06 Julai 2008

Keganasan mungkin kembali


kejayaan polis Indonesia memberkas sembilan orang yang disyaki pengganas dan merampas sejumlah bahan letupan di Palembang, Sumatera, membuktikan negara ini belum lagi bebas daripada ancaman keganasan.

Jika sebelum ini aktiviti keganasan itu bertumpu di Jakarta dan Bali, namun kali ini mencari sasaran di Pulau Sumatera.

Sekali lagi kegiatan itu dikaitkan dengan kumpulan Jemaah Islamiyah (JI) yang dipimpin oleh Nordin Mat Top, rakyat Malaysia yang menjadi buruan utama sejak ledakan bom di Bali dan Jakarta antara tahun 2002 dan 2005.

Menurut laporan, antara anggota JI yang diberkas itu adalah seorang warganegara Singapura.

Berdasarkan siasatan awal, kumpulan pengganas yang dipatahkan itu merancang untuk meledak bom di sebuah kafe, tempat kunjungan pelancong Barat.

Ini membuktikan Indonesia masih belum bebas daripada ancaman keganasan hingga ada yang mempersoalkan mengapa negara ini menjadi tempat sasaran aktiviti tersebut.

Pembongkaran kegiatan ganas kumpulan JI itu berlaku ketika kemarahan rakyat berikutan kenaikan harga minyak, aksi ganas mahasiswa dan penahanan anggota Parlimen dan pegawai perundangan yang dituduh melakukan rasuah selain isu kebebasan beragama.

UndiDalam masa yang sama, demam pilihan raya Indonesia sudah bermula dan pihak suruhanjaya pilihan raya telah menetapkan 9 April 2009 sebagai tarikh pembuangan undi walaupun calon-calon presiden dan naib presiden belum ditentukan.

Apa pun cabaran yang dihadapi, pemerintah masih mampu menangani masalah dalam negara, tanpa campur tangan kuasa asing.

Ancaman besar di Indonesia ialah kemiskinan, pengangguran, kenaikan harga barang yang menyusuli kenaikan harga minyak yang tidak terkawal.

Walaupun angka kemiskinan telah menurun, tetapi kira-kira 35 juta atau 15 peratus daripada 220 juta penduduk Indonesia dilaporkan masih berada di paras miskin.

Sesungguhnya hanya pemerintah dan penduduk Indonesia sendiri yang dapat menentukan keamanan, kesejahteraan dan kestabilan politik serta mengeluarkan negara mereka daripada belenggu kemiskinan.

Namun, jika ada tangan dari dalam yang menyambut tangan pihak luar, ia akan memberi ruang pihak asing untuk menimbulkan masalah di dalam negara.

Dibandingkan dengan ancaman oleh jaringan pengganas, kemarahan rakyat akibat hasutan dianggap lebih berbahaya kerana ia akan mengundang keganasan yang lebih meluas.

Kenaikan harga minyak akibat permainan kuasa asing merupakan ancaman kerana ia akan menjadi 'bahan bakar' untuk menyemarakkan api kemarahan rakyat hingga mencetuskan keganasan.

Tunjuk perasaan pelajar yang bertukar ganas lebih seminggu lalu bagi membantah kenaikan harga minyak merupakan tanda-tanda awal.

Oleh itu keganasan oleh sekelompok yang dicap sebagai pengganas bukanlah ancaman utama.