ISU penjagaan warga tua terutama mereka yang disisihkan keluarga sendiri kerap dibincangkan, namun bilangan mereka yang menghuni di rumah kebajikan kian meningkat dari setahun ke setahun.
Warga tua, yang suatu ketika dulu adalah rakyat produktif serta ibu bapa yang membesarkan anak yang kini mungkin anggota masyarakat berpengaruh, terpaksa mengharapkan ehsan kerajaan untuk meneruskan kehidupan.
Sebahagian besarnya berpenyakit dan memerlukan rawatan berterusan, lelaki dan wanita tua yang tinggal di rumah kebajikan kelolaan kerajaan dan swasta, sewajarnya diberi tempat yang tinggi dan dihormati dalam masyarakat yang bertamadun.
Bagaimanapun, hakikatnya, tidak semua warga tua menikmati waktu senja usia mereka dikelilingi anak cucu dalam persekitaran yang bahagia dan prihatin.
Sejak memulakan siaran pada 6 Ogos 2007, rancangan Keluarga Di 9 beberapa kali membincangkan isu penjagaan warga tua termasuk kisah ‘Kasihnya Ibu’ pada 11 Oktober 2007 mengenai wanita muda bernama ‘Hajar’ yang dihukum penjara di Penjara Wanita Kajang, Selangor.
Sepanjang dua tahun Hajar dipenjara, ibunya yang berusia hampir 60 tahun terpaksa menjaga dua anak kecil Hajar. Walaupun terpaksa menanggung stigma sosial disebabkan anak perempuannya dipenjara, ibu tunggal itu mengorbankan usia tua yang sepatutnya dihabiskan dengan beribadat dan berehat, terpaksa membesarkan dua cucunya.
Begitu juga dengan kasih seorang ibu, Zaharah Selamat, 51, dari Batu Pahat, yang kehilangan anak lelakinya, Mohd Shahril Abdul Satar, yang dipercayai dibunuh kejam pada Jun 2006.
Bagi Zaharah, selepas dua tahun peristiwa itu berlalu, dia tetap merasakan kehadiran Mohd Shahrul di dalam hatinya. Sebagai orang yang melahirkan anak lelaki kembar itu, wajah Shahrul tentu sekali jelas tergambar menerusi kembarnya, Mohd Shahrul.
Zaharah terus menyimpan kesedihan kerana kehilangan anak secara tiba-tiba itu dan sentiasa berdoa agar pembunuh anaknya dibawa ke muka pengadilan.
Pengorbanan ibu seperti ini lazimnya hanya dikenang pada hari tertentu. Kita bersalaman dan memohon keampunan ibu bapa pada perayaan Aidilfitri dan jasa ibu hanya dihargai sehari dalam setahun - pada Hari Ibu.
Hari Ibu disambut pada 10 Mei setiap tahun dan pada hari berkenaan anak mengambil kesempatan meluahkan kasih sayang dan penghargaan mereka terhadap ibu. Sekeping kad atau sekuntum mawar bukanlah ukuran kepada jasa setiap ibu di dunia ini, namun itulah yang paling mudah bagi kita melahirkan perasaan.
Mengapa sehari saja? Mengapa tidak setiap hari kita ucapkan terima kasih kepada ibu tersayang. Barangkali perasaan tidak begitu mudah dilafazkan dalam kesibukan dan gaya hidup pantas masa kini.
Sehubungan itu, Keluarga Di 9 meneruskan misinya memaparkan keakraban semangat kekeluargaan dalam masyarakat Malaysia dengan mengadakan kempen Ratu Hati - Kasih Ibu Sepanjang Hayat selama sebulan sepanjang Mei ini.
Dalam tempoh itu, rakyat Malaysia diberi peluang menobatkan ibu masing-masing sebagai Ratu Hati dengan menceritakan keistimewaan serta pengorbanan wanita yang melahirkan mereka. Setiap hari Isnin hingga Khamis, penonton boleh menghubungi talian bebas tol 1-800-88-1677 untuk berkongsi kisah dalam tempoh satu minit.
Tiga pasangan ibu dan anak akan dipilih sebagai finalis yang akan diraikan pada satu majlis istimewa Ratu Hati pada 29 Mei ini yang akan disiarkan secara langsung menerusi slot Keluarga Di 9.
Untuk menghargai keistimewaan Ratu Hati, Keluarga Di 9 bekerjasama dengan Rafflesia Pearl Centre yang menaja hadiah berbentuk kalung mutiara berjumlah RM145,000.
Penerbit Eksekutif Keluarga Di 9, Wan Sabariah Shikh Ali, berkata lapan pasangan ibu dan anak yang berkongsi kisah istimewa akan dipilih daripada penyertaan setiap hari sepanjang dua minggu bermula dari 1 hingga 15 Mei.
“Daripada lapan slot Keluarga Di 9 itu, kami akan memilih kisah paling menyentuh hati dan memaparkan keistimewaan perhubungan ibu dan anak sebagai tiga peserta akhir.
“Perkongsian kisah ini bukan saja untuk mencari Ratu Hati tetapi untuk mengiktiraf sumbangan seorang wanita bernama ibu yang rasanya tidak cukup untuk kita lakukan apa pun bagi membalas jasanya.
“Memang jasa ibu tidak ternilai namun dengan menghadiahkan seutas kalung mutiara bernilai RM20,000, kita mungkin dapat memberikan sedikit kegembiraan untuknya sepanjang Mei ini,” katanya.
Pemenang pertama Ratu Hati - Kasih Ibu Sepanjang Hayat akan menerima set kalung dan anting-anting mutiara berharga RM20,000. Set yang sama juga akan diterima oleh anak yang berkongsi kisah ibunya.
Pemenang kedua akan menerima set mutiara untuk ibu dan anak masing-masing bernilai RM15,000 manakala pemenang ketiga set mutiara untuk ibu dan anak masing-masing bernilai RM10,000.
Pemenang harian pula akan menerima seutas kalung mutiara bernilai RM5,000.
Wan Sabariah berkata, penonton juga berpeluang memenangi rantai mutiara bernilai RM5,000 dengan mengundi tiga peserta akhir untuk mencari Ratu Hati mulai 15 hingga 27 Mei 2008. Undian boleh dibuat menerusi sistem pesanan ringkas (SMS) dengan menaip Undi <> RH1/RH2/RH3 dan hantarkan ke 33399. Setiap undian dikenakan caj 50 sen tidak termasuk caj pengendali perkhidmatan.
Keluarga Di 9 adalah rancangan bual bicara yang memaparkan isu kekeluargaan dan kemasyarakatan meliputi empat slot iaitu Siapa Kata (Isnin), Jiwa Raga (Selasa), Dua Generasi (Rabu) dan Kongsi Rasa Kongsi Rahsia (Khamis), disiarkan secara langsung setiap jam 1 hingga 2 petang.