DR AIDH Abdullah Aidh Ali Majdu Al-Qarni atau lebih dikenali dengan Aidh Abdullah Al-Qarni adalah pengarang buku La Tahzan (Jangan Bersedih: Jadilah Wanita Yang Paling Bahagia) mendapat sambutan di luar dugaan di kalangan penggemar bahan bacaan Islamik di Malaysia, Indonesia dan Brunei.
Beliau yang dilahirkan di bandar Qarn, Selatan Arab Saudi pada 1958, cergas dalam menghasilkan karya sastera, turut merakam pandangannya dalam bentuk kaset melebihi 800 topik merangkumi khutbah, pelajaran, ceramah, kutipan lebih 5000 hadis dan lebih 10,000 bait syair Arab.
Aidh Abdullah menerima Ijazah Sarjana Muda dalam bidang usuluddin dari Universiti Al-Imam Muhammad Sa'ud pada 1982 dan menyelesaikan 1987 dengan pengkhususan bid'ah dan pengaruhnya dalam dirayah (pengetahuan) dan riwayah (periwayatan) di samping doktor falsafah pada 2001 dengan mengkaji Kitab al-Mafhun Syarah Shahih Muslim karya al-Qurtubi.
Meskipun sibuk dengan dunia kepengarangannya, beliau turut membabitkan diri dalam puluhan kongres dan pertemuan dunia Islam seperti Muktamar Pemuda Arab Muslim, Muktamar Al-Kitab Was-Sunnah di Amerika Syarikat dan mempengerusikan pertemuan pelbagai kegiatan serta kebudayaan di universiti lain.
Aidh Abdullah berpegang kepada pendirian untuk menyampaikan dakwah, tidak semestinya muncul di khalayak ceramah agama kerana manusia boleh berdakwah sekalipun di rumah dengan berkarya, turut menulis Khutbah Motivasi Terbaik, Menjadi Umat Yang Berjaya, Menyingkap Rahsia Kejayaan, 391 Hadis Pilihan dan 30 Way To Achieve.