Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

06 Disember 2008

Wartakan Akta Halal untuk bendung hotel perlekeh umat Islam


MEMBACA laporan Dewan Rakyat semalam tentang hanya 18 daripada 2,360 hotel ada sijil halal daripada Perbadanan Kemajuan Industri Halal (HDC) membuatkan penulis mengurut dada dan beristighfar.

Apa sudah jadi? Bukankah Malaysia adalah negara Islam dan majoriti rakyatnya juga beragama Islam? Ingat kata pepatah Melayu, "di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung." Jadi isu hotel yang liat mendapatkan sijil halal ini tidak sepatutnya timbul.

Lebih malang lagi, antara alasan yang dikemukakan oleh pihak hotel ialah enggan melakukan pengubahsuaian untuk memisahkan dapur makanan halal dengan yang haram.

Tidakkah pelik, kita sebagai umat Islam sukar mencari hotel yang menyajikan makanan halal dalam negara Islam seperti Malaysia? Sedangkan makanan halal itu suci, bersih dan sesuai dimakan oleh setiap manusia waima apa pun agama dan bangsa mereka.

Makanan dan minuman adalah unsur penting di dalam tubuh badan manusia. Ia akan menjadi darah daging yang seterusnya mempengaruhi pembentukan diri seseorang.

Sebab itu Allah berfirman yang bermaksud: Wahai sekelian manusia, makanlah daripada apa yang ada di bumi, yang halal lagi baik dan janganlah kamu ikut jejak langkah syaitan kerana sesungguhnya syaitan adalah musuh yang terang lagi nyata. (al-Baqarah: 168)

Realitinya, setiap hari bilangan umat Islam yang makan minum di hotel seluruh negara bukan sedikit. Malah, ratusan majlis kerajaan turut diadakan di merata hotel setiap bulan. Oleh itu, keengganan atau kesombongan hotel memohon sijil halal amatlah tidak wajar. Ia membuktikan hotel terlibat tidak peka dan mengambil berat soal sijil halal ini.

Dalam hal ini, kerajaan perlu mengambil tindakan tegas. Sudah sampai masanya diwujudkan Akta Halal. Sebabnya, kini permohonan sijil halal dibuat secara sukarela. Justeru ada hotel yang keras kepala memandang isu ini sebelah mata sahaja.

Akta ini akan mewajibkan semua hotel dan restoran memohon sijil halal sebelum boleh beroperasi. Langkah sedemikian tentunya melegakan umat Islam kerana tidak perlu lagi was-was apabila makan di premis berkenaan.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang memantau pengeluaran sijil halal HDC serta bertindak sebagai pengeluar fatwa nampaknya seperti 'terikat tangan dan kaki'. Sebabnya, penguatkuasaan terhadap sijil halal adalah bidang kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Syarat mendapatkan sijil halal itu pun bukanlah terlalu membebankan. Selain memisahkan dapur makanan halal dan haram, premis terlibat cuma perlu mempunyai dua eksekutif Muslim di bahagian dapur untuk menyelia dan memastikan pematuhan kepada penyediaan makanan halal.

Syarat ini tentulah boleh diterima akal kerana sudah pasti hanya orang Islam dapat menentukan halal atau tidaknya proses penyediaan makanan dari dapur ke meja makan pelanggan.

Selain itu, ketegasan dari segi hukuman kepada pihak yang ingkar dengan pematuhan sijil halal perlu diberi perhatian. Hukuman maksimum bagi kesalahan memalsukan logo halal bagi syarikat iaitu RM250,000 perlu dinaikkan sehingga RM1 juta.

Hukuman bagi individu yang membuat kesalahan serupa iaitu denda maksimum RM100,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-dua sekali juga perlu dikaji semula. Yang pasti hukuman denda itu mesti tinggi supaya menjadi faktor pencegah kepada mereka yang memalsukan sijil halal.

Undang-undang tegas dan penguatkuasaan perlu berjalan seiring. Dalam dunia sekarang, orang yang ingin melakukan kebaikan pun hatta memeriksa dapur hotel dan restoran perlu dilindungi undang-undang. Jika tidak, mereka mungkin terdedah kepada pelbagai ancaman serta tindakan saman.

Pegawai penguat kuasa pula perlu sentiasa ingat bahawa tugas mereka bukan semata-mata makan gaji. Lebih utama lagi ialah tanggungjawab fardu kifayah yang ada pada mereka. Justeru, mereka mesti sentiasa meletakkan hukum Allah di depan mengatasi segala yang lain.

Akhirnya, kepada umat Islam, jika pengusaha hotel tidak mahu menghormati hak kita mendapatkan makanan halal, elok kita boikot sahaja hotel yang berkenaan.

Jika mereka terlalu banggakan taraf lima bintang sehingga membelakangkan soal halal haram makanan, jangan pula umat Islam terpedaya dengan pelbagai promosi mereka.

Lagipun, dalam keadaan ekonomi global yang tidak menentu sekarang, lebih baik kita makan di rumah bersama keluarga. Walaupun barangkali lauk-pauknya tidak memenuhi meja sekurang-kurangnya kita tahu yang masuk ke dalam perut kita itu adalah makanan halal lagi baik.

Ingatlah amaran Rasulullah SAW dalam hadisnya: "Setiap daging yang tumbuh daripada benda yang haram itu maka api nerakalah yang lebih layak baginya."