PERUBAHAN iklim semakin ketara terutama peningkatan suhu dunia menyebabkan kecairan glasier dan kawasan litupan ais terutama di Kutub Utara sehingga paras air laut meningkat antara faktor utama menyumbang berlaku banjir kilat di Malaysia terutama Kuala Lumpur.
Turut dikenal pasti ialah sikap manusia yang tidak mempunyai kesedaran dalam isu penjagaan dan pemuliharaan alam sekitar sehingga menjadikan masalah itu semakin serius.
Penyelidik Pusat Perubahan Cuaca Universiti Malaya, Prof Khairulmaini Osman Salleh (gambar), berkata elemen perubahan iklim dan sikap manusia adalah dua faktor yang menjadikan keadaan tidak simbiotik atau tiada penyelarasan sehingga mencetuskan banjir kilat.
Di samping itu, katanya banjir kilat tercetus kerana limpahan air dalam tempoh singkat bergantung kepada situasi permukaan tanah.
Katanya, dari sudut geografi, tanah di ibu negara berkemungkinan bersifat tidak boleh menyerap air dalam masa singkat sekali gus menyebabkan air mengalir tanpa henti dan memenuhi segenap ruang.
Beliau berkata, kaedah diperkenalkan kerajaan menerusi Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) antaranya Manual Saliran Mesra Alam (MSMA), Sistem Amaran Berjaga-jaga atau `Alert Warning Systems’ (AWS) dan terowong Smart mempunyai kebaikan dan kelemahan.
Namun, sekurang-kurangnya pelaksanaan itu mampu mengurangkan risiko berlaku kerugian yang lebih besar.
Bagaimanapun katanya, penggunaan sistem canggih dan memakan perbelanjaan berbilion ringgit tidak akan ke mana seandainya tahap kesedaran rakyat terhadap kepentingan penjagaan alam sekitar tidak dititik beratkan, sekali gus menyebabkan masalah tidak boleh diselesaikan secara keseluruhannya.
Khairulmaini Osman, berkata sistem perparitan perlu lebih efektif supaya kapasiti air hujan yang banyak mampu dialirkan. Oleh itu pemaju dinasihatkan mematuhi spesifikasi Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan supaya tidak menjadi penyumbang utama berlakunya banjir kilat.
Beliau berkata, ramai pihak menuding jari mendakwa masalah banjir kilat disebabkan projek Smart sedangkan terlalu awal untuk melihat keberkesanannya kerana pelaksanaan masih belum mencapai 100 peratus.
Sehubungan itu, beliau menyarankan supaya kerajaan berbuat sesuatu untuk memastikan banjir kilat tidak berterusan mendatangkan masalah kepada rakyat kerana kesannya bukan setakat kerosakan harta benda, malah kepincangan terhadap sektor ekonomi dan kesihatan.
“Cadangan kerajaan mewujudkan sistem Rain Pot Harvesting iaitu kolam takungan air dipasang di rumah supaya air hujan akan memasuki ke takungan itu, adalah wajar.
“Sistem itu akan menangkap aliran hujan sebelum dialirkan ke laut atau ada juga cadangan takungan itu digunakan isi rumah untuk aktiviti harian, sekali gus mengurangkan kos isi rumah tetapi pemasangannya mempunyai banyak kebaikan dan keburukan yang pastinya membabitkan perbelanjaan banyak,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi, Dr Yap Kok Seng, berkata hujan lebat dalam masa singkat boleh menyebabkan banjir kilat di sesuatu kawasan.
Ketika ini negara sedang mengalami musim peralihan monsun. Monsun peralihan bermula di Malaysia pada awal bulan lalu dan dijangka berterusan sehingga awal bulan depan dan secara amnya monsun peralihan adalah musim lembap untuk negeri di Pantai Barat Semenanjung Malaysia iaitu Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Melaka termasuk Johor dan kawasan barat Pahang.
Katanya, pada waktu ini, semua negeri itu akan mengalami cuaca baik pada sebelah pagi dan mengalami ribut petir yang kuat dan hujan lebat pada lewat petang dan awal malam. Sekiranya keadaan hujan lebat yang berlaku dan berterusan selama satu hingga tiga jam, mungkin menyebabkan banjir kilat di kawasan rendah dan tebing sungai.
“Banjir kilat juga berlaku kerana fenomena La-Nina menyebabkan keadaan cuaca di negara kita akan menjadi lebih lembap daripada biasa. Oleh itu, taburan hujan akan lebih meningkat terutama di negeri sebelah pantai barat Semenanjung,” katanya.
Statistik taburan hujan bulanan Jabatan Meteorologi menunjukkan kebanyakan stesen meteorologi terutama yang terletak di sebelah pantai barat Semenanjung mencatatkan jumlah hujan melebihi paras minimum. Selain itu, beberapa stesen juga mencatatkan rekod hujan tertinggi bagi April iaitu di stesen Petaling Jaya yang merekod hujan sebanyak 604.4 mm.