Oleh Jamhariah Jaafar
Suasana 'panas' di Dewan Rakyat mula berubah dengan semangat persahabatan, perdamaian
DARIPADA keadaan umpama gelanggang sarkas kepada perdebatan lebih sopan dan hormat. Perubahan drastik ini semuanya gara-gara kemarahan rakyat apabila melihat kebanyakan wakil yang mereka pilih ke Parlimen, lebih cenderung menonjolkan diri masing-masing, bukan berjuang bagi kepentingan masyarakat dan negara.
Justeru, bagi mereka yang melihat siaran langsung menerusi RTM, sudah pasti terkejut dengan gelagat wakil rakyat apabila Dewan Rakyat memulakan sidang penuh pada Rabu lalu.
Perdebatan intelektual yang diharap langsung tidak berlaku. Sebaliknya, sebahagian wakil rakyat menggunakan siaran langsung yang diperkenalkan buat kali pertama itu, untuk dijadikan 'pentas' menonjolkan diri masing-masing.
Bagi mereka yang biasa dengan sistem Parlimen, suasana 'panas' di Dewan Rakyat minggu lalu yang menyaksikan 'pertembungan' antara penyokong kerajaan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat � merangkumi Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Pas, bukanlah sesuatu yang luar biasa.
Perkataan kasar, menuding jari, malah 'lawak bodoh' memang menjadi lumrah bagi Ahli Parlimen dalam kehangatan mereka berbalah, ketika masing-masing mahu menegakkan pendirian dalam perbahasan sesuatu isu.
Tetapi bagi yang baru mengenali 'dunia Parlimen', suasana riuh, 'pergaduhan', pertikaman lidah dan kata-kata kasar yang dilemparkan antara wakil BN dan pembangkang, membuatkan mereka tergamam � tidak menyangka 'perangai' wakil rakyat boleh bertukar menjadi begitu buruk sekali.
Bagaimanapun, bagai dikejutkan oleh dentuman halilintar, suara rakyat yang mengecam perangai buruk wakil rakyat terbabit berjaya mengubah suasana sidang Dewan Rakyat minggu ini.
"Minggu ini, semua wakil rakyat tiba-tiba menjadi begitu sopan," kata Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Shabery Cheek.
Menteri yang bertanggungjawab mengenai hal ehwal Parlimen, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, pula berkata, selepas dihentam teruk ketika sidang bermula Rabu lalu, setiap wakil rakyat sedar tanggungjawab sebenar mereka di Dewan Rakyat.
Apa yang lebih menggembirakan 'rakyat' yang melawat ke Parlimen minggu ini ialah semangat 'persahabatan' dan perdamaian yang dipamerkan Ahli Parlimen BN dan Pakatan Rakyat.
Ramai tersenyum bila melihat Nazri duduk berbual serius dengan Saifuddin Nasution Ismail (PKR-Machang) atau bekas menteri, Datuk Seri Rafidah Aziz, berbual mesra dengan tokoh wanita DAP, Teresa Kok (DAP-Seputeh).
"Sebagai menteri yang bertanggungjawab dengan Parlimen, saya gembira melihat suasana hari ini (kelmarin) dan memang menggalakkan. Kita kena hormat antara satu sama lain. Semua Ahli Parlimen ini dipilih rakyat dan mereka mempunyai tanggungjawab kepada rakyat.
"Di dalam dewan, kita boleh berdebat mengenai isu serius, tetapi di luar ramai antara wakil rakyat ini saling mengenali sejak sekian lama. Ramai juga yang jadi pembangkang ini, dulunya orang Umno.
"Jika kita terus bergaduh, bermakna kita tidak setuju dengan pilihan rakyat. Rakyat yang hendak macam ini (memilih lebih ramai pembangkang ke Parlimen), jadi kita kena menghormati pilihan rakyat," kata Nazri yang terpaksa bekerja keras untuk memastikan Parlimen tidak menjadi huru-hara dengan perangai wakil rakyat yang semakin pelbagai.
Ramai bersyukur dengan keputusan kerajaan meneruskan siaran langsung sidang Dewan Rakyat selama setengah jam dan lebih bersyukur kerana amaran untuk menarik balik siaran langsung itu tidak direalisasikan.
Sebagai 'orang lama' menjadi pembangkang di Parlimen, Teresa berkata, sudah tiba masanya rakyat turut menyertai dan mengikuti perjalanan sidang Dewan Rakyat kerana setiap isu yang dibawa ke dewan itu, akhirnya akan membabitkan kehidupan mereka sebagai rakyat Malaysia.
