PORT DICKSON 26 April - Usahawan Melayu disaran menghayati agenda Melayu dalam usaha untuk memperkukuh dan memperkasa ekonomi bangsa ke arah pemilikan 30 peratus ekuiti seperti yang digariskan dalam Dasar Ekonomi Baru (DEB).
Pengerusi Gagasan Badan Ekonomi Melayu (Gabem), Tan Sri Rahim Tamby Chik berkata, pencapaian pemilikan ekuiti bangsa Melayu pada paras 18.9 peratus masih jauh daripada sasaran yang ditetapkan kerajaan.
Beliau berkata, dengan semua galakan dan insentif yang disediakan kerajaan, usahawan Melayu sepatutnya berada pada kedudukan lebih kukuh sekarang.
Jelasnya, sejarah membuktikan kerajaan Melayu Melaka dahulu berjaya memartabatkan tamadun bangsa melalui kecemerlangan dalam bidang ekonomi.
''Ia membuktikan bidang ekonomi bukanlah perkara asing bagi bangsa kita kerana kerajaan Melayu Melaka pernah muncul sebagai kuasa ekonomi disegani di rantau ini sehingga menarik minat kuasa Barat untuk datang menjajah," katanya ketika berucap merasmikan program Memperkasa Ekonomi Bangsa Melalui Penghayatan Agenda Melayu anjuran Gabem Academy of Business Excellence (Gabex) di sini malam semalam.
Beliau turut menyelar sikap sesetengah orang Melayu yang menyalahkan DEB sepenuhnya di atas kegagalan menguasai bidang perniagaan di tanah air sendiri.
Katanya, memang terdapat beberapa kelemahan dalam pelaksanaan DEB seperti penyelewengan dan salah guna kuasa hingga menyebabkan pihak yang benar-benar memerlukan bantuan dipinggirkan.
Beliau turut mengakui terdapat segelintir pemimpin yang leka kerana merasakan diri dalam zon selesa hingga lupa dengan salah satu matlamat asal perjuangan iaitu memperkasa ekonomi orang Melayu.
''Memang sukar untuk mengakui kesilapan yang kita lakukan namun ia perlu sebelum kita melancarkan reformasi bagi mengatasi segala kepincangan dalam DEB dan kerajaan benar-benar berazam untuk melakukannya.
''Yang paling penting kita perlu melihat semula segala kelemahan dan berpegang kepada konsep Melayu tolong Melayu untuk sama-sama merealisasi matlamat DEB," katanya.
Tegas beliau, DEB perlu dipertahankan kerana ia merupakan salah satu hak keistimewaan orang Melayu dan relevan untuk merapatkan jurang perbezaan antara kaum dalam penguasaan bidang ekonomi di negara ini.