MINGGUAN:Apa pandangan IIM mengenai cadangan supaya Badan Pencegah Rasuah (BPR) dijadikan sebuah suruhanjaya?
DR. MOHD TAP: Sebenarnya cadangan itu tercetus hasil daripada resolusi yang dicapai dalam Konvesyen Kebangsaan Mengenai Integriti pada Julai lalu.
Ia bertujuan melahirkan sebuah badan mencegah rasuah yang bebas walaupun BPR mendakwa mereka bebas dan tidak dipengaruhi oleh mana-mana pihak ketika menjalankan tugas.
Penubuhan suruhanjaya ini penting bagi memperbaiki persepsi masyarakat dalam dan luar negara mengenai kebebasan BPR dalam menjalankan tugasnya.
Pada saya, ia adalah baik kerana Malaysia merupakan peserta global dan sejajar dengan pendapat ramai yang mahu BPR menjadi suruhanjaya yang betul-betul bebas.
Bagaimana bentuk suruhanjaya ini?
DR. MOHD TAP: Ia diapit oleh dua jawatankuasa iaitu jawatankuasa yang terdiri daripada individu yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin dan satu lagi jawatankuasa Parlimen bagi memantau perjalanan operasi.
Melalui struktur ini kita percaya Suruhanjaya Anti Rasuah Malaysia itu mampu menjalankan tugas dengan berkesan.
Apatah lagi seperti kata Perdana Menteri, jumlah kakitangan BPR juga akan ditambah dari 1,800 kepada 5,000 kakitangan apabila ia menjadi suruhanjaya.
Adakah Perdana Menteri menjelaskan kenapa jumlah pekerja itu ditambah?
DR. MOHD TAP: Perdana Menteri mengambil contoh bagaimana Hong Kong yang mempunyai enam hingga tujuh juta penduduk pun mempunyai 1,800 kakitangan dalam agensi sama tetapi kita, dengan rakyat lebih 25 juta mempunyai kekuatan yang sama seperti Hong Kong.
Selain itu, saya berpendapat inisiatif oleh Perdana Menteri yang memberi kuasa kepada suruhanjaya untuk melantik serta menamatkan perkhidmatan pegawai pencegah rasuah tanpa perlu melibatkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) adalah langkah yang baik.
Ini kerana mereka lebih tahu siapa pegawai yang diperlukan dan mana pula pegawai yang harus dipecat.
Saya juga yakin pengumuman Perdana Menteri mengenai penambahbaikan syarat-syarat perkhidmatan termasuk dari segi gaji memberi daya tarikan kepada mereka yang berkelulusan dan berwibawa untuk menjalankan tugas.
Apakah benar suruhanjaya ini benar-benar akan bebas?
DR. MOHD TAP: Secara realiti, tiada satu perkara pun di dunia ini yang benar-benar bebas.
Bagaimanapun suruhanjaya ini mempunyai dua jawatankuasa bagi memantau perjalanannya. Mereka juga perlu menghantar laporan kepada jawatankuasa Parlimen yang akan menilai kes-kes yang disiasat, tidak disiasat dan kes yang dibawa ke mahkamah. Jawatankuasa berkenaan berhak bertanya berhubung kedudukan sesuatu kes itu.
Ini penting bagi memperbaiki persepsi orang ramai. Manakala bagi pegawai dalam suruhanjaya itu pula, melalui pemantauan oleh dua jawatankuasa itu ia akan memberikan mereka keyakinan dan kemampuan untuk bertindak berlandaskan undang- undang tanpa berasa takut diganggu-gugat oleh mana-mana pihak.
Kita juga percaya melalui penubuhan suruhanjaya ini, ia akan membantu menurunkan indeks rasuah yang kini berada di tahap 43 daripada 180 negara pada tahun 2007.
Kenapa wujud persepsi yang tidak baik mengenai ketelusan BPR?
DR. MOHD TAP: Ia berlaku kerana sebelum ini BPR diletakkan di bawah pengawasan Perdana Menteri walhal sistem yang sama turut dilaksanakan di mana-mana negara sekalipun di samping ada Menteri yang mengawasinya.
