05 Mei 2008

Kuala Lumpur kota raya banjir kilat



SETIAP kali hujan lebat, sebahagian penduduk Kuala Lumpur akan berasa bimbang, banjir kilat akan berlaku, seakan-akan ia sudah menjadi lumrah di pusat bandar raya yang selama ini gah dengan kepesatan pembangunan serta kecanggihan teknologinya.

Hujannya tidak seberapa, mungkin cuma sejam dua, tetapi limpahan airnya seperti hujan tanpa henti berhari-hari di negeri lain. Kereta tersangkut di sana sini, penghuni kediaman pula kelam-kabut menyelamatkan harta benda yang mula ditenggelami air.

Lebih buruk lagi, selepas bencana banjir mula reda, penduduk berdepan pula dengan sisa lumpur yang menjadi sagu hati ketika banjir melanda. Sesuailah dengan nama ibu negara, ‘Kuala yang berlumpur’.


Bandar raya ini sering dikaitkan dengan masalah banjir termasuk banjir kilat dan keadaan itu berterusan sejak dulu. Saban hari penduduk menjadi trauma setiap kali hujan kerana masalah itu tidak pernah selesai walaupun pelbagai pendekatan dilakukan termasuk melaksanakan projek tebatan banjir membabitkan perbelanjaan berbilion ringgit.

Setiap kali isu banjir kilat dibangkitkan, tuding menuding akan berlaku tanpa mampu menyelesaikan masalah dengan lebih cepat dan berkesan. Namun jika diteliti pandangan Penyelidik Pusat Perubahan Cuaca Universiti Malaya, Prof Khairulmaini Osman Salleh, gabungan perubahan iklim dan sikap tidak bertanggungjawab manusia menjadi adunan paling sesuai untuk menggambarkan faktor sebenar mencetuskan fenomena alam itu.

Persepsi awal terhadap banjir kilat sering merujuk kepada kegagalan sistem perparitan menampung limpahan air hujan pada kadar yang tinggi berikutan kelancaran sistem itu terganggu disebabkan sikap tidak bertanggungjawab masyarakat membuang sampah ke dalam parit dan longkang.

Keadaan itu terbukti apabila setiap hari pekerja kontraktor dilantik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengeluarkan 20 tan sampah pelbagai jenis daripada perangkap sampah sungai sekitar ibu kota.

DBKL membelanjakan sebanyak RM5 juta setahun untuk memastikan kebersihan sungai termasuk membina perangkap sampah serta kerja pembersihan.

Elemen seperti itu bukan saja menggambarkan sikap pengotor penghuni kota, bahkan sikap mengambil mudah terhadap isu penjagaan alam sekitar walhal setiap kali berlaku banjir, mereka akan terus bangun memberontak menyalahkan pihak lain kononnya pihak berkuasa gagal melaksanakan tanggungjawab.

Tetapi sedarkah mereka sampah yang dibuang ke dalam parit dan longkang menyebabkan sistem perparitan gagal berfungsi dengan sempurna sekali gus melambatkan proses aliran air ke sungai.

Memburukkan lagi keadaan apabila Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda) mendakwa langkah pihak berkuasa tempatan (PBT) memasang penutup longkang bersimen sehingga menyukarkan kerja pembersihan sistem saliran sebagai punca utama banjir kilat.

Mungkin pemasangan penutup longkang bersimen menjadi jawapan kepada kes kecurian penutup longkang jeriji besi tetapi dakwaan Rehda itu wajar diberi perhatian serius supaya isu banjir kilat dapat ditangani dengan lebih berkesan.

Pada masa sama Jabatan Pengairan dan Saliran menyatakan kegagalan syarikat pemaju mematuhi Manual Saliran Mesra Alam (MSMA) menyebabkan usaha menangani masalah banjir tidak mencapai sasaran.

Bagaimana MSMA yang menjadi garis panduan dan diwajibkan kepada semua pemaju sebelum kelulusan projek diberikan, tidak dipatuhi?

Langkah JPS untuk mengkaji semula mekanisme sistem amaran penutupan terowong Projek Pengurusan Air Banjir dan Terowong Jalan Raya (Smart) bagi membolehkan pengguna laluan berkenaan mendapat maklumat tepat dalam tempoh singkat adalah wajar bagi mengelak pengguna terperangkap dalam kesesakan jalan raya disebabkan penutupan terowong berkenaan.

Keberkesanan penyampaian maklumat amaran awal banjir kilat turut diberi perhatian JPS apabila agensi itu mula membangunkan sistem ramalan dan amaran banjir di lembangan Sungai Klang. Projek itu dijangka siap pertengahan tahun depan.

Sekiranya pandangan daripada Kajian dan Penyediaan Pelan Induk Saliran dan Pengurusan Air Larian hujan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur diambil kira, banjir kilat di ibu kota hanya akan dapat diatasi sepenuhnya dalam Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11), itupun jika setiap cadangan dan pandangan daripada kajian berkenaan diikuti sepenuhnya.

Persoalannya adakah kerajaan bersedia membelanjakan RM2.5 bilion iaitu kos keseluruhan projek yang dicadangkan perunding berkenaan sedangkan sebelum ini sudah banyak wang dibelanjakan untuk projek tebatan banjir bukan saja di Kuala Lumpur, malah di seluruh negara termasuk RM1.9 bilion untuk projek Smart.

Malah dalam RMK-9, kerajaan memperuntukkan kira-kira RM4.5 bilion bagi projek tebatan banjir dalam usaha mengurangkan risiko banjir di kawasan yang meliputi 29,720 kilometer persegi atau sembilan peratus daripada keluasan negara.

Sudah tiba masanya mekanisme lebih tepat disediakan supaya wang yang dibelanjakan dilihat lebih berbaloi dan masyarakat tidak lagi menanggung risiko kehilangan harta benda dan mungkin nyawa disebabkan bencana itu.