06 Mei 2008

Kehalusan seni kraf tangan Bajau

HARIMANI Ebbeh (kiri) mengusahakan seni anyaman tikar daripada daun mengkuang yang menjadi tarikan pelancong kerana kehalusan seni anyamannya.

PESTA Regatta Lepa ke-15 yang diadakan di Semporna, Sabah baru-baru ini bukan setakat memelihara seni pembuatan lepa Bajau tetapi ia juga mampu mengetengahkan seni kraf tangan etnik itu yang cukup halus pembuatannya.

Kehadiran pelancong asing pada pesta itu misalnya, menyediakan pasaran untuk pelbagai hasil kraf tangan etnik Bajau seperti tikar mengkuang dan replika lepa yang diperbuat daripada kayu.

Replika lepa yang amat rumit pembuatannya merupakan antara buah tangan popular di kalangan pelancong yang menyaksikan pesta kebudayaan dan kesenian Bajau itu.

Alpaka Hammah, 58, merupakan antara pengukir replika lepa yang terkenal di Kampung Lookisara, Pulau Bum Bum, Semporna, Sabah yang telah terbabit dalam bidang itu sejak 30 tahun lalu.

Beliau mengambil masa sehingga seminggu untuk menyiapkan sebuah replika lepa bersaiz kira-kira sekaki dengan pelbagai ukiran yang mampu dijual dengan harga sehingga RM500 dan ke atas.

“Aktiviti pembuatan replika lepa ini merupakan aktiviti saya kalau tidak turun ke laut menangkap ikan. Ia juga sebagai punca pencarian saya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di pulau itu, baru-baru ini.

Dengan menggunakan kayu seperti seraya merah yang ditarah serta diukir menggunakan kapak khas, hasil pembuatan replikanya banyak dijual di pekan Semporna.

Jelas Alpaka, selain pembuatan lepa sebenar, pembuatan replika lepa juga mengalami masalah kerana kurangnya generasi muda yang berminat dalam sektor itu.

Kekurangan tenaga kerja muda yang lebih gemar bekerja di bandar-bandar besar menyebabkan beliau kekurangan pembantu bagi menghasilkan replika lepa yang mendapat pasaran besar terutamanya setiap kali tibanya Pesta Regatta Lepa.

Selain pembuatan ukiran replika lepa, seni menganyam tikar mengkuang yang dijalankan oleh suri-suri rumah kaum Bajau juga berjaya menghasilkan seni kraf tangan yang halus dan bermutu.

Harimani Ebbeh, 50, merupakan salah seorang penganyam tikar mengkuang yang aktif menjalankan aktiviti itu biarpun ia diusahakan secara kecil-kecilan.

Dengan dibantu anak-anak dan menantunya, beliau gigih mengusahakan perniagaannya itu selepas usai segala urusan menguruskan rumahtangga.

“Saya menganyam tikar ini sedikit demi sedikit di mana ia adakalanya mengambil masa selama berbulan-bulan untuk disiapkan. Pelbagai corak, saiz dan warna dihasilkan pada tikar mengkuang yang kebanyakkannya dibeli oleh pelancong asing.

“Oleh kerana seni pembuatannya yang rumit, adakalanya sehelai tikar mengkuang bersaiz besar untuk sebuah ruang tamu mencecah harga sehingga RM1,000,” jelasnya semasa ditemui di rumahnya di Kampung Kabimbangan Tengah, Pulau Bum Bum.

Beliau akan membawa hasil kraf tangannya itu ke Pesta Regatta Lepa untuk dipasarkan ataupun dijual terus kepada kedai-kedai cenderamata di sekitar Semporna.

Menjana ekonomi

Pelbagai hasil seni kraf tangan dan makanan tradisional Bajau juga boleh diperolehi di gerai-gerai pameran yang dibuka di Padang Pekan Semporna sepanjang pesta itu berlangsung.

Para pengunjung akan dapat melihat secara lebih dekat rumah, pakaian tradisional, makanan, alat-alat muzik dan tarian Bajau yang dipersembahkan di padang tersebut.

Turut dipamerkan ialah pertandingan tanglung Bajau, sukan laut, tarik tali kumpit, dayung kumput, kayak dan pertandingan menghias lepa.

Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Malaysia, Datuk Mohd. Shafie Apdal berkata, pesta seperti Regatta Lepa harus diteruskan pada masa depan kerana ia mampu menjana ekonomi, budaya dan kesenian masyarakat Bajau.

“Lepa merupakan antara warisan asli negeri Sabah. Ia semakin terhakis dan harus dipelihara. Catatan sejarah menunjukkan lepa telah digunakan oleh para pendakwah untuk menyebarkan agama Islam di Asia Tenggara pada awal kurun ke-15.

“Kini lepa telah menjadi warisan dengan adanya sambutan seperti ini. Justeru, Pesta Regatta Lepa telah disenaraikan sebagai salah satu aktiviti tahunan dalam Kalender Pesta Air Nasional,” katanya yang juga berketurunan Bajau pada perasmian pesta tersebut.