Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

27 April 2008

Filem untuk remaja


Oleh MAT PIAH TEH DERIS

EVOLUSI: KL Drift filem sulung hasil buah tangan Syamsul Yusof berjaya membuktikan peribahasa Melayu ke mana kuah kalau tak tumpah ke nasi mengikuti jejak bapanya, Datuk Yusof Haslam sebagai idola dan mentornya dalam dunia perfileman.

Yusof Haslam pernah memegang gelaran sebagai pengarah 6 Million Dollar Man bagi satu tempoh yang agak lama hasil filem Sembilu yang dipecahkan rekodnya oleh Jangan Pandang Belakang arahan pengarah muda, Ahmad Idham baru-baru ini.

Seperti bapanya yang banyak menghasilkan filem tentang alam percintaan remaja, Syamsul juga memulakan filem arahan pertamanya dengan memaparkan tentang kisah remaja.

Bezanya Evolusi: KL Drift boleh dikatakan sebuah filem yang betul-betul dari remaja untuk remaja berbanding filem-filem remaja lain yang pernah kita tonton diarahkan oleh pengarah yang telah berumur atau lebih dewasa seperti A. Razak Mohaideen, Bade Azmi dan Yusof Haslam sendiri.

Kejayaan Syamsul juga menambahkan lagi bilangan pengarah muda yang terdiri daripada kaum remaja termasuk Piere Andrey dan seorang lagi pengarah remaja perempuan yang diberi peluang mengarah oleh Metrowealth tapi filemnya belum ditayangkan lagi.

Mereka ini bakal mewarisi karyawan- karyawan filem yang akan mencorakkan dunia atau industri filem tanah air pada masa akan datang di samping pengarah sedia ada termasuk Shuhaimi Baba, Ahmad Idham, Bade Zami dan Osman Ali sekadar menyebut beberapa nama sahaja.

Dalam banyak filem Yusof Haslam yang kelihatan suka menggunakan motosikal besar berkuasa tinggi dan kereta mewah, melalui Evolusi: KL Drift memilih kereta lumba "ala F1" sebagai persembahannya.

Dengan pemaparan perlumbaan kereta laju F1 dalam filem ini sedikit sebanyak meningkatkan tahap pembikinan filem Melayu ke taraf antarabangsa dengan sound- track dan teknik pengembangan yang lebih sofistikated, hebat, pantas dan cepat berbanding dengan filem Melayu sebelumnya yang agak perlahan tayangan atau perjalanan ceritanya.

Evolusi: KL Drift agak sesuai dengan usaha kerajaan Malaysia kini menggalakkan perlumbaan kereta F1 dengan membina litar F1 di Sepang menelan belanja berjuta-juta ringgit sejak beberapa tahun lalu. Para peminat perlumbaan F1 dan mereka yang sukakan sukan kereta laju patut tidak melepaskan peluang untuk menonton filem yang agak hebat dan tidak mengecewakan ini.

Mungkin tidak keterlaluan jika dikatakan Evolusi: KL Drift lebih hebat dan dapat mengatasi beberapa filem tempatan dalam genre yang serupa seperti KL Menjerit dan KL Menjerit 1, Gangster arahan Bade Azmi atau filem Remp-It (Rempit) arahan Ahmad Idham misalnya yang akhir-akhir ini lebih cenderung membuat filem hantu.

Sementelah beberapa filem yang disebutkan lebih banyak memaparkan perlumbaan motosikal haram yang banyak menimbulkan fenomena dan kontroversi di kalangan remaja dan masyarakat negara ini berbanding dengan Evolusi: KL Drift hanya memfokuskan perlumbaan kereta laju tentunya menelan kos lebih besar.

Selain memaparkan kehebatan lumba kereta laju dan gejala penyalahgunaan najis dadah, Evolusi: KL Drift juga membawakan pengajaran erti persahabatan antara remaja dalam menjalani alam percintaan dan berkawan.

Percintaan antara Zack (Syamsul) dengan Fasha (Fasha Sanda) hampir terputus bila dia mengungkit kisah lama Fasha, bila ia didekati oleh budak-budak Joe (Arron), kepala gengster dan pengedar dadah di Kuala Lumpur.

Walaupun ditentang oleh rakannya, Sham, Radzi dan Mus, namun Zack berjaya menyelamatkan masalah tersebut bila dia mengalahkan Joe dalam satu perlumbaan kereta drift yang hebat tapi seorang kawannya, Radzi kemudiannya dijumpai dibunuh di bengkelnya. Bukan setakat itu sahaja, malah Joe cuba membunuh Zack bersama Fasha dan Sham (Farid Kamil) ketika mereka berbincang untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi akibat salah faham Zack terhadap hubungan Sham dan Fasha.

Sebagai bukti keikhlasannya, Sham sanggup mempertaruhkan nyawanya sendiri apabila dilanggar oleh kereta Joe ketika dia cuba untuk menyelamatkan Zack dan Fasha. Zack telah mengejar Joe yang cuba melarikan diri dengan keretanya. Akhirnya Joe mendapat padah apabila keretanya remuk terlanggar sebuah lori manakala Sham yang terpaksa dirawat di hospital terselamat daripada maut.

Filem Evolusi: KL Drift ini benar-benar sebuah filem remaja untuk remaja yang hanya memaparkan kehidupan tentang kaum remaja semata-mata tanpa membabitkan orang tua atau keluarga mereka. Para penonton utama termasuk Fasha Sanda, Syamsul, Arron, Farid dan beberapa pelakon pembantu berjaya menghidupkan watak masing-masing dalam menjayakan filem ini.