Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

03 Mei 2008

'Melayu bangsaku mengapa jadi begini?'

Bersama Salbiah Ani
dahiya@nstp.com.my

TULISAN penulis, Mimpi ngeri Melayu Malaysia dalam ruang pojok Naqdu minggu lalu menerima pelbagai reaksi yang wajar dikongsi bersama-sama pembaca minggu ini kerana ada baiknya ia direnung dan dijadikan bahan bermuhasabah diri serta diberi perhatian pihak berkenaan.

Seorang pemanggil dari negeri beradat tidak bersetuju kemelut remaja Melayu Malaysia hari ini diletakkan sepenuhnya ke atas bahu ibu bapa kerana mereka terpaksa bekerja demi memerdekakan keluarga daripada kemiskinan.

Alasan pemanggil ini, ramai remaja Melayu Malaysia hari ini jarang mendengar nasihat ibu bapa dan suka mencuba apa juga yang tidak berfaedah mahupun mendatangkan bala pada hari kemudian tanpa memikirkan akibat kepada diri apalagi keluarga.

Memandangkan semua orang tahu bahawa forum agama hanya dihadiri kalangan berusia kerana remaja Melayu lebih suka berbondong-bondong ke majlis hiburan apalagi jika percuma, maka strategi menarik kelompok terbabit sebagai sasaran perlu diubah.

Justeru sokongan daripada semua institusi yang membentuk sistem pentadbiran kerajaan perlu sama menyumbang dalam mengharmonikan semula bangsa Melayu apalagi negara kerana mereka diberi habuan dalam bentuk gaji yang sebahagiannya adalah daripada cukai pendapatan rakyat.

“Kerajaan sudah menjalankan kewajipan dengan melantik kakitangan bagi melaksanakan tugas masing-masing, tetapi sebahagian besar daripada kelompok berkenaan tidak menjalankan amanah yang diserahkan,” jelas pemanggil ini.

Guru pula dilihat gagal membentuk pelajar berperibadi mulia, berperibudi dan berihsan kerana terlalu banyak subjek dan teks yang perlu dihidangkan kepada pelajar demi membolehkan mereka bersedia menduduki peperiksaan.

Jabatan agama, polis dan kehakiman pula, perlu turun padang dengan menghantar kakitangan mereka ke sekolah untuk berinteraksi dengan pelajar bagi membuka hati dan akal budi mereka agar dapat melihat kepentingan taat kepada agama, mematuhi peraturan dan undang-undang negara.

“Saya perhatikan ada kesungguhan daripada Kementerian Belia dan Sukan membantu pelajar mahupun remaja ke arah ini. Bagaimanapun jabatan lain tidak menonjol ke arah untuk saling membantu serta melengkapi bagi membendung mereka daripada terjebak ke dalam pelbagai gejala,” katanya.

Penulis turut ‘dikejutkan’ pemanggil ini dengan kenyataan bahawa Malaysia mempunyai ramai orang berkelulusan tinggi, tetapi tidak berilmu kerana apabila berkedudukan, tidak memanfaatkan pengetahuan untuk membantu bangsanya yang memerlukan.

“Perhatikan berapa ramai pegawai tinggi Melayu di jabatan kerajaan mahupun swasta yang sanggup berkorban jiwa raga demi membantu apalagi membangunkan bangsanya, sedangkan sikap ini sudah membudaya dalam kehidupan bangsa lain dalam apa juga bidang,” tegasnya.

Oleh yang demikian, usaha bersepadu daripada peringkat sekolah lagi dengan kerjasama jabatan yang disebutkan, dilihat menjadi antara kunci penting bagi membantu kerajaan memulihkan bangsa Melayu ke haluan baru lebih bermakna.

Soal jawab penulis dengan pemanggil ini merebak kepada pencapaian pelajar Melayu di universiti yang dilihat tidaklah membanggakan, meskipun bilangan institut pengajian tinggi seperti cendawan lepas hujan hingga hampir setiap negeri ada universiti dan terkini cadangan universiti sains angkasa.

Pelajar Melayu sibuk berpersatuan sana sini, tetapi bilangan lulus cemerlang kecil selain ramai sukar mendapat pekerjaan meskipun sudah bergelar graduan kerana tidak terampil di samping terlalu bergantung kepada perkhidmatan awam manakala swasta dikuasai bukan Melayu.

Penulis turut menerima e-mel daripada Wan Abu Bakar Wan Abas yang melihat Melayu Malaysia sedang tenat dan parah khususnya dalam hal bahasa dan budaya kerana mengutamakan keseronokan serta hiburan bertaraf rendah selain terlalu mengejar kekayaan dunia.

Justeru nama Melayu disaran ditukar kepada ‘melaju’ bagi memberi kesan positif seperti pernah dicadangkan doktor perubatan, Rahmat Haroun Hashim dalam novelnya kerana rupa-rupanya ada yang secara nakal membaca Melayu sebagai ‘me-layu’ dan terjadilah perkara tidak diingini.