagian yang lain langsung tidak menepati bahasa kebangsaan.

Peranan DBP dalam soal bahasa pada papan tanda ialah kita memberi khidmat nasihat. Selama ini DBP bekerjasama erat dengan PBT dan pengiklan dalam memberikan khidmat panduan bahasa. Lanjutan daripada itu juga, kita kembangkan perkhidmatan itu sesuai dengan kecanggihan teknologi maklumat hari ini dengan pergi secara atas talian yang mana kita bekerja tanpa henti selama setahun dan menawarkan perkhidmatan bahasa secara percuma. Semua ini demi untuk meletakkan bahasa kebangsaan pada tempatnya.

Jadi soal perundangan itu adalah sesuatu yang sudah jelas, masalahnya ialah pelaksanaan. Dalam kes di Pulau Pinang misalnya, tidak timbul soal setelah Georgetown diterima sebagai salah sebuah bandar warisan dunia. Mengambil contoh Paris misalnya, yang lebih dikunjungi oleh masyarakat dunia, tidak memerlukan papan tanda pelbagai bahasa. Soalnya ialah kita perlu meletakkan bahasa Melayu itu pada tempatnya.

Adakah DBP merasakan perlu untuk diberikan lebih kuasa sehingga ke peringkat penguatkuasaan?

Memang Kabinet telah pun diminta melihat Akta Dewan Bahasa dan Pustaka supaya dipinda bagi membolehkan DBP diberi kuasa penguatkuasaan. Tetapi DBP seboleh-bolehnya tidak mahu sehingga ke peringkat terpaksa mengenakan denda. Sebab kita mahu semua rakyat berasa megah dan cintakan bahasa itu dan ia patut timbul daripada hati nurani rakyat sendiri, sesuai dengan usia negara yang sudah merdeka selama 51 tahun.

Bagaimanapun, kalau langkah penguatkuasaan itu perlu dilakukan, kita cuba membawanya dalam bentuk yang lebih mengajak masyarakat untuk mencintai bahasa. Misalnya dengan memberikan nasihat dan amaran. Kalau perlu denda sekali pun kita cadangkan supaya mereka yang melakukan kesalahan bahasa itu diwajibkan hadir kursus kesedaran bahasa.

Usaha menguatkuasakan bahasa ini sebenarnya bukan di Malaysia sahaja. Di Perancis sendiri, iaitu sebuah negara berkuasa besar yang pernah menjadi penjajah sekali pun, turut menguatkuasakan bahasa dan mengenakan denda kepada pesalah bahasanya.

Apa yang kita lihat ialah pindaan kepada undang-undang kecil di bawah Akta Kerajaan Tempatan dan Akta Jalan, Parit dan Bangunan supaya dimasukkan keperluan untuk mendapatkan kelulusan DBP bagi semua papan tanda, nama bangunan dan jalan sebelum diluluskan.

DBP pada 2005 juga, pernah mengadakan seminar dengan semua PBT seluruh negara di Kuching, Sarawak dan satu salah satu resolusi yang dicapai ialah perlunya kepada satu garis panduan atau peraturan yang standard yang boleh digunakan oleh semua PBT sebagai rujukan supaya istilah dan perkataan yang digunakan adalah tepat.

Ada yang melihat polemik mengenai papan tanda di Pulau Pinang ketika ini adalah satu percaturan politik. Apa pandangan DBP?

Kita tidak melihat isu ini dari sudut politik atau kepentingan kaum tertentu. Tetapi sekiranya ada sesetengah pihak yang melihat dari sudut sebegitu, ia terserah kepada persepsi masing-masing. Sebaliknya, DBP melihat dari segi keperluan menegakkan apa yang sudah ada, serta keperluan untuk mewujudkan sesuatu yang akan menyatupadukan seluruh rakyat Malaysia.

Kita perlu faham dalam sekian banyak perjanjian yang dipersetujui sewaktu usaha mencapai kemerdekaan 51 tahun lalu, perkara yang turut dilihat akan menyatupadukan rakyat Malaysia ialah bahasa. Itu yang kita perlu terjemahkan bukan sahaja dahulu, tetapi sehingga ke hari ini yang mana perlu dipastikan bahawa bahasa itu adalah bahasa penyatu, bahasa perpaduan, bahasa komunikasi semua kaum dan bahasa antara pemimpin dengan rakyat.

Peranan

DBP juga tidak anti bahasa Inggeris atau bahasa-bahasa lain. Malah kita faham setiap bahasa ada peranan dan kepentingannya. Tetapi apa yang penting dalam mencapai kemajuan itu biarlah kita berada dalam acuan kita sendiri. Semestinya kita tidak mahu mengecapi kemajuan dari sudut materialistik semata-mata tetapi dalam masa yang sama tercabut akar bahasa yang seharusnya menjadi tunjang kedudukan kita. Jika akar bahasa ini tidak dijaga, maka kita akan maju dalam keadaan anak muda yang hilang arah dan jati diri.

