Oleh Fadzlena Jafar
Assalamualaikum
SEJAK dua tiga minggu kebelakangan ini, kisah gadis Malaysia yang melarikan diri bagi mengikut jejaka ‘idaman hati’ hangat diperkatakan. Lebih membimbangkan, gadis terbabit masih muda remaja, seawal usia 13 tahun tetapi sudah berani mengambil keputusan untuk meninggalkan keluarga demi mengikut cinta hatinya.
Ada yang kata, mereka dipukau dan ada juga yang mengatakan sebaliknya. Tidak kira apa sebenarnya yang berlaku, tetapi sebagai ibu bapa kita perlu menjadikan kisah berkenaan sebagai iktibar. Ingatlah, cinta adalah sesuatu yang agung sehingga seseorang sanggup membelakangkan keluarga sendiri hanya kerana cinta kepada seseorang yang baru dikenali sebulan dua.
Berdasarkan cerita seperti si tanggang itu, kita lihat ada anak yang sanggup memejam sebelah mata melihat ibu yang melahirkan dan membesarkan mereka dengan penuh kepayahan, menangisi tindakan diambil hanya kerana terlalu mengikut hati.
Kenapa ini berlaku? Di mana silapnya? Adakah remaja hari ini terlalu berdikari atau ‘kurang berakal’ sehingga tidak dapat melihat baik buruk perbuatan mereka, atau sememangnya mereka beranggapan remaja adalah tiket untuk melakukan apa saja?
Hari ini kita lihat ramai anak muda yang melakukan sesuatu tanpa memikirkan kesannya kepada diri mereka dan juga keluarga. Apabila berlaku perkara yang tidak baik dan memalukan keluarga, mereka dengan mudah menuding jari menyalahkan ibu bapa, kerana kononnya tidak menerima didikan sewajarnya.
Hati ibu mana yang tidak luka apabila anak sendiri yang dikendong sejak kecil sanggup melukakan hati mereka. Biarpun mereka tidak menunjukkan kelukaan itu secara terbuka, hati di dalam siapa yang tahu.
Ada kalanya, sedih melihat wajah ibu bapa yang ditemubual mengenai perbuatan anak mereka yang menjadi tajuk akhbar. Wajah tua itu, walaupun kecewa dengan apa yang dilakukan anak mereka, tidak memaparkan kesedihan di hati.
Malah, tetap sanggup menerima anak yang pernah menconteng arang ke muka mereka dengan penuh keikhlasan. Sedikitpun tiada riak benci, sebaliknya yang kita lihat ialah kasih sayang sejati. Mereka sanggup bergolok bergadai bagi membantu anak berkenaan kembali ke pangkal jalan. Kenapa? Jawapannya air dicincang tidak mungkin putus, fikir-fikirkanlah!
Sempena sambutan Hari Ibu yang diraikan pada Mei ini dan Hari Bapa pada Jun depan, kita harap generasi muda hari ini lebih menghargai ibu bapa mereka yang sanggup berkorban harta dan nyawa bagi membesarkan cahaya mata mereka.
Selamat Hari Ibu kepada semua wanita, sama ada anda ibu yang melahirkan, ibu angkat, ibu saudara atau ibu tiri, kita semua adalah ibu!