06 Mei 2008

Memulihara seni pembuatan lepa



PULUHAN perahu pelbagai saiz, ukiran dan hiasan berwarna-warni memeriahkan Regatta Lepa di Semporna, Sabah, baru-baru ini.


LEPA atau perahu dalam bahasa Bajau begitu sinonim dengan etnik yang mendiami kawasan pesisiran pantai di sekitar pulau-pulau berhampiran pekan Semporna, Sabah.

Ini kerana, lepa merupakan kediaman bagi masyarakat Bajau sejak ratusan tahun lalu meskipun ada juga di kalangan mereka yang mendirikan rumah di pulau-pulau berhampiran.

Keunikan etnik Bajau yang menjalani kehidupan seharian mereka sekeluarga di dalam lepa cukup menarik perhatian ramai terutamanya para pelancong asing yang berkunjung ke sana.

Lepa-lepa yang diukir dengan pelbagai jenis ukiran dan warna boleh dikatakan sebagai ‘rumah terapung’ di persisiran pantai Semporna yang majoritinya dihuni oleh masyarakat Bajau pantai timur.

Panorama itu sukar terlepas pandang kerana ia dapat disaksikan oleh para pelancong yang mungkin dalam perjalanan ke pulau-pulau indah sekitar Semporna terutamanya Pulau Sipadan.

Biasanya di dalam sebuah lepa yang panjangnya kira-kira 5 meter, ia didiami sebuah keluarga yang dianggotai lima hingga enam anggota dengan menjadikan sumber-sumber laut sebagai punca pencarian mereka seharian.

Setahun sekali, masyarakat Bajau akan membawa lepa mereka dan berkumpul di Anjung Lepa, di tengah pusat pesisir pantai Semporna untuk berkumpul sambil berpesta.

Mereka bukan sahaja memakai pakaian tradisional yang cantik dan berwarna-warni tetapi turut menghias lepa masing-masing dengan daya kreativiti yang tersendiri.

Setiap lepa yang didiami sesebuah keluarga Bajau menampilkan seni ukiran dan saiz yang berbeza di mana ia sedikit sebanyak dapat menggambarkan tentang status dan latar keluarga tersebut.

Sambil berkumpul di Anjung Lepa, setiap anggota keluarga termasuklah kanak-kanak akan berada di anjung lepa sambil menarikan tarian tradisional Bajau dengan diiringi alunan alat-alat muzik yang dimainkan oleh anggota keluarga masing-masing.

Pesta perkumpulan masyarakat Bajau itu dikatakan sudah lama diadakan di situ sejak puluhan tahun lalu tetapi ia tidak diperluaskan skopnya dalam kalendar pelancongan negara.

Produk pelancongan

Bagaimanapun, sejak 15 tahun lalu keunikan perkumpulan lepa di kalangan masyarakat Bajau di Anjung Lepa telah menarik minat kerajaan terutamanya Kementerian Pelancongan dan Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Malaysia.

Malah, Kerajaan Sabah terus berusaha mempopularkan acara tahunan itu menerusi Pesta Regatta Lepa dengan menyediakan pelbagai aktiviti sepanjang pesta tiga hari berlangsung.

Pesta itu bukan setakat mengeratkan perpaduan di kalangan etnik Bajau, tetapi ia juga mampu dijadikan sebagai suatu produk pelancongan negara yang bertaraf antarabangsa.

Tetapi dalam usaha untuk meneruskan tradisi budaya, kesenian dan legasi Bajau itu, inisiatif yang paling penting ialah bagaimanakah cara untuk mewariskannya kepada generasi akan datang?

Sebagai contohnya, seni pembuatan lepa yang kini dilihat semakin pupus ditelan zaman kerana arus pemodenan dan juga kekurangan tenaga mahir yang dapat meneruskan kelangsungannya.

Ramai di kalangan keluarga Bajau kini lebih senang menggunakan lepa moden yang tidak mencerminkan kehalusan seni ukiran dan pertukangan pada lepa-lepa yang mereka diami.

