27 April 2008

Menangani krisis harga minyak


Harga minyak mentah global kini telah mencecah melepasi paras AS$119 setong awal minggu ini dan walaupun harga bahan bakar itu susut sedikit pada hujung minggu, parasnya masih berlegar-legar di atas AS$115 setong.

Kenaikan harga komoditi itu serta kemelesetan ekonomi di Amerika Syarikat (AS) telah mewujudkan keadaan tidak tentuan dalam ekonomi global.

Harga minyak mentah dunia yang tinggi itu telah menyumbang kepada kenaikan inflasi di banyak negara akibat kenaikan harga barangan.

Keadaan menjadi bertambah buruk apabila berlaku krisis makanan global disebabkan Vietnam sebagai negara pengeskport beras kedua terbesar dunia menggantung pesanan eksport akibat kekurangan bekalan domestik.

Kenaikan harga minyak bukan sahaja menjadi kekhuatiran yang menggusarkan negara-negara pengimport komoditi itu, namun ia turut membimbangkan para pengguna yang kini mula berasa kesannya.

Boleh dikatakan hampir setiap hari harga minyak atau 'emas hitam' itu mencatatkan rekod baru dan kini ia hampir mencecah AS$120 setong.

Berikutan trend peningkatan harga komoditi itu, tempiasnya mula jelas kelihatan apabila pengguna terpaksa berbelanja lebih berikutan peningkatan inflasi.

Peningkatan inflasi bukan hanya memberi tekanan kepada masyarakat dari segi kenaikan harga barangan dan perkhidmatan, tetapi ia memberi kesan kepada pelbagai aspek lain, termasuk peningkatan kos perniagaan dan kos pengeluaran.

Ini bermakna kerajaan akan turut merasai tekanannya dari segi peningkatan kos pembangunan, manakala golongan sektor perniagaan dan industri turut merasai tekanan dari segi peningkatan kos operasi berikutan kenaikan kos harga minyak dan bahan mentah.

Malah, rakyat negara yang kaya dengan minyak, seperti Brunei, yang menikmati harga terendah bagi bahan api di kalangan negara-negara Asia Tenggara selama ini, kini mula berasa kesan daripada kenaikan harga minyak mentah dunia.

Kebanyakan pembekal di negara kecil berkenaan menaikkan harga barangan dengan menyatakan ia kesan daripada surcaj bahan api yang lebih tinggi terhadap kos penghantaran mereka.

Selain itu, barangan runcit turut meningkat, manakala perniagaan pembinaan juga tidak ketinggalan terjejas dengan kenaikan harga minyak itu, setelah industri di negara itu mengimport kebanyakan bahan binaan.

Harga minyak mudah berubah, khususnya mengalami kenaikan kerana ia begitu sensitif terhadap perkembangan semasa dan dengan hanya satu khabar angin sahaja mampu melonjakkan harga komoditi itu.

Apa yang memburukkan lagi keadaan kemerosotan dolar Amerika Syarikat (AS) berbanding mata wang utama dunia lain yang menyaksikan minyak menjadi 'murah' bagi pelabur yang menggunakan mata wang lain untuk menyimpannya.

Dengan kelemahan nilai dolar yang berterusan, tidak mustahil harga minyak boleh melambung lagi.

Persoalan utama yang timbul ialah mengapa negara-negara pengeluar minyak, khususnya OPEC tidak menambah pengeluaran bagi menstabilkan harga.

OPEC sepatutnya responsif kepada keadaan tersebut dan perlu bertindak selari dengan keperluan dunia bagi menambah bekalan untuk meringankan beban negara lain, terutama negara yang tidak mempunyai sumber tersebut.

MendesakAS telah banyak kali mendesak dan menggunakan pengaruhnya untuk mendesak OPEC meningkatkan bekalan tetapi sehingga ini, OPEC enggan memberi tindak balas positif kepada desakan AS, dengan memberi alasan harga minyak dunia pada masa ini masih di bawah harga sebenar.

Berikutan kenaikan harga komoditi itu, medan-medan minyak yang kecil yang dahulu tidak menguntungkan jika penerokaan dilakukan mula mendapat perhatian syarikat-syarikat minyak, namun terdapat kos tambahan berikutan penggunaan teknologi terkini yang lebih canggih.

