Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

16 November 2008

Nik Hassan sewa hotel RM1.50 di tapak kajian - Kaji sebab Raja Bersiung gila darah



SETIAP barangan yang ditemui termasuk tempayan ini perlu direkodkan.



BILIKNYA dipenuhi dengan ratusan buku sebagai rujukan dan kajian ilmiah sebagai persediaan meneroka alam arkeologi. Ketelitian dan ketepatan amat diperlukan kerana segala hasil kajian bakal menjadi sumber rujukan generasi akan datang.

Namun sepanjang berbicara lelaki ini sering merenung potret beliau bersama isteri tersayang yang tergantung di biliknya. Malah ada masanya perbualan kami dicelah panggilan daripada si isteri.

Begitulah secebis kisah Timbalan Pengarah Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Nik Hassan Suhaimi Nik Abdul Rahman.

"Jika dikira dalam setahun enam bulan sahaja saya bersama keluarga manakala selebihnya dihabiskan dengan meredah hutan, laut dan angkasa dalam cuaca tidak menentu," katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Bicaranya lagi, beliau telah mengembara hampir ke seluruh bahagian dunia termasuk Jepun, New Zealand, Australia dan benua Asia Tenggara untuk 'tugasan' mahupun terlibat dalam seminar antarabangsa.

Arkeologi ialah bidang yang mengkaji rahsia bumi masa lalu di perut bumi. Ia memerlukan kerja keras dalam usaha mencari bahan-bahan dan peninggalan masyarakat zaman lampau.




Seorang ahli arkeologi juga perlu mahir menggali setiap sentimeter tanah di lokasi sejarah dan mesti mencatat semua rekod dan dokumentasi kerja-kerja mereka.

"Indonesia telah menjadi rumah kedua sepanjang 30 tahun kebelakangan ini. Ini kerana saya perlu menyiapkan kajian di wilayah Sumatera Utara, Barat, Selatan dan Lampung.

"Syukur hasilnya berbaloi kerana saya berjaya menyiapkan buku Zaman Klasik di Nusantara dengan bantuan pakar arkeologi Indonesia Bambang Budi Utomo," katanya yang turut mengkaji kepentingan Lembah Bujang di Kedah.

Tegasnya, dunia arkeologi bukan sekadar mengkaji sejarah tetapi pada masa sama mencari kebenaran misteri yang tersembunyi.

"Sebagai contoh, Raja Bersiung yang dikatakan gila darah gara-gara tukang masaknya terhiris darah pada masakan yang menjadi santapan beliau.

"Perkara itu benar tetapi bukannya kerana tukang masak itu terhiris jarinya sendiri tetapi raja sebelum kedatangan Islam pada zaman dahulu perlu minum darah beserta arak sebagai amalan ritual bagi menunjukkan kekuasaan mereka," katanya.

Beliau menambah, kepentingan arkeologi penting dalam membentuk keperibadian agar sejarah masa lampau tidak dilupakan.

"Semasa menjadi penyelidik fellow di Pusat Kajian Asia Tenggara, Universiti Kyoto, Jepun, saya mengkaji perahu yang digunakan orang Melayu pada zaman lampau yang menunjukkan secara jelas bangsa Melayu ialah bangsa maritim.

"Mereka gemar berlayar untuk berdagang dan menerokai tempat baru. Cuma apabila kedatangan penjajah, tradisi itu disekat dan berubah," katanya.

Pengalaman ketika terlibat dengan dunia arkeologi pada tahun 1970-an di Indonesia tidak akan dilupakan Nik Hassan.

"Ketika itu keadaan tidak mewah seperti sekarang. Selepas menaiki kapal terbang saya perlu menaiki bas ke kawasan kajian sehingga ada yang memakan masa berhari-hari. Hotel juga murah iaitu RM1.50 sahaja untuk satu malam," katanya ketawa.


INDONESIA menjadi rumah kedua Nik Hassan sejak 30 tahun kebelakangan.


Ditanya adakah pada usia sekarang menyebabkan pergerakan beliau terbatas, balas Nik Hassan: "Lagi tua lagi bersemangat. Contohnya, baru-baru ini di Kuala Sepetang, Perak, saya perlu meredah hutan paya bakau untuk mengkaji peradaban manusia awal. Bayangkan di situ penuh dengan akar yang menjalar serta licin.

"Tetapi saya gagahkan juga. Saya tidak jatuh tetapi orang yang lebih muda pula yang terjatuh. Jangan cepat mengalah dan berputus asa. Kesabaran harus menjadi input utama," katanya.

Namun Nik Hassan berharap tapak-tapak arkeologi yang terdapat di negara ini akan terus terpelihara.

"Di Jepun mereka amat menjaga kawasan arkeologi. Walaupun terdapat pembangunan tapak arkeologi akan ditanda dengan pokok agar tidak diganggu.

"Jangan disebabkan kita terlalu mengejar ke hadapan kita melupakan masa lampau. Kerana zaman lampaulah wujudnya peradaban kini," bicaranya penuh makna.