Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

03 Mei 2008

Pelbagai program martabatkan bahasa Melayu

BATU PAHAT: Usaha untuk memartabatkan bahasa Melayu akan lebih mantap jika lebih banyak program dilaksanakan, selain pengajaran di dalam bilik darjah.

Antara program yang mampu membantu ke arah itu ialah pertandingan berpantun, perbahasan dan forum kalangan pelajar sekolah atau institusi pengajian tinggi.

Ketua Sektor Pembangunan Kemanusiaan, Jabatan Pelajaran Negeri Johor (JPNJ), Markom Giran, berkata generasi muda khususnya pelajar sekolah menengah bertanggungjawab meneruskan kesinambungan perjuangan untuk memartabatkan bahasa Melayu.

Sehubungan itu, katanya, lebih banyak program khusus berkaitan bahasa Melayu perlu diadakan di kalangan pelajar supaya mereka lebih bersemangat untuk meneruskan usaha yang sedang dilaksanakan ketika ini.

"Usaha kita memartabatkan bahasa Melayu perlu ada kesinambungan yang tentunya menjadi

tanggungjawab generasi muda untuk melaksanakannya pada masa depan.

"Kita tidak boleh hanya mengharapkan pembelajaran dalam bilik darjah saja tetapi program untuk meningkatkan pemahaman serta mendidik pelajar supaya cintakan bahasa Melayu perlu dijalankan di luar kelas menerusi program-program khas," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Penutupan Karnival Bahasa Melayu Sekolah-Sekolah Menengah Negeri Johor 2008, di Sekolah Menengah (SM) Teknik Batu Pahat, di sini, semalam.

Beberapa aktiviti diadakan pada program tiga hari itu antaranya pertandingan pidato yang diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato Bentara Luar, pertandingan berpantun di SMK Jalan Kolam Air, pertandingan bahas di SMK (Perempuan) Temenggong Ibrahim dan forum remaja di SM Teknik Batu Pahat.

Pertandingan berpantun dimenangi wakil daerah Muar, kedua dimenangi Kota Tinggi dan ketiga dimenangi wakil daerah Segamat.

Bagi pertandingan pidato pula, wakil daerah Kluang muncul johan, diikuti daerah Mersing di tempat kedua dan ketiga wakil daerah Muar.

Pertandingan bahas pula dimenangi daerah Kota Tinggi, kedua Pasir Gudang dan ketiga dikongsi bersama daerah Segamat serta Muar manakala forum remaja pula dimenangi daerah Muar, kedua Segamat dan ketiga dimenangi daerah Kluang.

Semua pemenang bagi setiap acara itu akan mewakili Johor pada pertandingan peringkat kebangsaan yang akan diadakan tidak lama lagi.