07 Disember 2008

Memperkasa BM tanggungjawab semua kaum


Di luar lingkaran Johan Jaaffar

Zaman slogan berakhir, ini masa bertindak

SEWAKTU merasmikan sambutan jubli emas Institut Pendidikan Guru Malaysia, Kampus Bahasa Melayu bulan lalu, Datuk Seri Hishamuddin Hussein mengingatkan bahawa zaman berslogan sudah berakhir. Inilah masa untuk menyusun gerak kerja. Menteri Pelajaran menyebutkan tentang perlunya memberi nilai pada aktiviti kebahasaan dan kesusasteraan serta membudayakannya dalam kehidupan rakyat sehari-hari.

Memang kedudukan bahasa Melayu tidak perlu dipersoalkan lagi. Tetapi meletakkannya sebagai bahasa kebangsaan adalah satu hal, memastikannya dihargai dan dimartabatkan sebagai bahasa rasmi negara satu hal yang lain. Kedudukannya dalam Perlembagaan memang jelas tetapi sejauh manakah dinobatkan tahap "kebangsaan" dan "rasminya" satu perkara yang lain.

Memang tidak dapat dinafikan, bahasa Melayu menghadapi pelbagai cabaran masa kini. Gerakan rakyat yang menyokong usaha memartabatkannya pada tahun-tahun 60-an tentulah berbeza dengan keadaan hari ini. Apa yang disebutkan "nasionalisme linguistik" yang menjadi gelombang desakan rakyat untuk melihat bahasa itu bahasa kebangsaan negara tidak kelihatan lagi sekarang. Zaman kebangkitan rakyat yang mahukan bahasa itu dimuliakan sebagai bahasa rasmi nampaknya tidak berlaku lagi. Zaman di mana pejuang bahasa menjadi wira rakyat juga nampaknya sudah berakhir. Bahasa bukan lagi modal menawan hati pengundi.


Zaman berubah bersama nilai dan tuntutan rakyat. Sementara itu bahasa Inggeris menapak kukuh sebagai bahasa perhubungan antarabangsa dan bahasa ilmu. Kini bahasa itu mendapat kekuatan baru melalui asakan teknologi maklumat atau ICT. Bahasa itu menjadi bahasa rasmi alam siber. Memang kesannya pada bahasa-bahasa utama dunia yang lain cukup dirasakan, bukan pada ahasa Melayu sahaja. Bahasa Inggeris mendapat nafas dan kekuatan baru ekoran kedudukan baru itu.

Kita semua tahu keupayaan bahasa Melayu. Bahasa itu menjadi bahasa wahana tinggi dan bahasa ilmu yang boleh mengajarkan pelbagai disiplin dalam bidang sains dan teknologi selain bidang-bidang sains kemanusiaan. Bahasa itu menjadi bahasa rasmi di mahkamah-mahkamah negara. Bahasa itu lebih daripada sekadar pengantara di antara kaum atau bahasa perpaduan.

Memang mudah bercakap tentang usaha memperkasa bahasa Melayu. Tetapi rata-rata tugas itu dibebankan pada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) atau Kementerian Pelajaran. DBP tidak mempunyai Lampu Aladdin untuk menyelesaikan semua masalah kebahasaan. DBP berperanan membina dan mengembangkan bahasa itu, tugas yang telah dilakukan lebih lima dekad. Tetapi bahasa Melayu tidak akan membawa sebarang makna sekiranya ia berkembang dan berkisar hanya di sekitar bangunan DBP atau di kalangan penggunanya yang setia. Bahasa Melayu memerlukan dokongan rakyat.

Oleh yang demikian, adalah menjadi tanggungjawab setiap rakyat Malaysia untuk memastikan bahasa itu dimuliakan dan dihargai. Bukan sekadar orang Melayu atau institusi Melayu atau gerakan bukan kerajaan yang berteraskan Melayu sahaja harus memainkan peranan dalam soal ini. Bahasa Melayu bukan bahasa orang Melayu semata-mata, tetapi bahasa semua kaum. Maka itu tugas memastikan kejayaan program bahasa menjadi tanggungjawab semua rakyat � tidak mengira kaum.

Banyak pihak yang mengambil mudah peranan bahasa itu hari ini. Lihat sahaja keupayaan bahasa itu sebagai bahasa perhubungan di antara rakyat pelbagai kaum. Sabah dan Sarawak menjadi contoh klasik bagaimana bahasa itu menjadi penghubung di antara pelbagai kelompok etnik, malah sesama suku kaum. Di Semenanjung, bahasa itu menjadi jambatan interaksi kaum yang penting. Bahasa itu juga menjadi bahasa pengantara di sekolah-sekolah yang menjadi asas pembinaan sebuah negara bangsa yang kita mahukan.

