19 Mei 2008

Syor tambah biasiswa pelajar Melayu ke IPT


Oleh Azman Mahmood


TAHNIAH: Pelajar IPB selepas majlis konvokesyen di Menara Matrade, Kuala Lumpur, semalam.

PTPTN tak boleh dianggap ganti bantuan kewangan: Hanafiah

KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta menyediakan lebih banyak biasiswa untuk pelajar Melayu yang berjaya melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi (IPT) di dalam dan luar negara.

Pengerusi Institut Profesional Baitulmal (IPB), Tan Sri Hanafiah Ahmad, berkata kemudahan Pinjaman Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) tidak boleh dianggap gantian kepada biasiswa.


Katanya, PTPTN adalah dana khas disediakan untuk pelajar semua kaum yang tidak ditawarkan kepada pelajar Melayu saja.

Beliau berkata, kerajaan sepatutnya menawarkan lebih banyak biasiswa kepada pelajar Melayu selaras peruntukan Perlembagaan Persekutuan mengikut hak keistimewaan orang Melayu.

"Pada hemat saya, setiap pelajar Melayu Bumiputera yang mendapat tempat di universiti diiktiraf (kerajaan), mereka berhak mendapat biasiswa kerana ia adalah peruntukan dalam Perlembagaan yang menjadi hak dan keistimewaan Melayu.

"Jika ada pihak beranggapan pinjaman ini (PTPTN) ganti kepada biasiswa, ia bertentangan dengan Perlembagaan mengenai hak keistimewaan orang Melayu dan menyekat hak pelajar mendapat biasiswa," katanya berucap pada majlis Konvokesyen IPB Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) di Menara Matrade di sini, semalam.

Majlis itu dirasmikan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Senator Datuk Dr Mashitah Ibrahim mewakili Menterinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Menyentuh kejayaan pelajar IPB, Hanafiah berkata, institut itu mencatat sejarah apabila empat pelajarnya mendapat pengiktirafan peringkat dunia dengan menerima anugerah khas pingat emas dan perak daripada badan profesional London Chamber of Commerce and Industri International Qualifications di United Kingdom, bagi sesi pengajian 2007.

Katanya, sejajar dengan kejayaan itu, IPB akan terus memastikan tahap pembelajarannya setanding IPT dari dalam dan luar negara.

Katanya, IBP hanya sebahagian daripada IPT tempatan yang menyumbang kepada penambahan profesional Melayu seperti dalam bidang perakaunan dan pengurusan syarikat.

"Namun, jika dibanding dengan kaum lain, pencapaian Melayu dalam bidang profesional seperti perubatan, perundangan dan kejuruteraan, masih kurang," katanya.

Bercakap kepada pemberita selepas majlis itu, beliau berkata, PTPTN adalah tabung pinjaman pendidikan dan pelajar perlu menjelaskan pinjaman apabila tamat pengajian.

Katanya, jika pelajar diberi pembiayaan pengajian di luar negara sebanyak RM200,000, sudah pasti mereka terpaksa menanggung bayaran balik sekurang-kurangnya dalam tempoh 20 tahun.

"Ertinya, jika penerima pinjaman ini daripada keluarga miskin, masalah kemiskinan mereka tidak selesai kerana sebahagian pendapatan yang diterima hanya untuk membayar hutang kerajaan," katanya.

Sementara itu, seramai 534 pelajar IPB menerima diploma pada konvokesyen itu yang disampaikan Mashitah. Daripada jumlah itu, 349 pelajar menerima diploma Universiti Teknologi Mara (UiTM), 157 menerima diploma LCCIIQ United Kingdom dan 28 pelajar lagi menerima sijil Juruteknik Perakaunan (CAT).

Lima pelajar mendapat pengiktirafan LCCIIQ di United Kingdom bagi pingat emas ialah Awang Mokhtar Awang Mohri dan Umar Abdul Aziz Abdul Latiff, manakala Ruslida Hussin, Nur Adima Adam dan Rasmawati Ali, pingat perak.