Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

21 September 2009

Lebaran di perantauan


Oleh Bennie Zie Fauzi dan & Suzan Ahmad




Perbezaan budaya tidak jejaskan sambutan Aidilfitri

JIKA tidak kerana tuntutan tugas dan kewajipan, tiada siapa sanggup menyambut lebaran berjauhan daripada keluarga. Apatah lagi, terpaksa meraikan hari bermakna bagi seluruh umat Islam itu bersendirian di negara asing, yang bukan saja jaraknya beribu batu dari tanah air, bahkan adat dan budaya berbeza.

Amalan dan tertib menyambut perayaan mungkin tidak jauh berbeza kerana bernaung di bawah panji agama nan satu.


Namun, kesayuan, keterasingan dan kekosongan pasti membelit diri kerana Syawal kali ini bukan saja tidak ditemani gurau senda dan hilai tawa keluarga, sepi dengan kunjungan rakan taulan bahkan amalan yang biasa dilakukan ketika menyambut Syawal harus dilupakan seketika.

Bado Abdou Nassir, 33, mahasiswa jurusan Sains Politik dan Kemanusiaan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berasal dari Burkino Faso mengaku belum dapat menyesuaikan diri biarpun ia kali kedua menyambut Aidilfitri di negara ini.

“Semakin hampir Syawal, kerinduan terhadap keluarga semakin kuat. Meskipun, sambutan di tempat saya serba sederhana, namun senyuman yang tidak pernah lekang di bibir ibu ketika menyiapkan persiapan raya terbayang-bayang di ruang mata,” kata anak sulung daripada 13 adik-beradik ini.

Bado berkata, pengalaman kali pertama menyambut lebaran di negara orang tidak dapat diungkap dengan perkataan. Disebabkan terlalu sedih dan rindukan keluarga, dia mengambil keputusan berkurung di rumah, makan selain tidur sepanjang hari pada hari raya pertama.

Begitupun, Bado tidak menolak kemeriahan suasana dan adab perayaan di sini mempunyai banyak persamaan di negaranya.

“Seperti rakyat tempatan yang gemar memuliakan tetamu, kami juga menganjurkan rumah terbuka bagi mengeratkan lagi tali persaudaraan. Lazimnya kunjung-mengunjung dilakukan selepas menunaikan solat sunat raya sekitar jam 9 hingga 10 pagi,” katanya.

Di negaranya, keutamaan ziarah ialah kediaman pemimpin tertinggi setempat dan negara. Selain ia satu cara menunjukkan penghormatan dan penghargaan kepada individu paling berpengaruh itu, kebanyakan yang hadir ingin mendengar amanat dan nasihat yang bakal disampaikan kepada mereka.

“Status pemimpin berkenaan boleh disamakan dengan penghulu di sini. Selepas bersalam, bertanya khabar dan menikmati jamuan, beliau akan berucap menyentuh kepentingan menjaga tingkah laku ketika berziarah, meraikan lebaran secara sederhana dan pelbagai nasihat lain,” katanya sambil menambah masyarakat juga menyokong amalan bersedekah duit raya kepada kanak-kanak.

Bagaimanapun, ada perbezaan mengenai budaya menjamu tetamu dengan aneka jenis biskut raya, ketupat dan lemang di tempatnya. Ini kerana kata Bado, tiada sebarang juadah istimewa ditawarkan.

Sebaliknya, hidangan rutin berupa nasi dan lauk-pauk disediakan untuk tetamu dalam kuantiti sekali ganda banyak berbanding biasa. Hanya sesekali jika teringin menikmati makaroni dan lasagna, barulah makanan berkenaan disediakan ibunya.

Meskipun begitu, Bado tidak menganggap ia mampu mengurangkan kemeriahan hari kebesaran Islam itu kerana berpendapat hari raya bukan bertumpu kepada makanan semata-mata tetapi semangat menjiwai rahmat perayaan itu lebih penting.

Pada Syawal ini juga genap tiga tahun Muhammad Tanvirul Islam tidak menyambut lebaran di Bangladesh.

Bagaimanapun, pelajar jurusan pengajian Islam itu semakin dapat membiasakan diri dan saban tahun, membuat persiapan raya seadanya.

“Tahun ini, jikalau diizinkan Allah, saya akan menyertai program ‘Balik Kampung’ di Terengganu. Di sana, peserta program berpeluang berhari raya bersama keluarga angkat,” kata anak ketiga daripada lima beradik itu.

Tanvirul berkata, setakat ini, dia menerima baik kepelbagaian selera tempatan namun tidak dapat menyembunyikan kerinduan terhadap menu tradisional di tempatnya iaitu roti parata dan sambosa.

“Ia sejenis hidangan ringan yang manis perisanya. Sesuai benar dimakan sewaktu berbuka puasa dan ketika meraikan Aidilfitri,” katanya.

Namun, yang paling dirinduinya ialah kesungguhan masyarakat di negaranya menyambut Ramadan dan Syawal.

