Forum Ekonomi Islam Dunia Kelima (WIEF) yang berlangsung hari ini, 2 Mac berdepan dengan suatu keadaan ekonomi global mencabar apabila ribuan pekerja di banyak negara kehilangan pendapatan ekoran keruntuhan institusi bank hingga menjejaskan kitaran pelaburan, pembuatan dan perdagangan.
Walaupun tajuk forum kali ini berkisar pada keselamatan makanan dan tenaga di samping membendung kemaraan krisis kewangan global, tentunya perhatian akan lebih terarah kepada memahami apa yang sedang berlaku. Perhatian juga tertumpu untuk mencari jalan menghadapinya dan seterusnya bersedia menghadapi suasana berbeza pada zaman pasca krisis.
Daripada tema awal perbincangan berkisar mengenai pencarian penyelesaian secara inovatif terhadap cabaran global hingga kepada persoalan di penghujung sidang yang membawa perbincangan sama ada dunia akan memasuki atau tidak era baru dalam peraturan ekonomi. Adakah rangka kerja sejagat ini akan terbentuk apabila krisis ini berakhir? Adakah dunia bersedia untuk membenarkan pasaran membangun sendiri keperluan kewangan masyarakatnya? Adakah perbankan Islam boleh menyediakan alternatif kepada sistem yang ada hari ini?
Persoalan yang menarik ini akan dibincangkan dalam Sidang Plenari Ketiga pada hari kedua dengan tajuk "Membendung kemaraan krisis kewangan global." Para perwakilan dari kalangan ahli politik, ekonomi dan perniagaan khususnya dari negara-negara Islam di seluruh dunia akan membincangkan isu ini. Daripada segi latar belakangnya, WIEF berupa Forum Ekonomi Dunia (WEF) Davos bagi dunia Islam.
WIEF ini bermula daripada kesinambungan Forum Perniagaan Pertubuhan Persidangan Negara-Negara Islam (OIC) Kedua yang diadakan pada tahun 2004. Forum Perniagaan pertama diadakan ekoran Sidang Kemuncak OIC di Kuala Lumpur pada tahun 2003. Manakala WIEF pertama berlangsung di Kuala Lumpur pada tahun 2005 diikuti dengan forum kedua pada tahun berikutnya di Islamabad, Pakistan.
WIEF ketiga pula kembali diadakan di Kuala Lumpur pada tahun 2007. Sementara tahun lalu, ia diadakan di Kuwait.
Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi adalah Penaung WIEF sementara pengerusinya ialah Tun Musa Hitam. Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono akan menyampaikan ucap tama dalam majlis pembukaan di mana pada akhir forum ini tumpuan adalah kepada soal pelaburan di rantau ini dengan Indonesia menjadi fokus.
Sememangnya apa yang ada di depan Indonesia adalah satu cabaran besar lebih-lebih lagi dalam keadaan ekonomi dunia yang tidak menentu. Kebimbangan sudah disuarakan di kalangan ahli-ahli ekonominya yang disampaikan melalui media massa di sini bahawa kesan krisis kewangan akhirnya akan sampai ke Indonesia juga. Malah turut disebut betapa apa yang berlaku di Singapura juga sudah mula melimpah ke Indonesia.
Begitu juga kebimbangan bahawa kemerosotan sektor pembuatan di Malaysia juga akan akhirnya membawa kepada pemulangan tenaga kerja mereka yang akan menambah beban sedia ada.
Sementara apa yang berlaku di Indonesia juga mampu memburukkan lagi keadaan ekonomi rantau ini di mana Pertubuhan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) yang baru selesai sidang kemuncaknya pada Sabtu lalu di Hua Hin, Thailand juga mencari jalan untuk mengelak sebarang keadaan lebih buruk.
Apa pun yang akan berlaku, hampir sepakat di kalangan pemimpin rantau ini bahawa sekurang-kurangnya keadaan ekonomi janganlah merosot hingga melebih apa yang dialami mereka pada tahun 1998, sedekad berlalu.
