Oleh TAN MING WAI
KUALA LUMPUR 27 Mac - Trend wanita Melayu meminjam wang daripada ceti haram atau Ah Long kian membimbangkan dengan lima aduan diterima Biro Pengaduan MCA dalam tempoh tiga bulan pertama ini.
Ia adalah sebahagian daripada 12 kes pemiutang Melayu yang dilaporkan kepada biro itu.
Ketua Bironya, Datuk Michael Chong berkata, kebanyakan mereka mengakui meminjam wang untuk berniaga dan bukannya untuk tujuan lain.
"Ini cuma sebilangan aduan yang kami terima, mungkin ada ramai lagi pinjam untuk tujuan lain. Ia membimbangkan kerana sebelum ini kurang kes melibatkan wanita Melayu," katanya pada sidang akhbar di Wisma MCA di sini hari ini.
Sementara itu, dalam statistik tiga bulan pertama, 121 aduan diterima melibatkan jumlah pinjaman RM14.5 juta.
Pinjaman itu dibuat oleh pemiutang melalui 687 Ah Long dengan menyaksikan bulan Januari saja mencatatkan RM9.5 juta nilai pinjaman.
Michael memberitahu, terdapat satu kes yang mana seorang peniaga berusia 40-an dari Seremban, Negeri Sembilan yang meminjam sejumlah RM3 juta daripada 30 orang Ah Long.
"Dalam tempoh sebulan, kadar faedahnya meningkat RM1 juta dan dia setakat ini hanya mampu bayar semula faedah dan belum pun mula bayar pinjaman yang dibuat Februari lalu," jelasnya.
Dalam pada itu, Michael turut memberi amaran kepada semua syarikat peminjam berlesen supaya tidak bertindak agresif seperti Ah Long terhadap pemiutang.