Oleh Nazmi Yaakub
Bentuk asal persembahan tradisional wayang kulit dikekalkan
WAYANG Kulit Kemara Yatim dengan peneraju utama, Che Mohd Nasir Yusoff sebagai tok dalang di Anjung Beringin, Akademi Seni dan Budaya Warisan Kebangsaan (ASWARA), Kuala Lumpur, baru-baru ini, memberi nafas pada persembahan tradisional itu tanpa mengetepikan bentuk asalnya.
Kelancaran dan kemahiran Che Mohd Nasir bermain wayang kulit selain keupayaannya berjenaka lewat watak Wak Yoh dan Said menggeletek penonton di samping watak pengasuh pertama berakal panjang dalam mencari muslihat manakala sikap pengasuh kedua yang lurus bendul, menggamatkan lagi suasana.
Persembahan bertambah hidup apabila pelakon pembantu, Ismail Mamat, Mohd Kamrulbahri Hussin dan Che Saiful Nazmi Che Mohd Nasir, turut berusaha memberi yang terbaik selain gabungan muzik serunai, gedombak, gendang, geduk, tetawak, kesi dan canang yang menguasai pentas Anjung Beringin, memperkuatkan lagi penceritaan.
Kemara Yatim mengangkat kisah tokoh terbabit yang dibesarkan Pendeta Haji sejak kecil di pondok di tepi Gua Malim Sakti, ketika dewasa meminta izin daripada bapa angkatnya itu untuk mencari ibu bapanya dengan janji akan pulang selepas hasratnya berjaya dipenuhi.
Berbekalkan semangat yang tinggi dan menumpang rehat di wakaf sehingga tertidur, Kemara Yatim bermimpi didatangi lelaki tua berjubah putih yang memberi petanda kepadanya untuk meneruskan pengembaraan berkenaan ke arah matahari naik.
Pementasan wayang kulit itu adalah bersempena penilaian praktikal 155 pelajar Tahun Satu Aswara yang diuji kemampuan mereka bermain alat muzik dalam melatari kisah Kemara Yatim.
INFO
Wayang Kulit Kemara Yatim
Tok dalang: Che Mohd Nasir Yusoff
Pembantu: Ismail Mamat, Mohd Kamrulbahri Hussin dan Che Saiful Nazmi Che Mohd Nasir
Pemuzik: Pelajar Tahun Satu Aswara 2008
Tempat: Anjung Beringin, Akademi Seni dan Budaya Warisan Kebangsaan (ASWARA), Kuala Lumpur