Bersama Hamidon Abdullah (Ketua Jabatan Reka Bentuk dan Seni Bina Dalaman UiTM Shah Alam)
![]() LANGSIR sedondon mewujudkan keseimbangan suasana. |
Pilihan kain hendaklah selaras bentuk tingkap supaya berpadanan dengan jendela
LANGSIR selalunya ditukar apabila sudah lama digunakan, ingin menukar skima atau mod kediaman kepada suasana baru atau menjelang hari kebesaran terutama Aidilfitri dan ingin memasuki rumah baru. Reka bentuk langsir beraneka dan corak yang sentiasa bertukar menarik perhatian suri rumah untuk menggantikan langsir lama. Ada baiknya jika pilihan langsir bersesuaian perabot dan hiasan dalaman rumah, kalaupun tidak secorak dan sewarna tetapi sekurang-kurangnya mewujudkan keseimbangan yang menawan.
Paling penting, kain pilihan hendaklah selaras bentuk tingkap supaya langsir dan jendela saling berpadanan. Bagi setiap individu perlu mengetahui bentuk tingkap mereka sebelum memilih rekaan langsir tertentu.
Bentuk Tingkap
Bentuk tingkap memainkan peranan penting dalam menentukan pilihan langsir. Tingkap pada kediaman berbeza mengikut gaya senibina. Bentuk tingkap yang lazim dipasang adalah seperti tingkap casement (boleh dibuka ke luar atau ke dalam), tingkap sorong dan tingkap bay (tingkap bersegi yang dibina secara mengunjur keluar).
Bagi tingkap casement, dinasihatkan memasang langsir yang dijahit ringkas tanpa ropol atau kedutan. Pilihan rekaan langsir lebih mudah bagi tingkap sorong kerana ruang bukaan luas dan lebar. Pemasangan pelmet (papan yang melindungi besi dan pencangkuk langsir) dan birai hias boleh dilakukan jika tingkap sorong mempunyai lebihan ruang di bahagian atas. Manakala bagi tingkap bay pula memberi peluang penghuni menghiasinya secara keseluruhan dan untuk menambah kemasan tingkap, pasangkan pelmet mengikut bentuk tingkap.
![]() |
FESYEN langsir berkedut dan beropol di tepi yang menonjolkan gabungan fabrik. |
Jenis Langsir
Pilihan rekaan langsir turut berkembang seperti perkembangan fesyen pakaian dan berubah mengikut peredaran masa. Ada beberapa rekaan langsir yang menjadi pilihan bagi kebanyakan pemilik kediaman antaranya langsir potongan lurus, potongan berbiku, potongan berombak, potongan berkedut dan potongan menyerong. Ketika ini fesyen langsir yang menjadi pilihan ramai bagi kebanyakan rumah kediaman adalah fesyen langsir berkedut dan beropol di tepi yang menggabungkan kain bercorak serta polos.
Selain itu rekaan langsir yang menjadi tarikan ialah potongan secara tie scarlet iaitu kain langsir yang berkedut di atas dan bawahnya berbentuk seperti tali leher dan disempurnakan dengan gaya klasik, gaya ini juga boleh digayakan lagi dengan hiasan berkedut di atas tetapi diserikan dengan renda. Sebagai tambahan rekaan ini boleh di sediakan dengan rekaan scallop classic, pencil plite dan scallop pencil plite. Bagi pilihan langsir yang menggunakan potongan scallop ini, adalah amat sesuai menggunakan kain jenis satin.
Rekaan langsir berbentuk scallop sama ada dalam bentuk rekaan classic ataupun tie amat sesuai bagi kediaman besar atau banglo. Ini kerana rekaan seperti ini kelihatan agak formal dan bergaya.
![]() |
TINGKAP casement sesuai dihiasi langsir ringkas. |
Bagi ruang dapur pula memerlukan kain langsir yang tebal dan tahan. Oleh itu dicadangkan guna kain langsir jenis scotchguard. Langsir di ruang dapur biasanya lebih ringkas dan tidak terlalu 'mewah' dengan kedutan sesuai dengan tumpuan kepada aktiviti memasak. Kebanyakan suri rumah lebih suka potongan atau hiasan langsir berbentuk bidai.
Rekaan langsir harus disesuaikan dengan jenis ruang kediaman, sebagai contoh ruang dapur dan bilik tidur, bentuk potongannya perlu dibezakan dengan langsir di ruang tamu. Di bilik tidur kanak-kanak sebagai contoh sesuai dipasangkan atau dihias menarik, hiasan tambahan boleh dibuat dengan diikatkan riben pada langsir berkenaan.
Bagi bilik tidur utama, potongan langsir yang ringkas menggunakan warna lembut sangat sesuai kerana dapat menimbulkan suasana romantik dan damai.
Bagi rumah kecil, langsir berpotongan ringkas membolehkan ruang yang sempit kelihatan selesa dan luas. Mereka harus menyesuaikan keadaan dan jangan terikut-ikut hiasan langsir yang berlebihan seperti kediaman besar hingga menyebabkan keadaan rumah kelihatan semak dan sesak. Bagi yang kurang berkemampuan, mereka boleh memperbaharui langsir lama dengan menambahkan hiasan riben atau renda. Kaedah ini menjimatkan kerana mereka tidak perlu membeli keseluruhan fabrik untuk langsir.
Jenis Fabrik
Pemilihan fabrik yang sesuai amat penting sebagai pelengkap kepada hiasan langsir. Pemilihan fabrik biasanya dilakukan seiringan dengan corak dan warna kain langsir yang dipilih. Walaupun suri rumah kurang pengetahuan mengenai fabrik tetapi mereka boleh meminta penjelasan daripada jurujual atau meminta jaminan mutu daripada fabrik yang dipilih.
Lazimnya, fabrik yang menjadi pilihan utama ialah 100 peratus kapas atau campuran kapas dan polyster. Kain renda atau satin yang mempunyai bidang besar juga menjadi pilihan utama kerana mudah dijahit, senang dijaga dan tahan lama. Kini ramai suri rumah gemar menggunakan fabrik scotchguard yang diselaputi bahan kalis air kerana tahan lasak.
INFO: Panduan Memilih Langsir