05 November 2008

Selamatkah makanan kita?


MAKANAN merupakan asas terpenting dalam kehidupan kita. Pengambilan makanan yang berkhasiat dan berzat mencerminkan amalan gaya hidup sihat di kalangan rakyat Malaysia. Namun, sedarkah masyarakat kita hari ini bahawa kebanyakan makanan yang diambil kini mengandungi unsur-unsur yang tidak selamat untuk dimakan dan boleh mendatangkan kemudaratan kepada tahap kesihatan kita.

Yang pasti, sikit atau banyak kuantitinya, bahan kimia sering digunakan sebagai bahan tambahan dalam pemprosesan makanan. Aditif, melamin, benzoik dan metanil adalah antara contoh bahan kimia yang terkandung dalam makanan. Sedar atau tidak, ada antara bahan kimia ini jika diambil berlebihan boleh mendatangkan pelbagai kemudaratan kepada tahap kesihatan kita biarpun kandungannya telah dibenarkan. Tidak cukup itu, bahan kimia ini pula digunakan dalam pembuatan pembungkusan makanan itu sendiri pula seperti polietilina, polietilina terefatalat, propilina dan polivinil klorida.

Pencemaran susu tepung oleh bahan kimia, melamin baru-baru ini amat mengejutkan ramai pihak. Produk tenusu keluaran China telah didapati mengandungi bahan kimia, melamin yang telah menyebabkan kematian beberapa orang bayi dan beribu-ribu bayi lagi sedang menderita kesan daripada produk yang dicemari itu. Apa sudah berlaku kepada dunia hari ini? Susu tepung yang kita minum sejak dari bayi kini sudah tidak selamat? Selamatkah anak kita yang meminumnya? Pekakah pihak yang berwajib akan isu ini? Apakah pula tindakan mereka?

Apabila isu ini diketengahkan barulah semua pihak membuka mata. Kerajaan mengambil tindakan pantas dengan mengharamkan pengimportan produk tenusu keluaran China sebagai langkah berjaga-jaga. Masyarakat pula mula berhati-hati dalam membeli sebarang produk terutama susu tepung dari China.

Inilah yang membelenggu masyarakat kita hari ini, sudah terhantuk baru tengadah. Apabila isu pencemaran makanan ini timbul mereka seolah-olah baru terjaga dari tidur dan mengambil langkah berhati-hati dalam pemilihan makanan. Namun, apabila isu ini mula senyap maka mereka mula kembali ke takuk lama. Sikap inilah yang mencerminkan 'ketidakpekaan' masyarakat kita terhadap tahap kesihatan masing-masing.

Tatkala dunia sedang hangat memperkatakan isu susu tepung dari China mengandungi bahan terlarang iaitu melamin, di Malaysia pula kita dikejutkan dengan satu berita yang seharusnya menjadi iktibar kepada semua. Produk makanan ringan di Malaysia didapati tercemar kerana kandungannya mengandungi melamin.

Memalukan

Apa sudah jadi? Kita sibuk memperkatakan perihal produk orang lain walhal pada masa yang sama produk kita sendiri juga tercemar. Biarpun produk tersebut tidak dipasarkan di Malaysia, namun sebagai pengeluarnya, ia adalah sesuatu yang memalukan dan mencalarkan imej negara kita sendiri.

Masyarakat seharusnya lebih peka tentang isu ini kerana amatlah malang bagi kita jika ada di kalangan anak-anak kita yang menderita akibat menghidap pelbagai penyakit kronik kesan dari pencemaran ini. Kerajaan terutama kementerian yang terlibat seharusnya lebih peka tentang isu ini. Pengharaman pengimportan produk tenusu yang didapati mengandungi melamin dari negara China dan pada masa yang sama pemantauan berkala terhadap semua produk bukan sahaja produk tenusu dari negara China malah produk-produk lain yang diimport dari pelbagai negara perlu sebagai langkah berjaga-jaga.

Pemantauan ini sepatutnya dilakukan bukan sahaja ketika masyarakat sibuk membicarakan isu melamin tetapi berkala agar kita beringat sebelum kena. Jika pemantauan yang berkala ini dilakukan dengan lebih efisien sudah pasti masalah pencemaran makanan oleh bahan kimia yang berlebihan dapat dielakkan atau sekurang-kurangnya ia dapat dikesan sebelum merebak dengan lebih teruk lagi.

Oleh itu, sebelum memilih makanan, pastikan kandungan bahan kimia yang terkandung di dalamnya selamat dan bersesuaian. Jika perlu elakkan mengambil makanan yang mempunyai kandungan bahan kimia yang tinggi. Berhati-hati jugalah dalam kekerapan mengambil makanan tersebut kerana sesuatu bahan kimia itu selamat diambil jika jumlahnya adalah seperti yang dibenarkan tetapi jika ia acap kali diambil maka jumlahnya sudah pasti kurang selamat. Apa pun, pengguna yang berhak menentukannya kerana keputusan ditangan mereka. Tepuk dada tanya selera.

NURULHIDAYAH AHMAD TAJULDDIN