ETIKA media sibuk membuat liputan mengenai krisis kewangan dan keganasan baru-baru ini, perkara paling penting yang perlu diberi perhatian ialah idea baru dan kreatif pelbagai kerajaan di dunia untuk menangani isu utama - kemiskinan, penyakit dan kebuluran.
Fokus ini bukan sekadar untuk membuat kita berasa sedikit lega, malah lebih ke arah persediaan bagi menghadapi ancaman dunia lebih dahsyat iaitu penyebaran pemikiran pesimis yang kini menjadi antara masalah paling sukar untuk dileraikan.
Mengkaji aspek kejayaan memberikan kita pengetahuan dan keyakinan untuk meningkatkan kerjasama bagi meleraikan cabaran paling serius yang melanda dunia hari ini. Justeru, kita perlu memberi tabik hormat, pertama kepada Mexico kerana menjadi perintis kepada idea ‘perpindahan tunai bersyarat’ kepada keluarga miskin negara itu.
Perpindahan tunai membolehkan dan menggalakkan penduduk miskin melabur dalam aspek kesihatan, pemakanan dan persekolahan anak.
Baru-baru ini, penyanyi terkemuka, Shakira dan Alejandro Sanz melalui satu gerakan sosial diketuai mereka, berjaya mendapatkan semua pemimpin Amerika Latin komited untuk meningkatkan program pembangunan awal kanak-kanak - selepas konsep itu terbukti berjaya.
Norway di bawah kepemimpinan Perdana Menterinya, Jens Stoltenberg, terus mengekalkan kekuatan tradisi dalam kreativiti sosial dan kepemimpinan alam sekitar. Kerajaan negara terbabit mencetus satu kerjasama global untuk menangani kes kematian bayi ketika lahir, dengan melabur dalam sektor mengenai kaedah bersalin secara selamat dan survival bayi yang baru lahir.
Pada masa sama, Norway melancarkan program inovatif bernilai AS$1 bilion bersama Brazil, bagi membantu masyarakat miskin di Amazon menangani isu penebangan hutan yang melampau. Amat bijak kerana Norway mengeluarkan dana kepada Brazil hanya selepas ia terbukti berjaya menangani isu penebangan hutan melampau ini (berbanding dengan garis panduan dipersetujui).
Sepanyol, yang diketuai Perdana Menteri Jose Luiz Rodroguez Zapatero, memberi rangsangan besar untuk membantu negara miskin mencapai Matlamat Pembangunan Alaf Baru (MDG).
Negara berkenaan, mencipta satu ‘Dana MDG’ baru di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi mempromosi kerajaan yang diperlukan di kalangan PBB untuk menangani pelbagai cabaran dihadapi MDG.
Kerajaan Sepanyol sudah mencadangkan penyelesaian terbaik untuk meleraikan isu kemiskinan yang memerlukan pelaburan berterusan dalam bidang kesihatan, pendidikan, pertanian dan infrastruktur, sebelum negara itu menggunakan dana berkenaan untuk membentuk satu wawasan bersepadu dan menjadikan ia realiti.
Sekali lagi, Sepanyol mencadangkan cara praktikal dan inovatif yang bergerak daripada sekadar rundingan kepada tindakan, khususnya untuk membantu petani miskin mendapatkan peralatan, benih dan baja yang diperlukan bagi meningkatkan produktiviti ladang, pendapatan serta keselamatan makanan.
Perdana Menteri Australia, Kevin Rudd, turut mengeluarkan formula bagi meleraikan masalah global ini, dengan menggariskan pelan tindakan agresif ke atas perubahan cuaca dan mencadangkan cara baru serta praktikal bagi menangani isu MDG.
Australia mengeluarkan dana bagi meningkatkan pengeluaran makanan, sama seperti dicadang Sepanyol. Ia juga mempelopori program tindakan menangani isu kemiskinan dan alam sekitar yang mengancam ekonomi negara di rantau Pasifik.
Yang mengagumkan, semua usaha ini diseimbangkan dengan pelbagai tindakan dari negara termiskin. Negara miskin seperti Malawi, di bawah pemerintahan Presiden Bingu wa Mutharika, menggandakan pengeluaran makanan tahunannya sejak 2005 melalui satu usaha perintis bagi membantu petani paling miskin. Program ini begitu berjaya sehingga ia ditiru hampir seluruh negara Afrika lain.
Kerajaan Mali, di bawah Presiden Amadou Toumani Toure, baru-baru ini dengan lantang mencabar masyarakat dunia. Mali katanya, sanggup meningkatkan pelaburan dalam bidang pertanian, kesihatan, pendidikan dan infrastruktur ke atas 166 komunitinya yang paling miskin.
Rancangan yang digariskan begitu terperinci, berwibawa dan ia dibuat berdasar kepada kejayaan dicapai kerajaan itu. Beberapa negara kaya sudah berjanji untuk membantu Mali dan negara itu kini bekerja keras untuk merealisasikan cabaran yang dilaungkan kepada dunia.
Banyak lagi kes yang boleh disebut di sini. Kesatuan Eropah melancar usaha satu bilion euro bagi membantu petani miskin. Yayasan Gates, Unicef, Rotary Internatiional dan banyak lagi kerajaan, berjaya mengurangkan kadar kematian bayi akibat polio kepada 1-1000, berbanding jumlah yang berlaku satu generasi lalu. Penyakit ini hampir berjaya dihapuskan sama sekali.
Usaha sama sedang dilakukan di tempat lain terutama membabitkan pengawalan penyakit cacing dan kusta. Dunia juga sedang berusaha untuk memastikan kematian disebabkan malaria mencatat angka sifar menjelang 2015.
Semua kejayaan ini dan banyak lagi yang lain, berkongsi paten sama. Mereka menangani cabaran yang jelas dan serius.
Contohnya, pengeluaran makanan yang rendah atau penyakit tertentu ditentukan berasaskan satu set penyelesaian yang tersusun, seperti peralatan pertanian serta input diperlukan petani miskin atau suntikan untuk mencegah penyakit.
Demonstrasi projek skala kecil membuktikan betapa kejayaan boleh dicapai. Cabaran selepas itu ialah membawa penyelesaian berkenaan kepada skala lebih besar di peringkat negara atau menjadikan ia program dunia.
Kepemimpinan diperlukan, terutama di kalangan negara yang memerlukan, begitu juga di kalangan negara kaya yang boleh membantu melancar dan membiayai penyelesaian yang dicadangkan. Akhirnya, jumlah kewangan mencukupi dan disalur terus kepada cara paling praktikal untuk menyelesaikan masalah - boleh membawa perubahan kepada sejarah kemiskinan.
Berita buruk boleh mengetepikan berita baik, terutama pada ketika krisis kewangan dan suasana politik yang menggugat dunia hari ini. Tetapi, berita baik menunjukkan kita mungkin boleh tewas dalam serangan ke atas kemiskinan, penderitaan dan gagal menggunakan kebijaksanaan dan semangat kerjasama yang boleh digerakkan hari ini.
Mungkin tahun depan, Amerika Syarikat boleh menyertai semula usaha global dengan pasukan baru yang lebih berwibawa, selepas diketuai seorang presiden muda yang dengan tegas memberitahu seluruh rakyat Amerika dan dunia bahawa: ‘Ya, kita boleh.’
Penulis ialah Profesor Ekonomi dan Pengarah Institut Bumi di Universiti Columbia. Beliau juga Penasihat Khas kepada Setiausaha Agung PBB mengenai Matlamat Pembangunan Alaf Baru (MDG)