Tidak semua komedi menghamparkan ruang untuk kita ketawa berdekah-dekah hingga terlupa duka dan nestapa. Tetapi sebahagian besar daripada kita barangkali menganggap komedi adalah satu pendekatan yang memberikan ketenangan dan hiburan.
Kita kerap menganggap komedi akan terhasil daripada perlakuan atau perbuatan yang mengarut dan tidak membawa maksud apa-apa kecuali ketawa semata-mata.
Tidak semua komedi membuatkan kita ketawa hingga lupa dunia dan realiti sosial yang berlingkar di sekeliling kita. Ada komedi yang menghamparkan suatu yang tragis secara satira untuk kita ketawa berpada-pada daripada paparan yang ironik. Kalau komedi biasa memaparkan aksi lucu (mual) pelakon, ada komedi lain yang memaparkan pembunuhan, kekejaman dan luahan perasaan yang menyayat hati.
Masih bolehkah kita ketawa dengan komedi begini? Inilah yang katakan komedi hitam atau black comedy dalam kajian filem. Komedi hitam dikatakan satu sub-genre daripada komedi. Tetapi komedi hitam memaparkan sesuatu yang tragis, menyayat hati dan mengejutkan tangkai jantung. Komedi hitam lebih satirical menyentuh isu-isu sosial dalam masyarakat.
Komedi hitam menuntut persiapan minda daripada penonton. Menikmati komedi yang selalunya tidak berakhir dengan suatu yang menghiburkan ini adalah berbeza dengan komedi yang memuatkan aksi lawak pelakon-pelakonnya.
Dalam naskhah teater Waiting Fot Godot misalnya, babak seorang lelaki menggantungkan diri dengan tali pinggangnya sendiri satu yang tragis tetapi dikomedikan apabila seluarnya terlondeh. Ini salah satu contoh bagaimana suatu tragedi disuntik dengan komedi, tetapi tragedi tetap dirasakan tragisnya.
Sekiranya sudah bersedia untuk tidak ketawa sampai tidak sedarkan diri, filem Ah Long Pte. Ltd adalah sebuah komedi hitam yang baik untuk ditonton. Ini adalah filem Singapura yang dihasilkan oleh generasi baru yang peka menangkap pergulatan sosial di sekitar mereka. Ah Long Pte. Ltd. adalah sebuah filem tragis mengenai kegiatan along dan mereka yang menjadi mangsa kekejaman along.
Ini bukanlah filem terbaik Singapura. Tetapi antara filem yang membentuk sikap, persepsi dan budaya menerusi layar perak. Filem Singapura menyumbang dalam melakarkan “budaya Singapura” yang bukan Melayu, Cina atau India.
Tetapi jangan terkejut kalau filem komedi ini memuatkan pembunuhan, kekejaman dan penyiksaan. Ah Long Pte. Ltd sebuah satira sosial semasa di Singapura dan komedi hitam ini muncul popular kalangan generasi baru negara itu. Lagu yang dimuatkan dalam filem ini menjadi siulan.
Kepada mereka yang pernah menonton filem Money No Enough arahan Tay Teck Lock dan lakon layar oleh Jack Neo sepuluh tahun lalu, Ah Long Pte. Ltd. datang daripada karyawan yang sama. Filem ini diarahkan sendiri oleh Jack Neo yang menyumbangkan lakon layar yang kukuh untuk Money No Enough. Malah muncul filem yang mencatat kutipan paling tinggi di Singapura iaitu S$5.8 juta (ketika itu S$1 bersamaan RM1.70).
Jack Neo seorang pengarah muda yang menjanjikan harapan kepada industri filem Singapura. Ah Long Pte. Ltd. menjadi landasan jelas bagi Jack Neo untuk menempa nama di peringkat yang lebih tinggi.
Sebagai sebuah komedi hitam, Jack Neo mengimbangi elemen komedi di sebalik tragedi-tragedi yang menyentak perasaan. Malah kepada penonton yang tidak berupaya menyorot satira sosial dalam Ah Long Pte. Ltd, mereka masih boleh menikmati “komedi” daripada aksi dan pembinaan kerangka cerita yang membuahkan komedi daripada situasi. Kerangka cerita yang menjuruskan pendekatan popular menjadi tarikan untuk menyusuri kepekatan jenayah kegiatan along. Biar pun pada beberapa adegan, Jack Neo kelihatan hilang kawalan dan terperosok dalam slapstik yang stereotaip, tetapi tidak banyak mencacatkan keseluruhan Ah Long Pte. Ltd.