"Suasana hu ha pada minggu pertama, apa lagi ada siaran langsung di RTM, memang dijangka. Semua wakil rakyat juga terkejut dengan perangai masing-masing, apa lagi selepas dikritik teruk rakyat. Kini, sesudah kita memasuki penggal kedua 50 tahun, saya fikir cara lama kita berdebat di Parlimen juga perlu berubah.
"Kita tidak boleh lagi berdebat atas nama sekadar untuk berdebat. Anda juga tahu pada masa lalu, ada Ahli Parlimen yang sekadar bangun mempertahankan diri tanpa sebarang fakta konkrit.
"Keadaan perlu berubah sekarang, semua wakil yang dipilih rakyat sama ada pembangkang atau BN, perlu insaf bahawa segala tindak tanduk serta perdebatan mereka kini menjadi tatapan rakyat secara langsung," kata Teresa yang berada di Parlimen sejak 1999.
Ahmad Shabery dan Nazri adalah orang bertanggungjawab memastikan siaran langsung RTM diteruskan, selepas wujud ura-ura ia mungkin dibatalkan berikutan kerajaan tidak mahu rakyat hilang kepercayaan kepada Dewan Rakyat.
"Memang pada awalnya saya berasa ia adalah satu kesilapan (mengadakan siaran langsung). Tetapi ia adalah 'baby' (idea) saya, takkan saya nak 'buang' begitu saja. Bagi saya dan Nazri, matlamat kami adalah untuk mengadakan siaran langsung sepenuhnya, tetapi kita mesti meyakinkan semua pihak tujuan siaran langsung ini adalah baik.
"Kami tidak mahu jadi seperti Taiwan atau Korea (Selatan), perdebatan dan pergaduhan di Parlimen berlaku sehingga akhirnya menyebabkan rakyat tidak lagi peduli mengenai Parlimen," katanya.
Beliau berkata, orang ramai berpendapat wakil rakyat yang dipilih hebat belaka, tetapi apabila mereka melihat gelagat mereka berbincang perkara yang tidak perlu dan remeh-temeh, rasa hormat rakyat terhadap Parlimen dan anggotanya sudah pasti hilang, dan ini harus dielakkan.
Nazri pula berkata, tujuan utama siaran langsung adalah untuk menyebarkan maklumat secara terus kepada rakyat dan ia antara cara terbaik untuk membolehkan rakyat turut terbabit dalam sebarang dasar yang digubal Parlimen.
Bagi Teresa, dengan kebanyakan Ahli Parlimen pembangkang sebelum ini adalah golongan aktivis yang sentiasa mengkritik dan menentang kerajaan, siaran langsung adalah saluran terbaik untuk mereka mempamerkan kewibawaan sebagai pejuang rakyat.
"Ramai antara mereka ialah bekas aktivis, orang yang pernah dihalang dan ditahan polis di luar pintu pagar Parlimen, tetapi hari ini mereka di dalam Dewan Rakyat. Jadi, inilah masanya untuk mereka bersuara bagi pihak rakyat. Kami cuma berharap mereka dapat melaksanakan tanggungjawab dengan baik," katanya.
Keputusan Pilihan Raya Umum Ke-12 Mac lalu, walaupun mengejutkan seluruh rakyat tetapi membawa begitu banyak hikmah lain. Ia turut mencetus keterbukaan dan ketelusan yang luar biasa daripada pihak kerajaan BN yang masih menguasai Kerajaan Persekutuan dan Pakatan Rakyat, yang mentadbir lima negeri.
Parlimen, yang sebelum pilihan raya umum lalu dianggap hanya layak dihuni mereka yang bergelar pemimpin parti, kini menjadi milik mereka yang 'berjiwa rakyat'.
Rakyat cuma berharap, suara lantang untuk berjuang demi rakyat, bangsa dan negara tidak hanya sekadar hangat pada awal persidangan, sebaliknya terus utuh sepanjang penggal ke-12 ini.
Siaran langsung oleh RTM ini daripada sekadar setengah jam, mungkin boleh dilanjutkan kepada satu jam dan akhirnya, boleh disiarkan sepenuhnya � untuk membolehkan seluruh rakyat turut menyertai proses membangun dan memajukan Malaysia dengan lebih kukuh.