Namun begitu, tidak ada siapa yang berani untuk bersikap amat optimis untuk menyatakan bahawa keadaan tidak akan seburuk pada tahun 1998. Namun begitu, di Indonesia sekurang-kurangnya keadaan politik adalah lebih stabil dan tersusun. Walaupun negara ini akan menghadapi pilihan raya umum legislatif 40 hari lagi, tetapi kali ini dijangka ia berlangsung dengan tertib dan matang.
Globalisasi yang mendatangkan manfaat juga membawa sisi keburukannya apabila sistem kewangannya tidak berwibawa. Maka kalau perbincangan hari ini ialah bagaimana menghalang kemaraan kesan krisis kewangan global yang merupakan hasil salah laku ekonomi sepanjang pentadbiran George W. Bush di Amerika, maka bagi para pemimpin muda baik di peringkat politik mahupun ekonomi ialah apakah kerangka baru bagi masa depan untuk melindungi dunia daripada proses yang serupa.
Justeru Forum Pemuda WIEF yang diadakan serentak di Jakarta ini juga membincangkan mengenai kewibawaan sistem perbankan dengan melihat prospek kewangan Islam dalam masyarakat majmuk.
Dalam sesi Plenari Ketiga, sidang itu akan dinyatakan bahawa dunia pasca krisis kewangan dijangka menyaksikan satu trend ke arah ekonomi berperaturan dan anjakan struktur dalam pelaburan dari pasaran Barat ke bahagian-bahagian lain dunia.
Di negara seperti Indonesia dilihat bahawa anjakan seumpama itu akan membawa kepada lebih kewibawaan terhadap perbankan Islam sebagai alternatif sistem kewangan global yang semakin lemah. Maka persoalan yang akan diketengahkan ialah mampukah perbankan Islam memberikan satu dimensi moral baru dan lebih tinggi kepada kedudukan kewangan global hari ini.
Sememangnya banyak pihak menyebut sistem kewangan Islam sebagai alternatif kepada amalan perbankan konvensional yang dilihat setakat ini memberi harapan mampu mengelak berlakunya krisis dengan tanda-tanda bahawa ia lebih teguh, namun penelitian terperinci wajar dilakukan. Ini kerana dalam apa yang disebut sebagai sistem kewangan Islam, terdapat pelbagai fahaman.
Dalam pelbagai fahaman itu, terdapat tahap kewibawaan yang berbeza.
Lebih-lebih lagi di kalangan ahli ekonomi Islam sendiri, penilaian sesuatu sistem wajar dibuat secara objektif kerana dapat difahami bahawa kecenderungan adalah untuk menerima sesuatu atas kepercayaan agama.
Begitu juga di kalangan mereka yang bukan Islam, pandangan objektif terhadap sistem yang diajukan juga wajar dilihat secara adil dan tidak diwarnai sebarang prejudis.
Jangan hendaknya pemilihan terhadap cara Islam dibuat sebagai satu jalan eskapisme daripada kegagalan dalam meraih kejayaan melalui sistem kewangan konvensional. Penelitian terhadap apa yang berlaku sekarang dalam ekonomi dunia wajar dikaji mendalam walaupun masa amat terhad dengan beribu-ribu orang hilang pekerjaan, malah soal mendapatkan sesuap makanan juga merupakan isu yang tidak berupaya diselesaikan.
Dunia Islam khususnya OIC adalah sebahagian daripada sistem ekonomi global yang dipimpin oleh Amerika. Usaha untuk mendapatkan kesejahteraan hidup bagi semua manusia adalah perjuangan yang berpanjangan dan sukar lebih-lebih lagi dengan bilangan manusia terus bertambah tetapi sumber alam semakin terhad, ditambah pula dengan perubahan iklim semakin mencabar.
Apa yang termampu mungkin hanyalah untuk bercakap dan berbincang, hasil daripada kerja berfikir. Tetapi bagi melaksanakannya, ia memerlukan azam politik tinggi dengan keampuhan kepimpinan luar biasa.