“Sebagai menghormati kedua-dua bulan mulia itu, dua minggu pertama puasa diisytiharkan cuti. Tempoh itu dimanfaatkan sebaiknya bagi memperbanyakkan ibadat. Cuti hari raya juga berlangsung kira-kira dua minggu dan sehingga berakhirnya cuti, kemeriahan lebaran masih dirasai,” katanya yang memberitahu keluarganya sering menganjurkan makan besar menjamu seisi kampung pada hari raya pertama.

Abdul Wahab Abdul Razak Al-Saadi, 21, pelajar yang membuat pengkhususan dalam Kejuruteraan Mekatronik di UIAM berhijrah ke Malaysia bersama keluarganya sejak 2003.

“Peperangan di Iraq, negara tanah tumpah darah kami menjadi punca bapa saya, Prof Dr Abdul Razak Al-Saadi, pensyarah Bahasa Arab dan Kesusasteraan di UIAM mencari peluang di sini demi masa depan keluarga yang semakin terancam akibat peperangan saudara.

“Hidup di bumi asing sedamai dan sentosa Malaysia jauh daripada menyulitkan, memang benar seperti kata orang di sini, Malaysia bumi bertuah, bersyukur kami sekeluarga dapat menikmati rezeki yang melimpah ruah di negara ini,” katanya yang sangat menggemari sate dan lemang.

Anak ke tujuh daripada 10 adik beradik ini tidak bersendirian, malah adiknya Mahmeed Abdul Razak Abdul Rahman, 20, juga menuntut di universiti sama dalam bidang Sains Komputer.

“Kami tidak terlalu memikirkan soal perbezaan sambutan Aidilfitri kerana tidak banyak yang berbeza mengenai cara menyambutnya. Cuma setiap saat kami bimbang dan merindui tiga saudara perempuan kami yang masih berada di Iraq kerana sudah berkahwin.

“Sepanjang enam tahun di sini, kami sekeluarga sering menghubungi mereka menerusi telefon untuk bertanya khabar dan melepaskan rindu,” kata Abdul Razak.

Mengenai sambutan hari raya, Abdul Wahab mengakui cukup mengagumi budaya kunjung mengunjung serta kemesraan penduduk tempatan meraikan tetamu.

“Biasanya selepas sembahyang raya kami sekeluarga akan bermaaf-maafan sebelum keluar berkunjung ke rumah taulan (keluarga Melayu) yang mengadakan rumah terbuka,” katanya yang mengakui berasa rindu untuk kembali ke tanah tumpah darahnya satu hari nanti.

Bagi Mohammad Nazmus Sayadat, 25, tahun ini kali ketiga dia menyambut Aidilfitri bersendirian di bumi asing. Nyata, dia semakin merindui keluarga dan amalan sambutan Aidilfitri di Dhaka, Bangladesh.

“Di sana kami dilarang untuk keluar malam sesuka hati, kalau keluar pun perlu pulang sebelum waktu Maghrib tetapi malam sebelum hari raya yang dipanggil Moon Night cukup istimewa, kami dibenarkan keluar dan melepak dengan sanak saudara dan rakan taulan sehingga lewat malam,” cerita beliau dalam nada teruja.

“Apabila tidur lambat, bangun pagi raya pun liat sikit, tetapi ibu tetap akan memastikan kami adik beradik bersiap di pagi raya dan ibu akan menjamu kami dengan manisan yang dibuat daripada buah kurma dan susu,” katanya yang terlalu merindui masakan ibunya.

Katanya, setiap kali Aidilfitri tiba, dia banyak menghabiskan masa berkunjung ke rumah sanak saudara dan makan.

“Sedihnya di sini, saya tidak dapat makan banyak sebab kebanyakan kedai tutup kerana cuti raya dan kami terpaksa ke restoran makanan segera untuk mengisi perut, jadi bila susah untuk dapatkan makanan saya pun banyak tidur,” katanya.

Bersempena Aidilfitri kali ini, pelajar yang bakal memiliki Ijazah Sarjana Perbandingan Agama ini akan ke Terengganu untuk berhari raya dengan keluarga angkatnya.

Naib Presiden 2, Badan Perwakilan Pelajar UIAM, Anas Ismaiel, 22, tidak menafikan rindu kampung halaman serta sanak saudara di negara asalnya, Mesir walaupun sudah 14 tahun menetap di Malaysia.

“Bapa saya bertugas di sini sebagai pensyarah dan sepanjang tempoh itu, saya tidak pernah pulang ke Mesir untuk menyambut Ramadan atau Aidilfitri.

“Hanya Allah saja yang tahu betapa saya teringin untuk kembali bertemu sanak saudara, apatah lagi suasana perayaan bagi kedua-dua sambutan itu lebih istimewa dan meriah berbanding di sini.

“Di Mesir biasanya kami membuat persiapan Ramadan sebulan lebih awal, termasuk menghias rumah untuk menyambut ketibaan bulan mulia itu, manakala persiapan untuk Aidilfitri dilakukan menjelang akhir Ramadan,” kata penuntut Kulliyah Teknologi Maklumat.