Oleh Bennie Zie Fauzi
![]() |
Kehalusan seni pembuatan tangan menjadikan seterika dan mesin jahit antik sentiasa hidup dan bernilai nostalgia
HOBI mengumpul barang antik bukan sekadar memerlukan wang yang banyak malah menuntut tanggungjawab, pengetahuan mendalam mengenai barangan itu selain harus berkorban masa dan tenaga.
Pengumpul seterika dan mesin jahit lama, Lim Cheng Hoe menepati kriteria yang digambarkan menerusi dua himpunan barang antiknya itu yang kini mencecah jumlah ratusan.
“Selama 15 tahun bergelar pengumpul barang antik, mesin jahit lama dalam simpanan saya kini hampir mencecah 70 manakala berpuluh-puluh seterika lama disimpan di rumah dan diperagakan di kedai antik saya di Amcorp Mall,” katanya.
Kebanyakan mesin jahit Lim dicipta pada abad ke 19 dan awal abad 20 dengan jenama Singer mengungguli koleksi.
Menyifatkan jenama itu perintis kewujudan mesin jahit di Malaysia, Lim layak berbangga kerana sebuah mesin jahit Singer miliknya diiktiraf tertua di negara ini.
![]() |
Mesin kaki buatan tahun 1860. |
Mesin jahit tangan bertatah tiram berusia kira-kira 100 tahun berkenaan berjaya menewaskan 3,000 mesin sejenisnya dalam pertandingan bersempena ulang tahun ke-100 Singer.
Menariknya, selesai pertandingan, Lim ditawar harga tinggi oleh pihak pengurusan Singer yang ingin memiliki mesin itu namun ditolak beliau secara baik.
“Bukan wang yang dikejar sebaliknya saya lebih menghargai nilai nostalgianya,” kata Lim yang turut menyimpan koleksi mesin jahit keluaran Wilcox and Gibbs, Agenoria keluaran 1870 yang dipatenkan atas nama syarikat mesin jahit Franklin di Birmingham, Badbury & Co, Raymond Weir dan beberapa nama yang tidak mungkin ditemui lagi.
Lim berkata, tidak sah bergelar pengumpul sekiranya dalam simpanan tidak ada mesin jahit Wilcox and Gibbs. Beliau sendiri mempunyai beberapa mesin jahit itu yang dikeluarkan pada 1857.
![]() |
Lim bersama sebahagian koleksi seterikanya. |
Ditanya keistimewaan mesin terbabit, Lim memberitahu, rekaan ganjil, ukuran mini dan pemutar benang yang mengeluarkan bunyi senyap menjadikan ia begitu popular pada zaman itu.
“Lagipun, mesin ini ringan, mudah disimpan dan dibawa ke mana-mana. Faktor ini punca mesin jahit tangan kekal wujud hingga ke hari ini berbanding yang beroperasi menggunakan kaki,” katanya.
Selain mesin jahit, Lim gila mengumpul seterika lama. Seterika antik dalam simpanannya ada yang seusia genius tentera dan pemerintah Perancis Napoleon Bonarparte yang lahir sekitar 1700.
Sebagaimana mesin jahit, seterika Lim didatangkan daripada pelbagai era, rekaan, fungsi, cara penggunaan malah material juga berbeza. Sesetengah seterikanya ada yang seberat 10 kilogram dan lebih.
Seterika keluaran lewat kurun ke 19 misalnya, dipanaskan di atas dapur logam yang dibuat khusus untuknya. Api dinyalakan dalam dapur sebelum ditempatkan dua hingga lapan seterika di atasnya untuk dipanaskan.
“Ketika itu, seterika cuma mampu digunakan golongan bangsawan dan biasa ditemui di rumah agam. Berat seterika dan kaedah penggunaannya yang rumit membuatkan kerja pembantu rumah sangat terbeban. Ia menjadikan kerja mendobi dan menggosok pakaian memakan masa sehari suntuk sehingga mencetuskan pengisytiharan ‘hari mencuci dan menggosok baju’,” cerita Lim yang memiliki deretan koleksi berharga seterika arang kepala naga Berlinger serta Flatiron, seterika keluli pertama yang dipanaskan terus di atas api. Kedua, seterika ini dicipta lewat 1800.
