PENJIMATAN sebanyak RM7 bilion yang diperoleh daripada subsidi minyak pada kali ini diharap dapat diagihkan untuk pelaksanaan projek-projek berkepentingan rakyat.
Penurunan harga minyak dunia sesungguhnya suatu rahmat. Di samping kerajaan dapat melakukan penjimatan, ia juga dapat menjana pertumbuhan ekonomi negara. Langkah-langkah penjimatan dan pelaksanaan projek-projek seperti mana diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri, merupakan usaha yang boleh memberikan kesan positif terhadap sektor pembinaan, perumahan, pengangkutan, pelaburan, latihan dan teknologi maklumat.
Dalam suasana ekonomi dunia berhadapan dengan kemungkinan kemelesetan, kerajaan kita tampil mengemukakan pelan untuk menangani krisis ekonomi itu.
Sebagai Menteri Kewangan yang baru, Datuk Seri Najib Tun Razak kini bekerja keras untuk memastikan rakyat berada dalam keadaan sejahtera, aman dan makmur.
Kita patut berbangga dengan kesungguhan Kerajaan Pusat yang penuh iltizam melakukan segala yang termampu untuk terus membela rakyat dan menyelamatkan ekonomi negara daripada 'tsunami ekonomi' yang sedang melanda beberapa negara di dunia.
Memang wajar kerajaan bersiap sedia menghadapi krisis kewangan dunia agar pertumbuhan ekonomi negara kita terjamin dan rakyat tidak terlalu tertekan dengan masalah tersebut.
Paling penting, segala perbelanjaan yang digunakan untuk langkah-langkah tambahan ini adalah hasil penjimatan daripada subsidi minyak. Malah jumlah perbelanjaan yang dibentang pada Bajet 2009 tidak berubah.
Jelas, cadangan pihak pembangkang supaya Bajet 2009 dikaji semula, langsung tidak relevan sebaliknya Menteri Kewangan kita mempunyai cara yang lebih berkesan untuk menjana ekonomi negara.
Pengalaman menangani kemelut ekonomi akibat krisis mata wang pada 1997-1998 dahulu sudah mengajar kita bagaimana untuk mengurus krisis.
Cadangan pemimpin pembangkang jika dituruti hanya akan membelit diri kita untuk dikuasai oleh pihak asing.
Pendekatan Najib memanfaatkan dana RM7 bilion hasil subsidi minyak untuk menggerakkan ekonomi tempatan ketika ekonomi dunia menguncup, adalah langkah tepat. Dengan menyuntik dana tambahan, ekonomi negara tidak akan mengalami kemelesetan, sebaliknya ia boleh terus berkembang.
Melalui cadangan projek-projek dalam strategi langkah-langkah tambahan yang dibentang oleh Najib di Dewan Rakyat semalam, sudah pasti rakyat yang belum memiliki rumah berpeluang mendapatkannya, kebajikan anggota keselamatan dibela, kontraktor kecil mendapat peluang kerja, kemudahan awam dibaik pulih, kemudahan pendidikan semua kaum diberi perhatian dan sistem pengangkutan awam dimantapkan lagi.
Sebenarnya banyak projek yang dicadangkan oleh Menteri Kewangan bukan sahaja menjana ekonomi negara, malah memastikan rakyat mendapat apa yang patut mereka perolehi meskipun ketika dunia menghadapi krisis ekonomi.