Bersama Salbiah Ani
KENAIKAN harga petrol dua minggu lalu masih menghantui fikiran sebahagian besar rakyat Malaysia meskipun Kerajaan Persekutuan sudah pun mengumumkan beberapa langkah penjimatan kerana ia adalah pertambahan terbesar dalam sejarah negara ini.
Tindakan Kerajaan Persekutuan mendapat maklum balas daripada sesetengah pihak berkuasa tempatan yang turut mengambil langkah serupa meskipun tidak dinafikan ada badan tertentu mengambil kesempatan daripada situasi terbabit dengan melemparkan tohmahan untuk agenda peribadi masing-masing..
Alangkah baik sekiranya reaksi sedemikian pantas daripada kelompok mewakili kerajaan mahupun tidak, turut diterima dalam hal kebahasaan khususnya membabitkan bahasa rasmi negara ini yang tak sudah dirundung pelbagai masalah meskipun negara sudah merdeka sejak 50 tahun lalu..
Malangnya, bahasa Melayu dibelenggu susunan masalah, seolah-olah ditakdirkan untuk sentiasa dibelit dengan permasalahan dan sesetengahnya berpunca daripada sikap orang politik sendiri serta diburukkan lagi oleh kelompok yang suka menangguk di air keruh.
Terkini, pejuang bahasa Melayu berasa maruah bahasanya dicabar sekali lagi apabila dikaitkan dengan keupayaan seseorang mendapatkan pekerjaan dan penulis terpalit sama hanya disebabkan iklan promosi akhbar itu diterbitkan syarikat sekutu yang juga majikan penulis.
Iklan yang mempamerkan pelancong wanita Inggeris bertanyakan arah ke ‘national monument’ dan gagal difahami sekumpulan pelajar lelaki pelbagai bangsa yang dengan gelagat nakal menyindir lawan agar membaca akhbar berbahasa Melayu kerana ia bahasa rasmi negara.
Kelompok ini terluka apabila pelajar yang menjadi lawan dan membaca akhbar berbahasa Inggeris tersenyum sinis dengan kegagalan ‘lawannya’, lalu terhambur kata-kata kemenangan: “National Monument pun tak tahu. Tugu negaralah. Itulah orang suruh belajar, tak mahu belajar. Kalau kau baca akhbar ... ....... ..... kau senang dapat kerja.”
Iklan terbabit mengguris perasaan pejuang bahasa Melayu kerana ia menafikan nilai ekonomi pada bahasa rasmi negara ini sedangkan apa yang ingin dilihat kelompok terbabit ialah situasi menang-menang iaitu bahasa Inggeris dikuasai tanpa meminggirkan bahasa Melayu dan juga sebaliknya.
Sudah pasti penulis turut bersetuju dengan perjuangan mendaulatkan bahasa Melayu di negara ini berada pada situasi menang-menang iaitu bahasa Melayu dikuasai tanpa lupa melihat kepentingan untuk menguasai bahasa Inggeris sebagai nilai tambah diri dalam meningkatkan harga pasaran guna tenaga seseorang.
Selain itu, membuat andaian dengan hanya membaca akhbar berbahasa Inggeris memudahkan seseorang itu mendapat pekerjaan juga adalah keterlaluan kerana ia perlu disertai kebolehan diri daripada aspek kemahiran insaniah selain kelulusan akademik di samping ‘rangkaian hubungan’ turut membantu.
Iklan ini membuktikan betapa persekitaran budaya penulis skrip dan penerbit mempengaruhi pemikiran individu yang menghasilkan produk yang peka dengan perasaan sebahagian besar rakyat Malaysia mahupun menghormati semangat yang terkandung dalam Akta Bahasa Kebangsaan 1963.
Pihak berkenaan sewajarnya meneliti kemungkinan menyemak kembali Akta Bahasa Kebangsaan 1963 dengan mengubahnya kepada bahasa rasmi bagi memastikan setiap warga Malaysia tidak lagi memperlekehkannya bila ada kesempatan selari dengan semangat di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung.
Disebabkan bahasa Melayu sering dihayati sebagai bahasa kebangsaan yang cukup sekadar tercatat di atas kertas dan tidak memaksakan penggunaannya berbanding sebagai bahasa rasmi meskipun haknya sudah pun dilindungi dalam akta terbabit, penilaian semula akta berkenaan perlu.
Jika iklan sedemikian lahir di Singapura, masih dapat diterima sekalipun semua mengetahui bahasa Melayu diiktiraf sebagai bahasa kebangsaan dan juga rasmi bersama-sama tiga bahasa lain di negara jiran itu dengan penggunaan bahasa Inggeris lebih menonjol.
Rakyat Malaysia berbangsa Melayu pula perlu sedar kepentingan menguasai bahasa Inggeris dalam menambah nilai tambah diri untuk lebih berdaya saing di pasaran guna tenaga negara tanpa mengabaikan hakikat ketidakupayaan orang Melayu menguasai ekonomi negara menjadi punca perlekehan bahasa Melayu seperti suatu wabak yang sukar dibendung.