Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

14 Mei 2008

Pemberian ikhlas untuk guru



Bekas rotan yang dihias bunga boleh digunakan sebagai tempat menyimpan barangan kemas.


SAMBUTAN Hari Guru bakal menjelma pada 16 Mei ini. Pada hari tersebut, sekolah-sekolah di seluruh negara akan mengadakan sambutan khas bagi meraikan para guru.

Biasanya, pelajar-pelajar akan menggunakan peluang bersempena sambutan itu bagi menghadiahkan guru mereka dengan pelbagai cenderahati sebagai tanda penghargaan.

Bagi pelajar yang kreatif, mereka akan menghadiahkan guru mereka dengan hasil kerja tangan sendiri.

Tidak kurang juga di kalangan pelajar yang lebih selesa membeli cenderahati untuk dihadiahkan kepada insan yang selama ini tidak pernah kenal erti jemu mendidik anak bangsa menjadi insan yang berguna.

Menyedari permintaan yang wujud di luar sana, Pengurus Pemasaran Emina (M) Sdn. Bhd., Azlihana Abdul Rahim, 32, telah mengambil inisiatif dengan mereka cenderahati khusus untuk dihadiahkan kepada para guru.

Menurutnya, cenderahati yang dihasilkannya itu dijual pada harga yang berpatutan mengikut kemampuan pelajar-pelajar.

“Harga yang saya tawarkan tidak mahal, hanya di sekitar RM6 hingga RM15 dan rekaannya juga tidak terlalu rumit,’’ katanya ketika ditemui di kediamannya di Ampang, Selangor, baru-baru ini.

Bagaimanapun, katanya, dia juga ada menawarkan cenderahati yang berharga RM30 ke atas bagi pelajar yang berkemampuan atau pun ibu bapa yang berhasrat untuk turut menghadiahkan cenderamata kepada para guru.

Azlihana memberitahu, rekaan yang dihasilkannya lebih menekankan sentuhan budaya tempatan di mana konsep kayu serta rotan diguna pakai dengan warna coklat menjadi pilihan.

Jelasnya lagi, dia turut menerima tempahan jika ada di kalangan pelajar atau pun ibu bapa yang berminat untuk menempah cenderahati mengikut cita rasa mereka.

Selain cenderahati Hari Guru, Azlihana turut menghasilkan cenderamata dan hamper untuk syarikat-syarikat korporat bersempena perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri, Krismas, Tahun Baru Cina dan juga Deepavali.

Ibu kepada dua cahaya mata itu turut menyediakan perkhidmatan untuk tempahan hantaran kahwin.