03 Mei 2008

Syor bina rumah adat pusaka Melayu di semua daerah

Oleh Mohamad Yatim Latip

MELAKA: Persatuan Ketua-Ketua Kampung/Sidang Negeri Melaka (PKKKSNM) meminta kerajaan negeri membina sebuah rumah adat pusaka Melayu di setiap daerah bagi memantapkan dan memartabatkan semula institusi ketua kampung di negeri ini.

Setiausaha PKKK(S)NM, Mo'min Seman berkata, pembinaan rumah adat itu dijangka mengekalkan adat istiadat dan warisan Melayu di Melaka selaras hasrat kerajaan negeri mengekalkan imej Melaka sebagai negeri bersejarah.

"Menjadi harapan persatuan agar hasrat mewujudkan rumah untuk memastikan kesinambungan amalan adat tradisi Melayu dapat dipertahankan. Jika tidak dapat dibina di setiap daerah, maka memadai jika dibina sebuah rumah adat di negeri Melaka,'' katanya.

Beliau berkata fungsi sidang amat diperlukan ketika penduduk kampung berurusan dengan syarak seperti proses meminang, kenduri kendara, kematian dan sambutan kelahiran bayi selain sebagai perantara dengan pejabat tanah daerah.

Katanya, kewujudan rumah adat akan berperanan sebagai institusi khusus yang mempraktikkan adat istiadat Melayu sekali gus mendidik masyarakat Melaka betapa utuh sejarah kesultanan Melayu Melaka yang ditegakkan menerusi sokongan ketua kampung ketika itu.

"Seperti kata pepatah tak lapok dek hujan dan tak lekang dek panas, begitulah matlamat persatuan supaya kita dapat mengekalkan adat lama yang mempunyai kaitan dengan institusi ketua kampung agar ia tidak hilang ditelan zaman," katanya selepas Mesyuarat Agung PKKKSNM kali ke-43 di Muara Duyong, Permatang Pasir dekat sini, baru-baru ini.

Seramai 117 sidang seluruh Melaka hadir ke mesyuarat yang menyaksikan Sidang Ismail Osman dan Sidang Shaari Abu masing-masing terpilih menyandang jawatan Yang Dipertua dan Timbalan PKKKSNM bagi penggal 2008-2010.

Hadir sama, Pengerusi Institut Seni Malaysia Melaka (ISMMA), Professor Datuk Dr Abdul Latif Abu Bakar dan Pegawai Daerah Melaka Tengah, Roslan Ibrahim.

Sementara itu, Roslan berkata, jawatan sidang masih relevan untuk membantu melancarkan pentadbiran kerana ia berperanan sebagai penghubung antara ketua masyarakat sesebuah kampung dengan kerajaan negeri.

"Saya nasihatkan supaya semua sidang di negeri ini meningkatkan imej dan pengetahuan mereka dan pentadbiran pejabat daerah akan sentiasa memberikan sokongan dan bantuan yang diperlukan,'' katanya.

Mengulas lanjut permintaan persatuan itu, Roslan mengesahkan pejabat daerah sedia memberikan sokongan termasuk menganjurkan pelbagai kursus pengurusan peringkat negeri untuk sidang selain kursus pengurusan tanah bagi membolehkan mereka membantu masyarakat kampung dalam hal pentadbiran tanah.

Sementara itu, bekas Yang Dipertua PKKKSNM, Sidang Mohd Sharif Husin, berkata, beliau akan terus memberikan kerjasama dengan jawatankuasa baru.

"Saya juga akan memastikan semua sidang diberi peluang mengikuti program yang dianjurkan kerajaan negeri seperti hadir ke majlis perasmian, sambutan orang kenamaan dan sebagainya," katanya.