KUALA LUMPUR 29 Mac – Satu kongres yang menghimpunkan cendekiawan dan para pemimpin persatuan Melayu bagi mempertahankan kedaulatan politik dan masa depan bangsa Melayu akan diadakan di Johor Bahru pada 2 dan 3 Mei depan.
Kongres anjuran Majlis Muafakat Melayu yang diterajui Gabungan Penulis Nasional (Gapena) dan 300 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu itu merupakan reaksi para pemimpin NGO Melayu terhadap perkembangan politik pascapilihan raya umum 8 Mac 2008.
Program selama dua hari di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor itu akan “menggembleng tenaga kebangsaan bangsa Melayu bagi meneruskan kelangsungan konsep negara bangsa.”
Pengerusi kongres berkenaan, Profesor Emeritus Tan Sri Ismail Hussein berkata, kongres yang dijangka disertai lebih 500 peserta itu bertemakan Kedaulatan Melayu Paksi Kewujudan Bangsa.
‘‘Kongres ini dirancang selepas lima hari Pilihan Raya Umum Ke-12 lalu bertujuan menyatukan semangat, fikiran dan jiwa orang Melayu demi masa depan mereka.
‘‘Johor Bahru dipilih sebagai lokasi kongres kerana negeri Johor mempunyai banyak sejarah berkaitan perjuangan Melayu di negara ini termasuklah penubuhan UMNO dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP),” kata Ismail kepada Mingguan Malaysia dalam satu temu bual di sini.
Beliau yang juga Ketua Satu Gapena memberitahu, cadangan mengadakan kongres berkenaan mendapat maklumbalas positif daripada pelbagai NGO termasuklah Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) dan pelbagai persatuan sejarah.
Gerakan bagi menjayakan perhimpunan di Johor itu diadakan ketika keputusan Pilihan Raya Umum Ke-12 menunjukkan masyarakat Melayu kini berpecah belah dan sedang berhadapan dengan kaum lain yang lebih dominan dari segi ekonomi dan politik.
Dalam pilihan raya umum 8 Mac, Barisan Nasional (BN) yang diterajui UMNO hilang penguasaan ke atas empat negeri iaitu Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor selain gagal menawan Kelantan. BN juga kalah teruk di kawasan-kawasan Parlimen di Wilayah Persekutuan.
Ismail berkata: “Kesedaran harus wujud dalam kalangan masyarakat Melayu supaya ada permuafakatan antara mereka selepas pilihan raya itu bagi mewujudkan kelangsungan kepentingan Melayu.”
Menurut beliau, Gapena merupakan sek- retariat kepada Majlis Muafakat Melayu sebelum sebuah sekretariat tetap ditubuhkan bagi memperjuangkan hak-hak orang Melayu secara konsisten.
Kongres di Johor Bahru itu akan membincangkan empat permasalahan iaitu Kedaulatan Politik Melayu, Kedaulatan Perlembagaan Malaysia, Kedaulatan Ekonomi Melayu, serta Kedaulatan Agama, Budaya dan Pendidikan Melayu.
Ia diadakan dalam bentuk perbincangan kertas kerja dan forum terbuka. Antara pembicara dalam kongres itu ialah Pro. Madya Dr. Mohamad Agus Yusoff dari Jabatan Sains Politik, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM); Prof. Dr. Abdul Aziz Bari dari Kuliyah Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa; Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Johor, Tan Sri Muhammad Ali Hashim dan tokoh budaya, Prof Datuk Dr. Zainal Kling.
‘‘Pada hari akhir kongres, satu resolusi akan digariskan. Ada juga cadangan untuk kita mengadakan perarakan ke Istana Besar Johor,’’ katanya.
Majlis Muafakat Melayu, kata Ismail, mengalu-alukan lebih ramai pimpinan NGO Melayu menyertai kongres tersebut.