SAYA tertarik dengan satu artikel mengenai remaja perempuan menghisap rokok di tempat awam dalam ruangan ini, baru-baru ini. Bagi saya keadaan ini bukan saja melanda remaja perempuan tetapi kalangan remaja lelaki dan ia meliputi banyak lagi perkara yang harus diambil perhatian agar keruntuhan moral akhlak anak remaja Melayu dapat dibendung.
Dalam era menuju kemajuan, saya dapati remaja Melayu masih jauh ketinggalan jika dibandingkan dengan bangsa lain dalam bidang apa sekalipun. Sikap, tanggapan dan daya juang mereka tidak berubah. Entah di mana silapnya, cuba kita sama sama renungkan. Mereka tidak ada wawasan, tidak mahu berusaha dan masih berpegang pada pepatah lama 'rezeki secupak tidak akan menjadi segantang', tidak mahu berusaha. Mereka lebih suka buat kerja yang tidak berfaedah, melepak atau berpeleseran tak tentu hala. Lihat saja pada pada keruntuhan moral, mat rempit, dadah, ragut dan rogol rata rata membabitkan remaja Melayu. Jarang kita dengar masalah ini dilakukan remaja bangsa lain.
Sebagai ketua jabatan, saya sering mengingatkan anak buah saya supaya berusaha memajukan diri, bekerja bersungguh-sungguh untuk menghadapi masa depan lebih mencabar. Harus melihat masa depan yang lebih payah jika mereka tidak berusaha pada usia muda mereka. Prasarana untuk hidup selesa memerlukan belanja besar dan bagi menjamin kehidupan yang selesa mereka perlu meningkatkan prestasi kerja, kekuatan minda dan merebut segala peluang ada.
Kerajaan juga harus melihat gejala ini sesuatu yang serius, harus mencari jalan bagi membendung gejala seperti ini berterusan. Kita sering disogokkan dengan khabar negatif membabitkan remaja perempuan Melayu menghisap rokok di khalayak ramai tanpa segan dan silu, pakaian mereka menjolok mata, berpeleseran tanpa tujuan. Itu tidak termasuk yang meminum minuman keras di pub dan disko yang tak semua orang melihatnya.
BACHIK HUSSIN,
Johor Bahru, Johor.