02 Mac 2009

Budi bahasa penting dalam membela nasib rakyat


Rakyat Malaysia tidak kira apa bangsa dikenali sebagai orang timur yang terkenal dengan budi bahasa. Cuma ada segelintir sahaja yang gagal mengawal emosi akibat provokasi yang dijelmakan oleh sesetengah pihak.

Salah-menyalah, tuding-menuding sudah menjadi budaya kita demi melepaskan tengkuk masing-masing. Situasi sebegini sudah lumrah di Parlimen mana-mana negara yang mengamalkan sistem demokrasi.

Di Malaysia suasana ini semakin hangat semenjak pihak parti-parti pembangkang mendapat banyak kerusi di Dewan Rakyat. Di negara-negara yang mengamalkan demokrasi sejak beratus tahun dahulu seperti United Kingdom (UK) dan Amerika Syarikat, tuding- menuding dan tuduh-menuduh antara pihak kerajaan dan pembangkang adalah perkara biasa, cuma ia dilakukan dengan fakta dan hujah matang yang jauh daripada bersifat untuk meraih populariti. Tetapi demi memajukan negara mereka ke tahap lebih membanggakan dan lebih dihormati oleh kawan dan lawan.

Bahasa jiwa bangsa dan prinsip dalam Rukun Negara terakhir -- Kesopanan dan Kesusilaan adalah jati diri rakyat Malaysia yang mampu menyelami roh motto dan Rukun Negara.

Pelancong asing berasa selesa berjalan serata negara kita. Tidak kira di Kedah, Perak, mahupun Johor sikap ramah-tamah rakyat Malaysia mencapai standard ISO 9000 - tiada siapa mampu mencabarnya. Pendek kata ramahnya kelas pertama dan seumpama pramugari dan pramugara MAS balik kampung.

Ada pelancong yang berulang-alik ke negara kita hanya kerana yang kurik itu kendi, yang merah itu saga, yang cantik itu budi yang indah itu bahasa. Benar, disebabkan budi bahasa yang merupakan jati diri rakyat Malaysia dari Perlis sampailah ke Sabah pelancong sanggup datang berkali-kali untuk 'menikmatinya'.

Malangnya apabila budi bahasa yang kita banggakan seantero Malaya dan dunia global ini diberi wajah yang berlainan di Dewan Parlimen. Bukankah dewan yang mulia itu dirasmikan oleh Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara.

Bukankah titah baginda yang dibahaskan namun emosi luar Dewan dibawa bersama ketika berbahas dan kematangan yang dituntut bertukar menjadi luahan emosi yang bukan sahaja mengguris satu dua hati malahan jutaan orang.

Mungkin ada asas pihak yang beremosi dalam bicara untuk berkata apa yang beliau ingin luahkan tetapi harus diingat tangan yang berani mencincang harus mempunyai bahu yang kuat untuk memikul hasil cincangan.

Berani kerana benar takut kerana salah memang motto orang yang bersifat pejuang tetapi biarlah perjuangan atas dasar untuk rakyat yang memilih kita sebagai wakil bukannya mempamerkan sifat ayam jantan yang berkokok di malam hari.

Saban hari rakyat negara ini mengalami perasaan yang tidak menentu sama ada mereka akan menjadi mangsa dibuang kerja oleh majikan yang dilanda kerugian dalam operasi perniagaan. Fenomena global ini turut dialami oleh rakyat negara ini.

Pakej rangsangan ekonomi terbaru kelak hampir pasti turut akan menjadi mangsa dikritik oleh pihak Pembangkang. Sama ada semasa pembentangan mahupun peringkat perbahasan, asal sahaja ada ruang dan peluang.

Rakyat menyandarkan harapan untuk setiap ahli Parlimen yang dipilih untuk berjuang untuk kepentingan semua rakyat dan masa Parlimen terlalu berharga untuk dibazirkan dengan episod tuduh-menuduh dan provokasi yang dicetuskan hanya kerana rasa tidak puas hati bersifat keakuan.

Budi bahasa yang paling tinggi nilainya ialah memperkatakan sesuatu yang buruk dengan cara dan nada yang elok. Ibarat marahkan anak kerana nakal, semakin dirotan semakin dia mangli, mungkin dengan kata- kata berhikmah mampu menghilangkan kenakalan yang semakin menjadi-jadi.

Parlimen sepatutnya menjadi medan untuk membantu rakyat yang terkesan dengan ekonomi dunia yang meleset tidak kira dari blok mana ahli Parlimen itu berada. Pakej rangsangan ekonomi kedua perlu diperhalusi agar nasib rakyat lebih terbela.

Perbahasan penuh etika dan berbudi bahasa penting untuk ia menjurus kepada membela nasib rakyat yang memerlukan pembelaan dengan penuh hikmah dan sistematik.

Lupakan ego yang bersarang dan politik diri yang tidak pergi ke mana hanya di negara ini gelanggangnya.

Bahasa jiwa bangsa, rosak bahasa rosaklah bangsa. Rosak bangsa rosaklah negara dan ekonominya.

ABDUL RAZAK IDRIS

Banting, Selangor