JOHOR BAHRU 2 Mei - Kebudayaan, pendidikan dan bahasa di negara ini hendaklah mencerminkan citra Melayu merentasi semua kaum dalam pembentukan bangsa Malaysia.
Ahli Jawatankuasa Kerja Gabungan Penulis Nasional (Gapena), Prof. Datuk Dr. Zainal Kling berkata, kaum bukan Melayu hendaklah mengadaptasi budaya Melayu jika mereka bersungguh-sungguh mahu membentuk satu budaya tunggal iaitu Bangsa Malaysia.
Misalannya, apabila warganegara tempatan bukan Melayu hendak membawa nama Malaysia ke luar negara, maka individu berkenaan perlu memperlihatkan budaya Melayu sebagai budaya Malaysia.
"Jangan sesekali ratu cantik Malaysia ke luar negara memakai baju Cina atau sari India," katanya.
Beliau berkata demikian semasa membentangkan kertas kerja bertajuk 'Kedaulatan Kebudayaan, Pendidikan, Bahasa dan Agama Bangsa Melayu' pada Kongres Permuafakatan Melayu di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada di sini malam ini.
Kongres dua hari itu dihadiri lebih 1,000 peserta yang mewakili 200 badan bukan kerajaan (NGO) Melayu di seluruh negara.
Zainal berkata, konsep yang sama perlu diperluaskan ke dalam aspek lain seperti bahasa dan pendidikan.
"Jangan kita seronok atau teruja melihat anak bukan Melayu fasih berbahasa Melayu, ini kerana sebagai warganegara Malaysia, mereka memang sepatutnya fasih bertutur bahasa kebangsaan ini," jelasnya.
Dalam isu agama pula, beliau berkata, perlu ada rasa hormat masyarakat bukan Islam kepada agama Islam yang menjadi agama rasmi negara ini.
"Jangan bina rumah ibadat terbesar milik agama lain di kampung Melayu," katanya sambil memberitahu bahawa tindakan itu lebih bersifat provokasi dan tidak sensitif.