Namun keadaan berbeza di Hong Kong kerana ada jawatankuasa bebas yang memantau Suruhanjaya Bebas Menentang Rasuah (ICAC) yang menjawab kepada Parlimen.
Kini kita ada jawatankuasa Lembaga Penasihat Pencegahan dan Anti Rasuah yang akan memantau bersama-sama jawatankuasa Parlimen.
Dari segi pentadbiran pula, Perdana Menteri masih lagi membawa kes-kes ini ke Parlimen bagi pihak suruhanjaya dan ia akan dipantau oleh dua jawatankuasa berasingan dan itulah yang membawa perbezaan ketara.
Selain faktor pengawasan oleh Perdana Menteri itu, apakah aspek-aspek lain yang menjurus kepada kewujudan persepsi ini?
DR. MOHD TAP: Ini masalah persepsi kerana semua kes yang dilaporkan kepada BPR akan disiasat dan kemudiannya diserahkan kepada Peguam Negara yang akan melihat dari sudut undang-undang sebelum dibawa ke mahkamah bagi tujuan pendakwaan.
Bagi BPR, tiada tangan-tangan ghaib yang mencampuri urusan siasatan mereka namun persepsi 'ikan besar' terlepas tetap ada kerana wujudnya pengawasan oleh Perdana Menteri.
Persepsi juga wujud kerana perasaan iri hati apabila melihat seseorang itu kaya-raya dan mengaitkannya dengan amalan rasuah.
Walaupun baru dituduh, ia seolah-olah suatu kesahihan penglibatan seseorang dalam amalan rasuah, tetapi apabila orang itu dibebaskan kerana kes tidak kuat, maka akan wujud persepsi orang ini dilindungi 'orang atas'.
Apakah dengan adanya dua jawatankuasa iaitu Penasihat dan Parlimen, ia akan memberi gambaran bahawa tiada lagi tangan-tangan ghaib?
DR. MOHD TAP: Dari segi struktur, sepatutnya tiada ruang untuk mana-mana pihak campur tangan.
Ini kerana segala-galanya bersifat telus disebabkan Lembaga Penasihat boleh melihat bilangan kes yang dilaporkan oleh masyarakat.
Mereka akan memantau semua jenis tindakan yang diambil sama ada dibawa ke mahkamah atau tidak dan mempunyai kuasa untuk menilai semula siasatan yang dibuat.
Pada akhir tahun, suruhanjaya akan mengeluarkan laporan penuhnya, sama seperti laporan oleh Peguam Negara yang dilakukan pada setiap tahun.
Dalam jawatankuasa Parlimen ada wakil pembangkang?
DR. MOHD TAP: Itu terpulang kepada Parlimen namun saya percaya apabila ditubuhkan nanti, ia akan dianggotai oleh campuran kedua-dua pihak, wakil pembangkang dan kerajaan.
Ada yang mencadangkan suruhanjaya melaporkan kepada Parlimen dan tidak perlu merujuk kepada Peguam Negara untuk mengheret seseorang ke mahkamah?
DR. MOHD TAP: Kalau kita tengok mana-mana negara, Australia sebagai contoh, segala penyiasatan dijalankan oleh badan pencegah rasuah itu sendiri tetapi apabila melibatkan aspek pendakwaan, mahkamah akan hantar balik kepada peguam negara.
Badan tersebut hanya menyiapkan kertas siasatan dan menyerahkan kepada Peguam Negara untuk tindakan selanjutnya.
Berbeza dengan kita dalam hal ini ialah kewujudan dua jawatankuasa Penasihat dan Parlimen yang memantau perjalanan suruhanjaya agar menjadi lebih telus, walaupun ia adalah terbaik buat masa sekarang, namun kita harus melihat dahulu proses pelaksanaannya.
Jika diimbas pengalaman lalu, tiada satu pun suruhanjaya di dunia yang sempurna sebaliknya ia perlu diperbaiki dari semasa ke semasa.
Tanpa melihat indeks rasuah yang dikeluarkan oleh negara luar, di mana tahap rasuah Malaysia menurut kajian oleh IIM sendiri?
DR. MOHD TAP: Saya akui tahap rasuah di Malaysia memang di paras membimbangkan, tetapi tidaklah seteruk seperti yang digambarkan oleh Indeks Pencegahan Rasuah atau CPI yang meletakkan Malaysia di tahap 5.1 dalam skala 10, sedangkan tinjauan IIM menunjukkan ia lebih baik.