Seterika lebih kecil, ringan dan efektif diilhamkan sekitar 1738 oleh Wilkinson of Cartmel, England sebelum kewujudan seterika yang dipatenkan atas nama Mrs Potts pada 1871 dan seterika elektrik keluaran American Elecl. Heater Co. di Detroit.
Keunikan seterika Lim terselit menerusi kaedah operasinya yang berbeza-beza merujuk tahun ia direka. Mengenainya, Lim berkata, seterika menjalani evolusinya menjelang akhir 1800.
“Kebanyakan seterika dihasilkan selepas tarikh itu beroperasi menggunakan minyak tanah, petrol dan pelbagai larutan kimia lainnya. Menjelang 1889, seterika elektrik dicipta dan dipatenkan di Amerika oleh usahawan bernama Carpenter,” katanya.
Seterika elektrik bagaimanapun menghadirkan banyak masalah gara-gara haba dan kepanasannya sukar dikawal berikutan termostat belum dicipta.
“Seterika ini hanya layak dimiliki golongan berduit dan bertenaga. Saya maksudkan bertenaga di sini ialah penggunanya harus tegap fizikal bagi mengangkat beban seterika seberat 6 kilogram,” katanya.
Baik mesin jahit mahupun seterika lama, kedua-duanya kata Lim mudah ditemui di Negeri-Negeri Selat, Melaka, Pulau Pinang dan Singapura iaitu negeri terawal menerima penjajahan Inggeris.
“Inggeris tidak sekadar membawa budaya kolonial bahkan meninggalkan banyak khazanah antik,” katanya.
Peninggalan zaman kolonial menjadi syurga pengumpul barang antik seperti Lim. Lim berpendapat semakin tua usia barang berkenaan maka semakin tinggi nilai antiknya. Sementara, kehalusan seni pembuatan tangan menjadikan antik sentiasa hidup dan bernilai nostalgia.
Lim berkata, pengetahuan dan koleksi antiknya dengan cara bertukar barang serta pandangan. Sistem barter dijadikan amalan manakala laman web dilayari bagi mencari himpunan antik serata ceruk dunia. Selain itu, setiap kali ada kelapangan, Lim tidak pernah gagal menjenguk pusat lelongan milik rakannya, Radzuan di Muzium Shah Alam. Di sini, Lim didedahkan dengan maklumat serta perkembangan terbaru himpunan antik.
Tip membersih, simpan seterika lama
MELALUI pengalaman peribadi dan saling bertukar pandangan dengan pengumpul antik lain, pengumpul seterika dan mesin jahir lama, Lim Cheng Hoe menyimpulkan seterika lama memerlukan kaedah penjagaan teliti.
Tiga langkah asas membersih seterika lama
1. Jangan membersih sembarangan tetapi lebih baik kekalkan bentuk dan rupa asalnya.
2. Bersih dan gilap dengan cermat tanpa menghakis tembaganya.
3. Bersih seterika sampai nampak seperti baru.
Teknik membersihkan seterika antik berkarat dan kurang karat sangat berbeza. Bagi seterika yang terlalu berkarat, Lim mengesyorkan berus loyang digunakan bersama minyak biji rami dan turpentin. Berus berupaya menyingkir karat manakala cecair berminyak berfungsi sebagai pelincir penghakis karat sekali gus mengembalikan seri tembaga.
Barang antik kurang berkarat boleh dibersihkan dengan berus bulu kejur atau kertas pasir basah bersama minyak biji rami dan turpentin. Berus digunakan bagi menghapus karat manakala cecair bertindak sebagai pelincir mencegah calar dan cela. Ia juga mampu mengubah karat kepada seri tembaga.