06 Julai 2008

Tindak-tanduk luar topik perbahasan hangatkan Dewan


LEWAT petang Isnin lalu ketika melangkah keluar bangunan Parlimen, seorang kakitangan memaklumkan hampir 280 petugas media hadir membuat liputan sidang Dewan Rakyat pada hari tersebut.

Angka berkenaan ternyata cukup besar kerana jumlah itu sendiri telah melebihi bilangan anggota Dewan Rakyat yang hanya berjumlah 222 orang.

Ternyata minggu kedua, Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Parlimen ke-12 mendapat tumpuan melebihi sidang sebelum ini, apatah lagi daripada sudut agenda urusan mesyuarat sendiri, minggu ini cukup penting.

Ia melibatkan perbahasan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) setelah dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi Khamis minggu lalu.

Sudah tentu kehadiran 81 anggota pembangkang ditambah seorang Bebas seharusnya menjadikan perbahasan hangat dengan curahan idealisme ahli-ahli Yang Berhormat.

Namun kehangatan yang sepatutnya timbul daripada ketajaman hujah pemikiran sebaliknya banyak diwarnai dengan tindak-tanduk yang tidak berkaitan dengan topik perbahasan.

Dari saat pertama, sesi perbahasan dikecohkan dengan tindakan pembangkang keluar Dewan gara-gara menegakkan pendirian yang berbentuk teknikal - yang tidak berbekas jika tidak dipertahankan.

Gerakan itu yang dikepalai orang lama, Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timur) 'menghangatkan' Dewan dengan mempersoalkan tindakan Timbalan Perdana Menteri memberi penjelasan tambahan kepada usul yang dibentangkan oleh Perdana Menteri.

Apabila Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia menolak hujah Kit Siang, maka beramai-ramai anggota pembangkang meninggalkan kerusi empuk termasuk wakil Pas mengekori langkah Kit Siang.

Tindakan sebagai mewakili kesepaduan pakatan pembangkang itu walaupun untuk seketika, telah melepaskan masa sangat berharga di Dewan untuk digunakan bagi membahaskan perkara yang membabitkan kepentingan rakyat.

Tinggallah satu-satunya wakil bukan kerajaan, Datuk Ibrahim Ali (Bebas-Pasir Mas) yang ternyata beruntung kerana dapat berucap cukup selesa pada hari itu.

Selain tindakan keluar Dewan, turut 'memeriahkan' keadaan pada minggu ini ialah Gobind Singh Deo (DAP-Puchong) yang menjadi orang pertama diperintahkan keluar Dewan oleh Pandikar.

Namun agak merugikan apabila isu Gobind telah meleret buat beberapa waktu hingga mencuri masa sesi perbahasan yang sepatutnya dimanfaatkan sebaik-baiknya bagi membahaskan perancangan pembangunan negara di bawah RMK-9.

Maka setiap kali dibangkitkan, penatlah Pandikar Amin memberi 'syarahan' kepada anggota Dewan yang jelas tidak pernah patah semangat berhujah walaupun beliau sendiri turut teruji dengan anak Karpal Singh itu yang menafikan telah memohon maaf kepadanya melalui media - berlawanan dengan yang dimaklumkan Pandikar di Dewan.

Selain Gobind dan pembangkang yang keluar Dewan, pastinya tuduhan liwat yang dihadapi Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan satu lagi topik yang menjadi sebab mengapa sesi sidang Dewan Rakyat menjadi tumpuan negara minggu ini.

Tiada lain yang bermain pada petugas media yang 'berkampung' di lobi Parlimen melainkan untuk mendapatkan reaksi berhubung isu 'Anwar' dan teori konspirasi bekas Timbalan Perdana Menteri itu daripada pimpinan kerajaan mahupun pembangkang.

Ini termasuklah sidang akhbar Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri yang menutup 'acara' hari terakhir di Parlimen minggu ini.

Namun dalam bercampur-aduk pelbagai isu, tanggungjawab membahaskan usul Laporan Kajian Separuh Penggal RMK-9 tetap dilaksanakan dengan baik oleh anggota Dewan.

Dari Padang Besar sehinggalah Pontian dan dari Hulu Rajang ke Kalabakan, semuanya berpeluang membangkitkan apa yang terbuku.

Dalam 'tersipu-sipu' mendengar wakil DAP mengungkapkan perkataan 'madani' yang sudah lama tidak kedengaran, seperti biasa, adegan perbalahan tetap tidak dapat dielakkan.

Biar pun begitu seperti yang dirintihkan Pandikar, Yang Berhormat ini patut mengelakkan situasi tegang kerana pada akhirnya ketika di luar Dewan mereka masih boleh makan minum semeja dan bertepuk tampar.