Oleh kerana kini wujud keterbukaan dalam akhbar, Internet terutama blog, kita dapati wujud banyak laporan mengenai perlakuan jenayah dari segi harta antaranya jenayah seperti ragut, kecurian dan sebagainya sehingga ia menjadi kebimbangan utama kepada rakyat.
Pada masa yang sama, orang ramai turut membangkitkan masalah rasuah yang menjadi faktor kedua dalam kebimbangan rakyat.
Kenaikan harga pula jatuh ke tangga ketiga dalam indeks kebimbangan orang ramai dan jika kita boleh selesaikan persepsi mengenai rasuah, ia adalah sesuatu yang baik dan masyarakat menjadi lebih selesa.
Kebimbangan dalam rasuah berdasarkan sesi pendengaran awam?
DR. MOHD TAP: Dalam sesi pendengaran awam oleh IIM, memandangkan ramai yang menghadiri sesi itu terdiri daripada orang awam yang bekerja dalam sektor swasta, mereka banyak menekankan rasuah yang berlaku di jabatan kerajaan.
Namun dari satu segi, sektor swasta juga didapati banyak melakukan amalan rasuah tetapi dalam istilah yang berbeza antaranya komisen, insentif dan sebagainya.
Namun mengikut takrif rasuah, semua itu adalah rasuah walaupun menjelma dalam pelbagai bentuk.
Bagaimanapun oleh kerana tidak melibatkan kewangan negara maka ia tidak menjadi perhatian masyarakat, cuma dari segi etika perniagaan dan kehidupan ia adalah salah.
Ini berdasarkan persepsi atau pengalaman?
DR. MOHD TAP: Ada orang kata persepsi itu realiti, masalah jenayah rasuah tidak nampak seperti jenayah tembak yang kita boleh nampak apabila berdarah.
Rasuah berlaku kerana ada yang memberi dan menerima. Pada saya persepsi adalah perkara yang berlaku. Tetapi kalau kita tanya mana-mana pihak tidak pernah ada mengatakan, ''Saya menerima rasuah atau saya memberi rasuah."
Biasanya yang kita dengar, mereka akan berkata, kawan memberitahu jika berurusan dengan kaunter itu atau ini, kita perlu memberikan 'wang pelincir' supaya kerja berjalan lancar.
Apabila adanya suruhanjaya itu, fungsi 'whistleblower' atau pelapor jenayah rasuah akan dilindungi. Saya jangka dengan adanya pelindungan seumpama ini maka lebih ramai yang berani tampil melaporkan salah laku rasuah ini.
Kita telah ada sistem tetapi gejala rasuah di negara kita masih berlaku, mengapa?
DR. MOHD TAP: Apa pun undang-undang yang kita buat ia tidak akan bermakna, jika tiada kesedaran di kalangan masyarakat.
Semasa Dialog Integriti ASEAN, satu cadangan yang dititikberatkan ialah mendidik anak-anak kita untuk mengurangkan kehadiran polis dan jumlah penguat kuasa BPR jika individu itu mempunyai tabiat yang baik.
Salah satu sebab mengapa kita mewujudkan Pelan Integriti Nasional (PIN) dan Institut Integriti Malaysia (IIM) ialah hasil kajian yang menunjukkan bahawa 37 peratus penuntut berkata, jika ada peluang mereka akan menerima rasuah.
Ini bermakna anak-anak kita mesti dididik supaya membenci rasuah. Kalau babi dan anjing amat 'ditakuti' oleh orang Islam sehingga kita sanggup melompat sungai, maka dari segi dosanya rasuah pun begitulah teruknya.
Ini kerana yang mustahak ialah manusia itu sendiri, tidak ada gunanya ditubuhkan suruhanjaya atau ditambah jumlah anggota polis sedangkan manusia tidak mahu berubah.
Maksudnya sistem pendidikan kita mesti menerapkan rasuah sebagai dosa amat besar?
DR. MOHD TAP: Sepatutnya begitu. Kita mendengar terdapat 350,000 pembantu rumah asing di Malaysia. Bayangkan nilai yang dibawa bukan nilai kita lagi. Oleh itu ibu bapa mesti memantau pembesaran anak-anak dengan nilai yang mereka sendiri tanamkan.