Tetapi memasukkan beberapa kesan khas difikirkan tidak diperlukan sama sekali. Sebaliknya kesan khas ini sedikit menganggu kerana kesan komedi sudah terbina daripada situasi dan lakonan pelakon-pelakon. Kerana itu dalam beberapa adegan juga dirasakan seolah-olah menonton klip video dengan tempo suntingan yang tidak selaras dengan mood filem ini.
Bagaimana pun di tangan Jack Neo, bandar raya Singapura dan Kuala Lumpur disorot dengan berbeza. Jack Neo menyorot “di sebalik” Singapura, visual yang kelihatan dalam filem ini agak asing daripada Singapura seperti yang terpampang di papan iklan. Kamera menyoroti lorong-lorong belakang sebagai simbol mudah kegiatan yang terlindung daripada pandangan umum.
Filem yang berpusat kepada kisah dua kumpulan along ini sebenarnya bercerita mengenai manusia dan dilema untuk melakukan perubahan. Tetapi bukan mudah untuk manusia mengubah kelompok manusia lain daripada persepsi yang sudah tertanam sejak sekian lama. Malah dalam beberapa keadaan lain, Ah Long Pte. Ltd. kelihatan begitu idealistik untuk membina persepsi positif kepada suatu yang sarat dengan negatif. Apakah filem ini boleh dianggap sebagai satu idealisme generasi baru Singapura terhadap pergulatan sosial di sekeliling mereka? Mereka bukan saja mahu memberi label sosial yang baru kepada kegiatan along malah mengubah kerangka sosial along itu sekali gus. Tetapi ini adalah salah satu identiti karya Jack Neo yang menyorot dan membawa isu-isu sosial ke pentas terbuka. Filem Money No Enough yang menumpangi isu krisis ekonomi yang melanda Asia termasuk Singapura pada penghujung 90-an dan dikupas dengan baik.
Selain berpaksikan kepada isu sosial, Ah Long Pte. Ltd mengukuhkan identiti sebagai “filem Singapura” yang menangkap imej dan watak manusia dalam ruang litup budaya Singapura. Filem ini tidak boleh dimasukkan dalam acuan filem Hong Kong atau China sekalipun wataknya adalah Cina.
Bagaimana pun kerja kamera agak mengecewakan untuk menghasilkan satu persembahan yang menarik bagi adegan-adegan pertarungan. Kamera terlalu banyak mempengaruhi penonton daripada sudut dan syot, ini tidak seimbang dengan tempo adegan pertarungan itu. Malah dalam beberapa adegan, kelihatan ada kecenderungan melebih-lebihkan hingga hilang komedinya.
Filem ini bergerak dengan dua watak utama, Li Hua (lakonan Fann Wong) yang mewarisi kepimpinan daripada ketua kumpulan along Shao He Triad, Chen Jun (lakonan Richard Low) yang mahu bersara. Watak Li Hua bergerak selari dengan Mr. Fang (lakonan Mark Lee), jurulatih tarian yang berwatak lembut.
Sebagai pemimpin generasi muda, Li Hua menyusun semula kumpulannya menjadi lebih profesional. Malah Li Hua mahu memberikan imej yang lebih baik kepada along dengan mengurangkan kekejaman ke atas meminjam.
Percubaannya memimpin sebuah kumpulan along “baik” terus diasak oleh kumpulan lawan yang menganggap perubahan pendekatan oleh Li Hua itu satu sabotaj. Bagi mereka along mesti kejam, apa lagi kepada peminjan yang melaporkan kepada polis. Li Hua cuba meletakkan along sebagai sekumpulan manusia yang berjasa kepada masyarakat menerusi aktiviti pinjaman wang.
Li Hua juga mendepani dilema apabila ibunya sangat berharap dia berkahwin dan memperoleh anak seperti rakan-rakan yang lain. Tetapi Li Hua merasakan dia seorang tomboy, berlagak kasar dan membenci lelaki.
Filem ini sepatutnya ditamatkan selepas kedua-dua kumpulan along itu ditangkap polis selepas diberkas oleh sekumpulan remaja yang keluarga mereka menjadi mangsa along. Tetapi dilanjutkan kepada “10 tahun kemudian” yang jelas tidak diperlukan sama sekali.