APABILA Menteri Luar, Datuk Seri Dr Rais Yatim, melontarkan cadangan supaya wanita tempatan yang mahu ke luar negara bersendirian mendapatkan perakuan bertulis daripada keluarga bagi memaklumkan tujuan mereka ke sana, niat beliau adalah baik. Bagi Rais, langkah itu perlu bagi wanita berusia di bawah 21 tahun untuk mengelak mereka terperangkap dengan kegiatan jenayah. Ini berikutan lebih 150 wanita tempatan kini ditahan di beberapa negara asing selepas menjadi mangsa sindiket pengedaran dadah antarabangsa yang memperalatkan mereka untuk menyeludup bahan terlarang itu. Namun, cadangan Rais itu disalah tafsir apabila ia dikaitkan dengan semua wanita tanpa mengira umur sehingga menimbulkan bantahan pelbagai pihak, malah Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sendiri menyifatkan cadangan itu agak mustahil kerana beribu-ribu wanita Malaysia ke luar negara setiap tahun sama ada untuk urusan rasmi atau sebaliknya. Lagipun, cadangan itu jika membabitkan wanita dewasa boleh dianggap melanggar hak asasi manusia. Bagaimanapun, jika kerajaan ingin melaksanakan cadangan itu bagi remaja yang masih di bawah pengawasan ibu bapa, ia perlu memikirkan prosedur lebih mudah.
Tentu kita masih ingat langkah dilakukan Bank Negara Malaysia (BNM) ketika kemelut ekonomi serantau pada 1997/1998 apabila ia mewajibkan semua warga negara yang ke luar negara mengisi borang khas, mengisytiharkan jumlah sebenar wang dibawa keluar jika ia melebihi RM10,000. Tujuannya ialah bagi memantau serta mengawal pengaliran keluar ringgit yang boleh menjejaskan ekonomi negara. Borangnya begitu mudah difahami dan selepas diisi diserahkan kepada pegawai di pintu keluar lapangan terbang. Difahamkan, apabila seseorang membawa terlalu banyak wang tunai dalam ringgit Malaysia, barulah pihak BNM berminat untuk mengetahui sebab lanjut, tetapi jika jumlahnya kurang RM10,000, ia tidak menjadi masalah kepada pembawa. Tidak salah mengguna pakai kaedah sama untuk remaja wanita kita yang ke luar negara dalam usaha untuk memantau keadaan. Misalnya, dalam borang itu perlu diisikan nama, alamat dan nombor telefon waris atau ibu bapa yang boleh dihubungi jika berlaku sesuatu terhadap mereka, selain tempat mereka tinggal di luar negara seperti nama hotel atau alamat rumah di sana. Bagi mereka yang pernah ke luar negara, borang seperti ini bukanlah perkara baru kerana ia perlu kita isi untuk diserahkan kepada pegawai imigresen negara destinasi kita. Bagaimana pula jika borang sama dikeluarkan, tetapi untuk pegawai imigresen kita di pintu keluar, khususnya lapangan terbang.
Matlamat penggunaan borang ini sama dengan cadangan asal dilontarkan Rais, cuma yang berbeza serta mendapat bantahan orang ramai ialah mungkin dari segi prosedur iaitu perlu mendapatkan perakuan bertulis daripada keluarga yang dirasakan satu bebanan baru kepada mereka. Bagaimanapun, apa juga peraturan atau prosedur tidak akan menyelesaikan masalah jika diri kita sendiri, seperti nasib beberapa wanita Malaysia terkurung di luar negara, tidak menjaga diri. Cara terbaik untuk menangani masalah sindiket yang menggunakan wanita Malaysia untuk menyeludup dadah ialah dengan memperingatkan mereka mengenai kewujudan taktik seumpama itu, selain memburu serta menahan anggota sindiket berkenaan yang bergiat di negara ini. Wisma Putra dan Kementerian Dalam Negeri mungkin boleh mengeluarkan ‘nasihat perjalanan’ kepada semua warga Malaysia supaya lebih berhati-hati apabila mahu ke luar negara, tetapi akhirnya ia terletak pada diri kita sendiri.