Ini kerana nilai-nilai yang dibawa dari luar mungkin tidak sesuai dengan kita ditambah lagi pembantu rumah asing bukan dari kalangan atasan. Maka kita tidak boleh melepaskan proses mendidik anak-anak kepada pembantu rumah atau kepada sekolah semata-mata.
Ada persepsi kakitangan kerajaan gaji kecil jadi terpaksa ambil rasuah?
DR. MOHD. TAP: Itu tidak masuk akal kerana sekarang ini seorang pemandu di jabatan kerajaan, pendapatan bulanan lebih RM1,200. Perkiraannya ialah kalau miskin macam mana pun rasuah adalah haram bagi orang Islam dan bangsa-bangsa lain.
Begitulah kakitangan kerajaan, gaji mereka lebih daripada cukup tetapi dengan syarat, kalau orang lain makan mi goreng tiga pinggan kita makanlah sepinggan.
Saya pernah berkhidmat di Kenya. Pekerja di sana berpendapatan rendah, oleh itu mereka membawa bekalan makanan dari rumah. Di Malaysia, saya tidak pernah tengok pekerja bawa bekal ke pejabat. Kebanyakan makan di luar, di restoran-restoran.
Ada 1.2 juta kakitangan kerajaan di Malaysia, mengapa yang ambil rasuah segelintir sahaja, ramai yang gaji kecil tidak ambil rasuah. Yang ambil rasuah selalunya bergaji besar.
Benarkah dakwaan hanya bilis ditangkap kerana rasuah manakala jerung terlepas?
DR. MOHD. TAP: Kesemuanya ini mesti berdasarkan bukti, ada juga ikan jerung seperti Menteri, Exco yang telah diambil tindakan, mungkin masyarakat ingin melihat semua Menteri diambil tindakan, itu saya tidak tahulah.
Sejak kebelakangan ini, jumlah mereka yang dihadapkan ke mahkamah kerana rasuah semakin meningkat, adakah ia didorong oleh kesedaran masyarakat?
DR. MOHD. TAP: Sememangnya kesedaran masyarakat tentang rasuah semakin tinggi.
Kalau kita melihat sahaja gejala rasuah berlaku tanpa memperbetulkannya, sampai bila pun kita tidak boleh memperbetulkan masyarakat.
Kita tidak boleh mengharapkan kerajaan sahaja untuk membanterasnya. Apa yang penting setiap laporan yang dibuat harus disertakan dengan bukti.
Selain itu, masyarakat juga harus memahami bahawa tidak semua kes yang dikemukakan di mahkamah akan menang.
Segalanya bergantung kepada fakta, hujah dan bukti, bukannya disebabkan dia ikan jerung atau ikan bilis.
Bagaimana peranan IIM menerapkan nilai-nilai mulia di peringkat sekolah?
DR. MOHD TAP: Pertamanya, kita mengadakan siri seminar untuk guru-guru dan pengetua dengan bantuan Kementerian Pelajaran. Kita bentangkan apa itu integriti dan bagaimana guru-guru boleh mengambil bahagian.
Kita berharap melalui pendekatan itu, mereka akan menyampaikannya pula kepada pelajar.
Di peringkat universiti, semasa minggu suai kenal, kita dijemput membentangkan modul integriti kepada penuntut.
Pada masa ini, kita akan berusaha mengadakan dialog berkala dengan pemimpin pelajar di pusat pengajian tinggi.
Kalau ada kapasiti kita akan teruskan secara berkala mengenai penerapan nilai-nilai murni di kalangan mahasiswa kerana mereka bakal berkhidmat dengan kerajaan dan swasta.
Semasa penutup dialog ada dicadangkan supaya peringkat Menteri pun diwajibkan mengikuti kursus integriti, adakah ia turut melibatkan IIM?
DR. MOHD TAP: Cadangan itu bagi membolehkan semua Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri dan anggota pentadbiran menghadiri kursus integriti selama beberapa hari. Langkah itu bertujuan membiasakan kita mengenai integriti sehingga ia menjadi sebahagian daripada kehidupan.