19 Mei 2008

DEB mesti sesuai dengan keadaan



IDEA ketuanan Melayu di Malaysia sering menjadi tajuk perbincangan masyarakat, lebih-lebih lagi apabila bercakap berhubung soal hak istimewa orang Melayu yang termaktub dalam Perlembagaan.

Bagaimanapun, masyarakat bukan Melayu pula melihat idea itu yang menunjangi dasar pro-Melayu seperti Dasar Ekonomi Baru (DEB) sebagai satu dasar yang menyebabkan kemajuan mereka sedikit tersekat. Menurut Ye Lin-Sheng dalam bukunya The Chinese Dilema, masyarakat bukan Melayu memang mendapat hasil daripada DEB, namun jika dasar itu tidak wujud, mereka akan lebih berjaya lagi.

Walaupun ini boleh dianggap sebagai pandangan minoriti, ia harus diambil kira dalam membincangkan kesan DEB kepada masyarakat bukan Melayu. Walaupun DEB tidak mencapai kejayaannya dalam menambah pegangan ekuiti masyarakat Melayu sebanyak 30 peratus, kesannya sangat banyak dari segi membantu masyarakat Melayu dalam ekonomi dan pendidikan.


Pentingnya DEB adalah untuk kemakmuran masyarakat Melayu dan seterusnya membawa kepada kemakmuran negara. Dasar ini diperkenalkan atas asas untuk meningkatkan kekuatan ekonomi masyarakat Melayu dan untuk mengimbangi 'kek ekonomi' di antara masyarakat bukan Melayu dan Melayu.

Selain itu, dasar ini juga berfungsi menghapuskan kadar kemiskinan di kalangan semua masyarakat. Pelaksanaan dasar ini, berdasar polisi diskriminasi positif yang memberi lebih banyak peluang kepada masyarakat Melayu dan pada masa sama tidak menghapuskan peluang kepada masyarakat bukan Melayu. Jadi DEB ini adalah satu dasar ekonomi yang ada kaitan terus dengan soal hak istimewa orang Melayu yang dilindungi perlembagaan.

Satu fenomena menarik yang berlaku kini ialah kurangnya sokongan Melayu sendiri terhadap falsafah DEB sendiri. Kenyataan seorang tokoh politik dalam sebuah akhbar bertarikh 16 Mac lalu menyatakan bahawa DEB gagal memberi faedah menyeluruh kepada semua kaum termasuk masyarakat Melayu sendiri.

Trend ini mungkin menjadi salah satu faktor berlakunya perubahan politik yang besar di landskap politik negara di mana sebahagian pengundi Melayu tidak lagi menyokong kerajaan yang menaungi DEB.

Adakah golongan ini sudah menganggap DEB tidak lagi relevan untuk membantu Melayu? Atau mereka menganggap Melayu sudah boleh berdiri sendiri tanpa dibantu melalui dasar yang bersifat affirmative action atau positive discrimination seperti DEB?

DEB adalah satu dasar yang lahir daripada insiden 13 Mei 1969 yang memperlihatkan hubungan kaum begitu tegang. DEB muncul pada zaman yang memerlukan kestabilan antara kaum dan kestabilan ini boleh dicapai jika Melayu yang mundur pada era itu dibantu dan kemakmuran ekonomi dapat dikongsi semua kaum dan bukan tertumpu kepada satu kaum semata-mata.

Kini, selepas 30 tahun pengisytiharannya, DEB sedang melalui era sukar yang mungkin memperlihatkan hakisan sedikit demi sedikit dari segi pelaksanaannya. DEB sudah dipersoal secara terbuka mengenai pelaksanaannya oleh masyarakat bukan Melayu dan ketelusannya oleh masyarakat Melayu sendiri. Mungkin ini ialah dilema baru Melayu masa kini.

DEB dianggap dasar yang pro-Melayu tetapi terpaksa ditentang Melayu sendiri kerana dianggap tidak telus dan kebaikannya tidak dibahagikan secara menyeluruh. Adakah DEB itu sendiri masih relevan untuk berdiri untuk membantu masyarakat Melayu pada suasana politik masa kini?

Mungkinkah sudah sampai masanya Melayu memerlukan satu dasar yang lebih relevan dan berkesan untuk membantu mereka?