Ada kalangan yang menghujahkan bahawa sesuatu bahasa akan hanya dihargai peranan dan kedudukannya sekiranya ia mempunyai nilai ekonomi. Hal ini memang tidak dapat dinafikan. Apabila keputusan peperiksaan ditentukan oleh pencapaian bahasa Melayu, maka setiap orang akan bekerja kuat menguasainya. Apabila prasyarat mendapat kerja ialah keputusan mata pelajaran bahasa yang baik, maka ia menjadi motivasi untuk pelajar mendapat markah yang terbaik. Lebih penting lagi ialah kedudukannya dalam dunia komersial dan niaga "di luar sana." Di sinilah nilai sesuatu bahasa akan ditentukan.

Hal inilah yang sangat merunsingkan. Sejak sekian lama, kedudukan ekonomi bahasa Melayu tidak pernah dapat menandingi Bahasa Inggeris. Malah, ada kecenderungan bahawa bahasa vernakular yang lain mempunyai tahap kedudukan ekonomi yang jauh lebih baik. Ini bukan lagi isu persepsi tetapi kenyataan yang harus diterima. Ambil sahaja contoh pendapatan iklan media cetak berbahasa Melayu yang tidak pernah mendapat lebih daripada 25 peratus dari keseluruhan nilai iklan. Berdasarkan angka terbaru, pendapatan terkumpul iklan bagi akhbar berbahasa Melayu hanya RM546 juta setahun berbanding pendapatan akhbar berbahasa Inggeris yang memperoleh RM1.1 bilion. Malah, bukan rahsia lagi pendapatan terkumpul iklan kesemua akhbar berbahasa Melayu di negara ini tidak dapat menandingi pendapatan iklan sebuah akhbar berbahasa Inggeris.

Seperkara lagi ialah pendapatan iklan akhbar berbahasa Cina. Sepanjang setahun berakhir pada September 2008 akhbar Cina memperoleh RM765 juta, lebih RM219 juta dari pendapatan terkumpul akhbar berbahasa Melayu. Dari segi peratusan, akhbar berbahasa Inggeris menguasai 47.5 pendapatan iklan, akhbar berbahasa Cina 30.4 peratus sementara akhbar berbahasa Melayu 21.7 peratus. Memandangkan orang Melayu mewakili lebih 60 peratus rakyat negara ini dan bahasa Melayu merupakan bahasa rasmi negara, hal ini tentulah menghairankan.

Ini bukti jelas bagaimana bahasa Melayu masih dilihat sebagai tidak mempunyai nilai ekonomi yang sepatutnya. Malah, lebih menyedihkan lagi bahawa jumlah cetak akhbar berbahasa Melayu (kecuali dua buah akhbar tabloid yang bersifat bacaan ringan) sebenarnya semakin menurun. Ada pihak yang menyalahkan dasar pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris menyebabkan keadaan ini. Hakikatnya, keadaan ini berlaku lama sebelum dasar itu dilaksanakan. Memang kesan dasar itu terhadap industri persuratkhabaran dan buku berbahasa Melayu agak ketara, tetapi ada faktor lain yang harus juga diambil kira.

Persoalannya jauh lebih kompleks dari itu. Memberi nilai ekonomi pada bahasa bukan sekadar meletakkannya sebagai bahasa kebangsaan tetapi bagaimana bahasa itu "didarjatkan" sebagai bahasa kebangsaan. Sekiranya bahasa itu hanya diterima secara formal sebagai bahasa kebangsaan tetapi tahap penerimaannya tidak mencerminkan tahap rasminya, maka bahasa itu akan terus berada pada tahap ketiga dalam kedudukan ekonominya.

Hishamuddin mengingatkan bahawa usaha memperkasa bahasa kebangsaan menjadi agenda pertama dalam teras Membina Negara Bangsa seperti yang termaktub di dalam Pelan Induk Pendidikan Kebangsaan (PIPP). Beliau juga menyebutkan tentang perlunya "gelombang baru" memperkasa bahasa itu yang menurut beliau bermula dari perayaan Jubli Emas DBP pada Jun 2006. Beliau berkata, "tidak ada jalan pintas untuk gerakan baru yang hendak dimulakan ini, sebaliknya gerakan ini perlu mempunyai perancangan yang teliti dan strategi yang berkesan." Beliau juga mengajak pada "kesatuan fikiran dan kesatuan tindakan setiap penggeraknya." Beliau mahukan usaha memperkasa bahasa itu "dibuat melalui pendekatan yang lebih segar, perancangan yang lebih menyeluruh, pengisian yang lebih mantap dan pelan tindakan yang lebih berfokus."

Masa depan bahasa kebangsaan bergantung pada komitmen semua pihak merealisasikan impian itu. Tugasnya bukan kecil dan penuh berliku. Tepuk dada tanya selera.