Malah peningkatan kos penerokaan kini tidak seimbang dengan kadar kenaikan minyak yang menyaksikan syarikat-syarikat minyak terpaksa mengambil kira risiko yang bakal dihadapinya.

Seorang penganalisis berkata, harga minyak dijangka stabil antara AS$116 hingga AS$118 setong dan harga komoditi itu akan berada di atas paras AS$100 setong pada tahun ini.

"Inflasi adalah perkara yang tidak dapat dielakkan ekoran ketidaktentuan ekonomi global khusus daripada peningkatan harga minyak dan harga bahan makanan," tambahnya.

Ada yang berpendapat, kenaikan harga minyak boleh diatasi dengan menggantikannya dengan bahan bakar bio, namun ia tidak semudah yang disangka.

Penganalisis itu menambah kata, harga minyak mempunyai kaitan dengan harga komoditi yang boleh menghasilkan bahan bakar bio seperti minyak sawit, soya dan jagung

''Disebabkan hubungan ini, jika harga minyak naik harga komoditi ini juga akan naik," katanya.

Tidak seperti di Eropah, di Malaysia harga bahan bakar bio tidak menguntungkan berikutan pemberian subsidi petroleum dan ia jelas apabila bahan bakar bio yang dihasilkan di negara ini dieksport ke Eropah.

Namun, penghasilan bahan bio mula menjadi isu hangat berikutan peningkatan harga bahan makanan.

Persoalannya, adakah kita sanggup membakar bahan makanan hanya semata-mata untuk tujuan menghasilkan bahan bakar untuk pengangkutan bagi memberi kelegaan negara maju, sedangkan di negara mundur banyak insan yang kebuluran.

PembaziranNegara boleh memberi subsidi bagi mengatasi masalah kenaikan harga minyak, namun sampai bila kerajaan mampu menanggung peningkatan subsidi kerana pemberian kemudahan seumpama itu boleh mengakibatkan penggunaan bahan bakar yang tidak efisien, atau erti kata lain pembaziran akan berlaku.

Penduduk negara ini boleh dikatakan bernasib baik berikutan pemberian subsidi di negara ini jika dibandingkan dengan penduduk negara lain, malah ada negara yang tidak memberi sedikitpun subsidi minyak kepada penduduknya.

Jika kerajaan memberi subsidi yang banyak untuk jangka masa panjang, tindakan itu boleh memberi kesan yang buruk kepada ekonomi negara.

Perlu diingat, walaupun Malaysia menerima manfaat daripada kenaikan harga minyak global memandangkan ia kini merupakan negara pengeksport komoditi itu namun status tersebut tidak akan berkekalan dan menjelang 2011 Malaysia akan dikenali sebagai negara pengimport bersih minyak.

Kita perlu menerima hakikat bahawa Malaysia, seperti negara lain, tidak dapat mengelak daripada peningkatan harga minyak tetapi persoalan ialah bagaimana dan sampai bila negara akan mengekalkan harga ini pada paras yang rendah melalui pemberian subsidi berterusan bagi membendung peningkatan inflasi yang tinggi.

Selain itu, Petronas sebagai syarikat minyak negara turut menanggung peningkatan kos operasi walaupun pada masa yang sama menikmati peningkatan keuntungan daripada kenaikan harga minyak global.

Petronas perlu berbelanja lebih untuk tujuan penerokaan dan pengeluaran kerana kos untuk tujuan itu melibatkan penggunaan peralatan dan kemudahan yang mahal serta penggunaan teknologi yang memerlukan perbelanjaan besar.

Kegiatan penerokaan ini perlu diteruskan memandangkan pengeluaran minyak negara semakin susut dan Petronas perlu mencari meningkatkan kegiatan penerokaan bagi mencari sumber baru untuk memastikan pengeluaran minyak negara sentiasa mencukupi.

Kenaikan harga minyak dunia merupakan satu fenomena global dan rakyat perlu menerima hakikat seandainya kerajaan tidak mampu lagi mempertahankan harga minyak semasa kerana beban perbelanjaan subsidi minyak yang semakin meningkat mencecah RM45 bilion setahun.