Bagaimana DBP melihat kedudukan bahasa Melayu ketika ini di sebalik sekian banyak ancaman dan cabaran yang terpaksa ditempuhi?

Pada saya secara keseluruhannya bahasa Melayu memang ada tempatnya yang tersendiri. Sebahagian besar daripada kita juga sangat menghormati bahasa Melayu.

Bagaimanapun, terdapat segelintir daripada kita yang mempunyai masalah keyakinan terhadap bahasa Melayu. Mereka ini mungkin tidak mengetahui hakikat berapa ramai sebenarnya saintis negara termasuk dalam bidang sains dan matematik yang lahir dari sistem pendidikan berteraskan bahasa Melayu.

Saya juga melihat kesedaran terhadap kepentingan bahasa Melayu di kalangan masyarakat kita sebenarnya adalah tinggi. Cuma barangkali dalam keadaan situasi semasa seperti ketidaktentuan politik ketika ini, ada segelintir pihak yang cuba menimbulkan isu yang sebenarnya tidak perlu dipersoalkan.

Adakah wajar untuk DBP memiliki tokoh-tokoh pejuang bahasa dalam jawatan kanan dalam memperkasakan peranan memartabatkan semula bahasa Melayu?

Setiap daripada kami di DBP, tanpa mengambil kira jawatan yang disandang dan dalam kapasiti serta tanggungjawab kami, merupakan pejuang bahasa. Malah, kami akan terus bersatu dan berjuang untuk memartabatkan bahasa Melayu tanpa mengira bagaimana bentuk gelombang yang datang sekali pun.

Saya juga melihat soal perjuangan bahasa itu tidak terletak di atas bahu DBP sahaja. Dalam masa yang sama, saya berpendapat adalah lebih baik sekiranya tokoh pejuang bahasa juga berada dalam pelbagai bidang yang lain. Dalam bidang politik misalnya, adalah perlu untuk memiliki pemimpin yang benar-benar menegakkan bahasa kerana kaitan politik dan bahasa itu adalah sangat penting.

Saya suka mengambil contoh menteri seperti Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Rais Yatim dan Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein misalnya, yang benar-benar prihatin dengan perjuangan bahasa Melayu. Bagaimana Hishammuddin dalam teras pertama pelan induk pembangunan pendidikan iaitu membina negara bangsa meletakkan usaha memperkasakan bahasa kebangsaan sebagai strategi utama.

Sebab itu sewaktu sidang Dewan Rakyat dibuka semula pada 13 Oktober lalu, DBP menghadiahkan kepada setiap ahli dewan sebuah Kamus Dewan. Adalah sepatutnya di sebuah institusi yang membincangkan tentang perundangan tertinggi negara, bahasa yang baik dan bersopan digunakan tidak kira oleh Ahli Parlimen kerajaan atau pembangkang.

Bahasa yang persis, sopan dan santun itu sendiri melambangkan kita sebagai sebuah masyarakat yang bertamadun dan kegagalan berbahasa dengan baik ibarat merendahkan martabat sendiri.

Tindakan membelakangkan bahasa Melayu seolah-olah menggambarkan kurangnya keyakinan sesetengah pihak terhadap bangsa kebangsaan. Sejauh mana wujudnya keadaan itu dalam masyarakat kita?

Dalam bercakap tentang keyakinan bahasa, kita perlu melihat bagaimana pandangan orang luar terhadap bahasa Melayu. Ketika ini di seluruh dunia, terdapat sebanyak 115 buah universiti di 35 negara yang mengajar bahasa Melayu dengan jumlah pelajar hampir 10,000 orang.

Kita juga sering mendapat permintaan daripada negara-negara luar, seperti menerusi kedutaan Rusia baru-baru ini, supaya menghantar tenaga pengajar bahasa Melayu di universiti negara berkenaan. Malah sejak 1999, kita bekerjasama dengan Universiti Pengajian Luar Negara Beijing dengan menghantar tenaga pengajar sehingga universiti tersebut mewujudkan kerusi pengajian Melayu tahun lepas. Di Australia pula, bahasa Melayu diajar di peringkat sekolah.

Persoalannya, ketika orang luar begitu yakin dan berminat dengan bahasa Melayu, mengapa kita sebagai rakyat Malaysia sendiri tidak rasakan sebegitu? DBP dalam berinteraksi dengan pihak luar juga sering diajukan dengan kehairanan mengapa apabila mereka datang ke Malaysia, bahasa Melayu tidak digunakan. Sebaliknya bahasa Inggeris dan bahasa lain yang dituturkan secara meluas.

Sedangkan tujuan kedatangan mereka ke Malaysia adalah untuk melihat sesuatu yang asli dari Malaysia, sama ada dari sudut budaya, bahasa atau makanan. Seharusnya kita sebagai rakyat Malaysia berasa megah dan bangga dengan warisan yang kita ada, termasuklah bahasa Melayu yang merupakan bahasa yang sangat indah.