Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

20 Jun 2008

Urutan diraja Melayu mujarab pulih keletihan


Oleh Siti Nur Almizan Aripin




Ayer Spa gunakan asam jawa untuk mengurut manakala kisaran beras, santan kelapa dan kelapa parut sebagai bahan lulur

MENIKMATI urutan badan di atas pangkin terbuka atau teratak pasti menjadi pengalaman indah yang sukar dilupakan. Apatah lagi saat itu dinikmati tanpa gangguan malah jauh dari hiruk pikuk kota. Apa yang tersaji di depan mata adalah lautan luas membiru dengan hembusan angin membuai rasa.

Jika anda merancang berkunjung ke Langkawi musim cuti sekolah, jangan lupa singgah ke Ayer Spa yang terletak di Mutiara Burau Bay Beach Resort, Pantai Kok bagi mendapatkan khidmat urutan tradisional Melayu.


Penyelia Ayer Spa Mutiara Burau Bay Beach Resort, Salina Ahmad berkata, bertepatan dengan konsep tradisi yang ditonjolkan melalui seni bina empat teratak di Ayer Spa, khidmat yang ditawarkan juga bercirikan tradisional Melayu.

“Kami menyediakan kelainan yang bercirikan tempatan untuk disajikan kepada pengunjung di sini khususnya pelancong asing dan kami dapati mereka begitu menggemari keistimewaan itu.

“Antara rawatan yang sering menjadi pilihan pengunjung adalah Royal Malay Massage (urutan diraja Melayu). Kelainan yang ditonjolkan melalui urutan ini adalah cara ia dilakukan iaitu menggunakan ibu jari,” katanya.

Salina berkata, Royal Malay Massage diyakini dapat membantu melancarkan perjalanan darah, mengeluarkan toksin dalam badan juga membantu mengurangkan ketegangan dan kelesuan badan.

“Di sini kami juga menggunakan bahan terpilih dan semula jadi tanpa bahan pengawet. Misalnya untuk rawatan badan, kami gunakan asam jawa, kisaran beras, santan kelapa dan kelapa parut sebagai bahan untuk lulur.

“Mungkin ramai yang tidak mengetahui kebaikan asam jawa sebagai bahan semula jadi paling mujarab untuk merawat kulit daripada terbakar akibat terdedah pada cahaya matahari. Ia juga menyejukkan kulit. Jika disapu selepas seharian berjemur, kulit tidak akan gelap atau terbakar (sun-burn),” katanya.

Beliau berkata, di Ayer Spa, ramuan yang digunakan untuk rawatan rambut adalah minyak kelapa seperti yang diamalkan nenek moyang zaman dahulu kala. Bagi rawatan muka pula, timun dan tomato adalah bahan asas.

“Sebagai negara yang mempunyai masyarakat berbilang kaum, kelebihan itu turut kami jadikan sebagai inspirasi di mana pakej rawatan tradisi untuk kecantikan dan kesihatan kami diolah dari ramuan istana zaman silam.