Menyedari hakikat itu, Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (Kraftangan) Cawangan Sabah telah mengambil inisiatif dengan menubuhkan Bengkel Perahu Lepa di Kampung Kabimbangan Tengah, Pulau Bum Bum, Semporna bagi melatih generasi baru membuat lepa.

Pengarahnya, Yusak Mahamud berkata, pembiayaan bengkel itu yang disalurkan menerusi Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Malaysia telah ditubuhkan pada 20 April tahun lalu.

“Dengan adanya bengkel itu, kami telah melatih generasi muda yang berminat membuat lepa. Segala peralatan, kemudahan dan bahan-bahan untuk menghasilkan sebuah lepa telah disediakan oleh kerajaan.

“Selain itu, kami juga akan melatih anak-anak pembuat lepa, menantu atau pewaris mereka cara-cara membuat lepas supaya seni itu tidak pupus,” katanya ketika ditemui di bengkel tersebut, baru-baru ini.

Bagi menjayakan usaha itu, pihaknya telah menjemput beberapa orang pembuat lepa terkemuka di Pulau Bum Bum seperti Musari Ebba, 64, dan Latun Ibnu, 67 sebagai tenaga pengajar di bengkel tersebut.

Tenaga pengajar itu yang rata-rata sudah lebih 40 tahun terbabit dalam bidang tersebut merupakan antara saki-baki pembuat lepa etnik Bajau yang masih ada selepas ramai di antara mereka meninggal dunia.

Justeru, Kraftangan juga menawarkan elaun, insentif serta galakan kepada para pembuat lepa supaya seni pembuatan itu dapat diperturunkan kepada generasi baru.

Menurut Yusak, pada 1992 terdapat kira-kira 10 orang pembuat lepa yang aktif di Pulau Bum Bum tetapi pada 2006 tinggal tidak sampai tiga yang masih terbabit dalam bidang itu.

“Kami juga memberi elaun RM450 sebulan kepada setiap pelatih di bengkel ini. Setiap projek untuk menghasilkan sebuah lepa akan mengambil masa 5 bulan,” ujarnya.

Sejak projek itu dijalankan, sebanyak tiga buah lepa telah pun berjaya disiapkan oleh lima orang pelatih yang mengikuti latihan pembuatan lepa di bengkel itu.

Difahamkan sebuah lepa yang panjangnya 5 meter boleh disiapkan dalam masa tiga bulan dengan kos pembikinannya menelan belanja sehingga RM7,000.

Kemahiran

Tenaga pengajar terbabit akan memperturunkan kemahiran mereka membuat lepa termasuklah seni ukiran kepada para pelatih dengan menggunakan kayu-kayu terpilih termasuklah selangan batu dan seraya merah.

Apa yang menariknya tambah Yusak, setiap perahu yang berjaya disiapkan dalam projek itu akan diberikan kepada tenaga pengajar supaya ia dapat digunakan serta diwarisi kepada generasi mereka yang seterusnya.

Projek yang menelan belanja berjumlah lebih RM100,000 itu juga difahamkan akan diperluaskan lagi pada masa depan dengan menyediakan tempahan untuk tujuan-tujuan komersial.

Antaranya dengan merancang untuk menerima tempahan bagi membina bot rumah (house boat) yang akan digunakan oleh para pelancong yang ingin merasai pengalaman mendiami lepa seperti etnik Bajau.

Difahamkan sebuah house boat yang lengkap dengan kemudahan asas seperti bilik tidur, tandas dan dapur dijual pada harga RM50,000.

Menerusi pakej pelancongan yang disediakan itu, para pelancong kelak berpeluang mendiami house boat sambil bersiar-siar di kawasan pulau dan pesisiran pantai Semporna.

Masyarakat Bajau yang kebanyakannya beragama Islam tidak keberatan dengan usul itu, sebaliknya mereka menyambutnya dengan baik kerana ia sedikit sebanyak dapat memberi pulangan daripada segi ekonomi.

Kehadiran ramai pelancong juga menyebabkan banyak hasil pencarian etnik Bajau seperti mutiara dapat dipasarkan kepada para pengunjung di daerah mereka itu.