02 April 2008

Perpaduan Melayu tidak ada penyelesaian mukjizat


Di atas robohan Melaka
kita dirikan jiwa merdeka
bersatu padulah segenap baka
membela hak keadilan pusaka.

Pantun ini dilafaz oleh Dr. Burhanuddin Al-Helmy dalam satu persidangan di Melaka pada tahun 1945. Ia dirakam kembali oleh sejarawan British, T.N. Harper dalam bukunya berjudul The End of Empire (Cambridge University Press, 1999) yang seterusnya mencatat betapa pada awal 1956 Tunku Abdul Rahman mengumumkan tarikh kemerdekaan pada 31 Ogos 1957, di Melaka.

Pantun tersebut berbeza dari yang dirakam dalam buku terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka berjudul Bumi Dipijak Milik Orang (1991):

Di atas robohan kota Melaka

kita bangunkan jiwa merdeka

bersatulah Melayu seluruh baka

membela hak keadilan pusaka

Ia kembali dalam kenangan setelah tersiar laporan Utusan Malaysia hari Jumaat 21 Mac lalu mengenai perpaduan Melayu. Ayat pertama berbunyi: “Sebanyak 25 pertubuhan dan badan amal Melayu/Islam sepakat menubuhkan Barisan Bertindak Perpaduan Melayu (BBPM) yang akan memainkan peranan menyatukan orang Melayu tanpa mengira fahaman politik demi menjaga kepentingan bangsa dan memelihara kesucian agama Islam.”

Diakui

Namun, sedia diakui bahawa perpaduan menentang penjajah Inggeris berbeza dari perpaduan yang dituntut setelah merdeka sekian lama dengan warganegara pelbagai etnik, agama dan budaya yang mesti diambil kira kepentingan, aspirasi, tuntutan dan keluhan masing-masing dalam usaha menegak masyarakat demokratis dan adil.

Muncul kembali dalam kempen pilihan raya baru lalu dan seterusnya ialah +debat pro dan kontra Dasar Ekonomi Baru (DEB). Antara yang wajar menjadi bahan rujukan ialah masalah ekuiti seperti, umpamanya, dicatat berkaitan ekuiti antara kaum, seperti berikut:

Kerana itulah Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pernah menyatakan pada bulan Mac tahun lalu lagi bahawa sasaran ekuiti Melayu sebanyak 30 peratus tidak akan dihapuskan. Pencapaiannya diharap berlaku pada tahun 2010.

Menarik perhatian dalam aspek ini ialah buku The Population of Peninsular Malaysia oleh Profesor Saw Swee-Hock terbitan Institute of Southeast Asian Studies Singapura pada tahun 2007. Menurutnya bilangan orang Melayu akan meningkat hingga 62.2 peratus jumlah penduduk pada tahun 2010, 63.3 peratus pada tahun 2015 dan 64.4 peratus pada tahun 2020.

Ia berupa catatan masa kini dan sambungan keadaan masa dulu. Ada kalanya juga masa lampau dianggap sebagai “negara asing yang penghuninya orang asing belaka.” Pernah disebut ialah kenyataan Tengku Ismail bin Tengku Muhammad Yasis, ahli lembaga pengarang akhbar Majlis dulu, seperti berikut:

Air

“Pemerintah Inggeris adalah seumpama air. Orang-orang mengambil berat akan air kerana di mana-mana ada air, tetapi kalau seorang sampai ke suatu padang pasir, air tidak ada, maka barulah orang mengerti bagaimana baiknya, pentingnya dan mustahaknya air. Begitulah pemerintah Inggeris itu, andai kata dia pergi dari kita, barulah kita rasa bagaimana baiknya pemerintah Inggeris itu kepada bangsa kita.”

Ucapan itu disampaikan dalam Kongres Pertubuhan-Pertubuhan Melayu di Kuala Lumpur pada tahun 1939, iaitu sebelum meletusnya perang. Hal ini disebut dalam sebuah makalah oleh Faris A. Noor pada tahun 2001.

Seperti disebut dalam buku Bumi Dipijak Milik Orang, pada beberapa ketika. “Hanya 42 orang Melayu di dalam jawatan civil service walhal orang Inggeris ada seramai 240 orang. Berkenaan perkara iktisad adalah bahagian yang besar sekali dalam tangan Inggeris dan Amerika.”

Perpaduan Melayu yang dituntut dewasa ini tentunya mengambil kira kedudukan parti-parti politik segala kaum. Tidak ada penyelesaian mukjizat. Dari Indonesia terbit cerita mengenai Presiden Suharto dulu pernah meramalkan kira-kira lima bulan sebelum sidang Parlimen bahawa Gus Dur akan menjadi Presiden Indonesia. Beliau juga meramalkan bahawa Megawati dan Amien Rais tidak akan menjadi presiden. Beliau menyatakan ini bukan atas pertimbangan rasional tetapi atas asas amalan mistik. Menurutnya ia telah memberi cincin batu merah delima dan keris kepada Gus Dur pada bulan Mei 1999. Ini bererti beliau telah menyerahkan wahyu kepada Gus Dur.

Cerita ini dicatat dalam buku berjudul The Indonesian Military After The New Order, karya Sukardi Rinakit (terbitan Institute of Southeast Asian Studies Singapura). Sebagaimana diketahui Gus Dur kemudian lucut kuasanya dan Megawati menjadi presiden dalam pemilihan umum oleh rakyat. Yang berkuasa dalam sistem demokrasi ialah rakyat.

* Penulis ialah konsultan kanan ISIS Malaysia. Pandangan penulis adalah pendapat peribadi dan tidak ada kena-mengena dengan ISIS.