![]() |
Rantai tangan dan cincin kristal yang semakin menjadi pilihan wanita. |
MELIHAT aksesori kristal sememangnya satu aktiviti yang menyeronokkan semua wanita. Berjam-jam membelek pun tidak akan terasa masa berlalu. Semakin ditatap, semakin seronok dan kalau boleh ingin memiliki semuanya.
Sememangnya kilauan dan warna kristal yang pelbagai mampu membuat wanita terpegun, apatah lagi ia mudah dipadankan dengan warna pakaian.
Minat kepada kristal juga yang telah membuatkan Aida Mohd. Noor, memilih untuk berniaga aksesori kristal secara sepenuh masa sejak tiga tahun lalu.
“Begitupun, saya sudah mula menjual aksesori ini secara sambilan terutama di kalangan kawan di tempat kerja sejak 20 tahun lalu.
“Mula-mula jual dulu, memang seronok kerana waktu itu aksesori kristal masih baru di pasaran dan masing-masing ghairah untuk memilikinya,” kata ibu kepada seorang anak perempuan ini.
Melihat perniagaan aksesori kristalnya boleh dimajukan jika diberi tumpuan lebih serius, Aida mengambil keputusan berhenti kerja.
Dengan modal sebanyak RM80,000, beliau membuka kios di sebuah pasar besar di Shah Alam, Selangor, yang menjual pelbagai jenis aksesori kristal dan batu permata separa berharga (semi -precious stone).
Perniagaan beliau yang dinamakan D’Little Asia Collections ini mendapat sambutan kerana rekaan aksesorinya yang unik dan eksklusif.
“Semua koleksi D’Little saya reka dan buat sendiri. Biasanya saya mendapat ilham daripada pemerhatian saya kepada alam sekeliling, buku atau majalah dan ada juga daripada Internet,’’ kata Aida yang tidak pernah mengikuti sebarang kursus membuat aksesori.
Koleksi D’Little banyak menggunakan kristal swarovski berkualiti tinggi daripada Austria. Manakala, batu-batu permata diperoleh dari Bangkok dan beliau sendiri akan ke sana dua kali setahun bagi membelinya.
Di antara batu-batu permata yang popular ialah black onix, rose quartz, blood stone, adventurine, topaz, delima dan peridot.
Aida berkata, kelebihan batu-batu permata dan kristal ialah ia mempunyai aura tersendiri dan pemakainya boleh memilih batu yang sesuai dengan tarikh kelahiran mereka.
Selain itu, sesetengah jenis batu permata mengandungi mineral dan dipercayai mempunyai kuasa misteri dan penyembuhan dalam kepercayaan kuno serta moden.
“Batu permata telah lama digunakan sebagai bahan perhiasan dan dipercayai mempunyai ciri-ciri metafizikal.
“Bagi sesetengah bangsa, mereka percaya batu permata boleh melindungi seseorang daripada tenaga-tenaga negatif, malapetaka dan sebarang ancaman kecederaan dalaman juga luaran.
“Ia juga dipercayai boleh membawa nasib baik atau keuntungan daripada segi kerjaya dan perniagaan,’’ ujar Aida yang turut mempelajari mengenai keistimewaan batu-batu permata yang dijualnya.
Mengenai rekaan terkini aksesori yang menjadi pilihan pembeli, kata Aida, rekaan yang menggunakan batu permata yang besar dan elegan menjadi pilihan pelanggannya yang terdiri daripada wanita berkerjaya.
Kepada anda yang berminat, boleh menghubungi Aida di talian 03-55122509.