Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

14 Mei 2008

‘Pengkid’ kini lebih berani



KEGIATAN malam golongan pengkid atau tomboy di salah sebuah pusat hiburan di ibu kota yang dikatakan menjadi pusat pertemuan golongan ini. Gambar ABY BAIZURA HARUN


APA juga gelaran yang diberikan kepada gadis ini sama ada tomboy, ‘pengkid,’ lesbian atau yang sama erti dengannya membawa makna yang sama kepada masyarakat, di mana golongan ini cuba menonjolkan identiti gender berlawanan daripada norma-norma biologi, moral dan sosial yang mereka miliki.

Bukan tidak pernah diperdebatkan, malah sudah banyak kaji selidik dan pembentangan kertas kerja di meja-meja seminar termasuk oleh para ilmuwan, namun isu yang boleh dianggap sebagai kecelaruan gender ini bagai tidak ada kesudahan dan penghujungnya.

Mengulas mengenainya, Pengetua Pusat Kebahagiaan Remaja dan Wanita (KEWAJA), Yahya Mohd. Yusof, berkata jika dahulu golongan ini agak tersorok dan berada dalam kelompok sendiri, hari ini kegiatan mereka lebih terancang dan berani.

Beliau yang lebih menyifatkan gejala ini sebagai bencana sosial menegaskan, ia wajar dibendung sejak awal bagi memastikan tidak terus menjadi kudis dalam masyarakat.

‘‘Ia merupakan tanda-tanda turunnya ‘dajal’ yang kita sebagai manusia biasa tidak dapat melihatnya, sebaliknya hanya para alim ulama yang mengetahuinya,’’ ujarnya ketika ditemui di pusat tersebut di Taman Seri Gombak, Batu Caves, Selangor, baru-baru ini.

Daripada pemerhatian selain kes yang dirujuk kepadanya, Yahya mengakui kecenderungan golongan tersebut memilih cara hidup bertentangan dengan fitrah kejadian mereka dipengaruhi beberapa faktor.

Antaranya, faktor semula jadi apabila dari usia kanak-kanak lagi sudah nampak kecenderungan mereka lebih berminat kepada perempuan, selain suasana negatif ketika mereka dibesarkan seperti melihat lelaki yang disifatkan sebagai ganas seperti bapa yang tidak bertanggungjawab, kaki pukul dan sebagainya.

Menurut Yahya lagi, kelompok ‘pengkid’ ini boleh dibahagikan kepada dua, sama ada mereka tergolong sebagai pemangsa atau mangsa.

‘‘Mangsa biasanya terperangkap dengan pujuk rayu ‘pengkid’ asli yang pastinya mendatangi mereka dengan cara merayu, mengoda dan mencabul.

“Kebanyakan mangsa pada awalnya tidak suka, tidak mahu, tetapi mula menerima dan menyukai cara pemangsa.

‘‘Apabila ini berlaku, secara tidak langsung mereka berjaya membentuk piramid yang membolehkan mereka membina rangkaian lebih luas,’’ ujarnya.

Beliau berkata, daya tarikan dengan insan sejenis, secara realitinya ia tampak aneh, namun fenomena anak gadis terlibat dalam cinta songsang berpunca kepada keinginan dan kehendak diri iaitu perhubungan cinta dan seksual wanita bersama wanita lain.

‘‘Golongan ini berpendapat hanya wanita mengetahui keinginan wanita lain dan menjanjikan kepuasan yang lebih.

“Dari segi kepastian seksual (sexual security) pula, wanita ‘pengkid’ atau lesbian berasa lebih selesa kerana tidak terdedah kepada risiko mengandung.

‘‘Lazimnya, ahli sub-budaya ini cepat bertukar pasangan dan ada di kalangan mereka mempunyai ramai pasangan dalam satu masa yang sama. Ini bererti, apa yang dicari hanya kepuasan nafsu bukan hubungan sah,’’ ujarnya.

Dalam mengendalikan kes berkaitan, Yahya tidak menolak faktor kurang kasih sayang juga antara penyumbang kepada gejala ini.

Apa yang dilihat hari ini, ramai ibu bapa hanya menjalankan tanggungjawab tetapi dalam jiwa mereka sebenarnya tidak melekat kasih sayang, kebahagiaan dan kemesraan.

Tidak hairan katanya, apabila dilihat kepada peratusan individu yang terlibat dalam gejala sosial ini, golongan berpendidikan tinggi dan mempunyai asas agama mencatatkan jumlah agak tinggi.

‘‘Sama ada terperangkap dengan hubungan terlarang dengan lelaki atau cinta songsang sesama jenis, golongan ini sebenarnya tidak mempunyai kemahiran sosial dan gagal mengawal emosi,’’ ujarnya.

Menurut Yahya, sama seperti pelatih lain yang terlibat dalam kes hamil luar nikah, mangsa dera dan sebagainya, pelatih di KEWAJA dikehendaki mengikuti proses pemulihan kerohanian dan akidah terlebih dahulu.

Bagaimanapun, lambat atau cepat ‘pengkid’ ini pulih, bergantung kepada tahap mana mereka kini berada.

Bagi pemangsa iaitu ‘pengkid’ jenis tegar, mereka agak sukar dipulihkan dalam waktu singkat, berbanding mangsa.

Ditanya mengenai jumlah golongan ini yang pernah mendapat pemulihan di KEWAJA katanya, sejak dibuka pada tahun 1988, terdapat kira-kira 200 dikategorikan sebagai ‘pengkid’ dan mangsa ‘pengkid,’ yang datang ke pusat tersebut sama ada atas kerelaan sendiri atau dihantar ibu bapa.

Berkongsi pengalaman katanya, pernah juga pusatnya menerima seorang ‘pengkid’ yang rela hati untuk dipulihkan. Namun, rupa-rupanya ada udang di sebalik batu, kerana kedatangan ‘pengkid’ ini sebenarnya hanya untuk mencari mangsa.

Secara peribadi juga, beliau berpandangan sudah tiba masanya semua pihak melihat senario sosial ini sebagai sesuatu yang serius dan bersatu memainkan peranan dan tanggungjawab bersama tanpa perlu menuding jari kepada sesiapa.

Beliau turut mencadangkan agar kerajaan melalui Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat mengambil satu pendekatan termasuk mengadakan satu kempen ‘Selamatkan Wanita dan Remaja’ sebagai usaha menangani permasalahan ini dari terus merebak.